PRU15: 224,828 Pengundi Awal Mula Mengundi Hari Ini, 15 November
Sebanyak 578 pusat pengundian awal telah dibuka seluruh negara sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Rakyat Malaysia diseru untuk sama-sama turun mengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi melantik pucuk pimpinan kerajaan yang baharu bagi mentadbir Malaysia.
Antara calon-calon terkenal yang turut serta bertanding pada PRU15 kali ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ramai lagi.
Buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia menyaksikan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang dari lima tahun.
Pengundian Awal PRU15 Bermula Hari Ini
PRU15 telah bermula pada hari ini (15 November) jam 8:00 pagi bagi proses pengundian awal melibatkan sejumlah 224,828 pengundi.
Pada masa sama, pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Bugaya, Sabah juga dijalankan hari ini.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR), 224,828 pengundi awal itu termasuklah 117,473 anggota tentera bersama pasangan mereka dan juga 107,355 lagi adalah anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan.
Memetik laporan Harian Metro, sebanyak 578 pusat pengundian awal telah dibuka di seluruh negara termasuklah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah dan kem tentera.
Pusat pengundian awal akan ditutup secara berperingkat antara jam 12:00 tengah hari sehingga 5:00 petang bergantung kepada jumlah pengundi.
Kertas undi awal ini tidak akan dikira pada hari ini dan disimpan rapi di lokap-lokap balai polis sehingga hari pengiraan bermula jam 4:00 petang 19 November ini.
Kepada anda di luar sana, jangan lupa untuk keluar mengundi bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
BACA JUGA: PRU15: Majikan Tak Beri Kebenaran Mengundi Boleh Didenda RM5k Atau Penjara Setahun
BACA JUGA: PRU15: Kenali Calon-calon Bakal Perdana Menteri Malaysia
BACA JUGA: PRU15: Ismail Sabri Umum Cuti Khas 18 & 19 November Ini Seluruh Malaysia
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.