Now Reading
Pernah Terpalit Kontroversi, Hasrat KJ Untuk Jadi Perdana Menteri Jadi Persoalan

Pernah Terpalit Kontroversi, Hasrat KJ Untuk Jadi Perdana Menteri Jadi Persoalan

Khairy Jamaluddin (KJ) mendakwa ini pertama kali beliau memberitahu hasratnya ingin menjadi Perdana Menteri secara terang-terangan kepada umum.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh iaitu Khairy Jamaluddin pernah memberitahu tentang impiannya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti.

Semasa perhimpunan politik baru-baru ini, bekas Menteri Kesihatan yang lebih dikenali sebagai KJ memaklumkan hasratnya untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Namun, beliau mengakui hasratnya itu akan mengambil sedikit masa sebelum dia benar-benar mampu memimpin Malaysia.

Sumber: MalayMail

Fokus utamanya kini adalah untuk memenangi kerusi Parlimen dan mengatakan jawatan Perdana Menteri masih boleh ditunggu tetapi bukanlah dalam tempoh yang terlalu lama.

Khairy mendakwa ini merupakan pertama kali beliau dengan lantangnya memberitahu tentang impian ingin menjadi perdana menteri walaupun mengetahui pucuk pimpinan atasannya akan membantah.

Malah, KJ juga membidas beberapa ahli politik yang mempersoalkan kredibiliti mereka untuk memimpin apabila mereka sendiri takut untuk bertanding di kawasan yang agak sukar.

Saya sudah bersedia, tetapi saya perlu buktikan di Sungai Buloh terlebih dahulu. Sekiranya penduduk di sini memberi sokongan baik, saya sendiri akan menyakinkan orang-orang dalam parti saya.

Khairy Jamaluddin.
Sumber: MalayMail

KJ Akan Bentang Semula GEG Jika Kembali Ke Parlimen

Sebelum bertanding di Sungai Buloh, Khairy telah ‘memegang’ Rembau dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum menjadi Menteri Kesihatan.

Ketika di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau telah mendesak Generational End Game (GEG) atau generasi penamat yang tidak membenarkan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya daripada menggunakan, menghisap mahupun memiliki sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik.

Memetik laporan FMT, KJ berkata dia akan membentangkan semula GEG sekiranya dilantik semula dalam Parlimen.

Pada masa sama juga, beliau telah membawa cadangan ganja perubatan dalam bidang kesihatan di meja Parlimen.

BACA JUGA: Ini Fakta Tentang Khairy Jamaluddin Yang Anda Perlu Tahu

Sumber: MalayMail

Kontroversi Melibatkan KJ

Namun ada juga yang berpendapat KJ sama seperti ahli politik yang lain kerana beliau juga mempunyai beberapa kontroversi.

Antara isu yang dikaitkan dengan KJ adalah penggunaan aplikasi MySejahtera, sokongan beliau terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan pendiriannya dalam UMNO serta BN secara umum.

Bukan itu sahaja, nama beliau juga disebut dalam kes Sistem Visa Asing (VLN) melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walau bagaimanapun, KJ menafikan beliau menerima sumbangan wang tunai daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Laporan MalayMail menjelaskan seorang ahli UMNO serta bekas Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani memberi keterangan bahawa sekitar RM50,000 dan RM200,000 diberikan kepada KJ melalui bahagian Umno Rembau untuk tujuan politik.

Dilaporkan juga bahawa huruf awalan “KJ” terdapat dalam lejar milik UKSB.

Sumber: MalayMail

Populariti KJ di dalam UMNO tidak mendapat sambutan daripada ahlinya termasuklah Datuk Dr Mohd Puad yang sebelum ini pernah menyuarakan kritikan terhadap Khairy secara terbuka.

Menurut Mohd Puad, KJ telah mempengaruhi bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga bapa mentuanya untuk meletakkan jawatan pada ketika itu.

Puad menceritakan semula apabila sepasukan penasihat Perdana Menteri yang didakwa diterajui oleh KJ telah mengawal Pejabat Perdana Menteri sehingga dijadikan ‘buah mulut’ dalam kempen pihak pembangkang dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sumber: MalayMail

Dilaporkan Mahathir memilih Abdullah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan selepas tahun 2003 tetapi hubungan mereka mula menjadi keruh apabila Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu meluahkan beberapa kritikan yang membawa kepada peletakan jawatannya pada 2008.

Selain itu, KJ juga pernah terpalit dengan beberapa lagi kontroversi selama seperti skandal RM100 juta ketika menjadi Menteri Belia dan Sukan dan juga skandal ECM Libra yang masih disebut-sebut oleh pihak pembangkang.

Berjayakah Khairy dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti? Kita tunggu dan lihat. Yang penting beliau perlu melepasi halangan pertamanya dengan melawan tujuh penjuru di Sungai Buloh pada PRU15.

Sumber: MalayMail

Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd