[Video] Ini Kebaikan Ambil Buah-Buahan Sebelum Makan Hidangan Lain
Menurut Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), antara kebaikan pengambilan buah-buahan sebelum hidangan adalah mengurangkan pengambilan kalori dan mengoptimumkan fungsi antioksida.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila menjamu selera, terdapat beberapa tips supaya makanan mudah dihadam dan membawa lebih banyak kebaikan kepada tubuh badan.
Antaranya adalah tidak makan dengan terlalu banyak, makanan tidak disulam dengan air dan melebihkan pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran.
Selain itu, terdapat juga petua agar mengambil buah-buahan terlebih dahulu sebelum hidangan lain, berbanding menjadikannya sebagai pencuci mulut seperti yang diamalkan.
Doktor Dilihat Makan Buah Dahulu Di Kedai Buffet Steamboat
Menerusi satu video di TikTok (@minsyam_hq), seorang wanita yang digelar Dr Zarina dilihat sedang memakan beberapa potong tembikai di sebuah kedai buffet steamboat terkenal.
Kelihatan juga beberapa jenis sayur-sayuran terletak di hadapannya. Perkara ini mungkin menimbulkan persoalan kerana jika anda biasa ke kedai steamboat tersebut, pasti akan terus memakan daging terlebih dahulu.
“Kenapa doktor makan sayur-sayur dulu? Bukan orang kata kalau makan kat sini terus makan daging ke?” persoal individu yang merakamkan perkara itu.
“Makan Serat Dulu Untuk Elak Sugar Spike” – Dr Zarina
Dr Zarina kemudiannya menerangkan mengenai aturan makanan yang dipraktikkan olehnya.
Dia mula makan dengan mengambil buah-buahan terlebih dahulu kerana ia merupakan sumber serat, sebelum diteruskan dengan sayur-sayuran. Selepas itu barulah boleh mula makan produk protein dan lain-lain.
Dr Zarina menerangkan bahawa pengambilan serat dapat mengelakkan kadar gula dalam darah melonjak atau berlakunya ‘sugar spike’ (hyperglycemia).
“Sebelum dia naik, baik kita tukar cara pemakanan. Jangan makan nasi dulu. Kita makan serat dulu seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Kemudian protein, baru karbohidrat,” katanya.
Di ruangan komen, Dr Zarina menerangkan serat di dalam buah-buahan dapat memperlahankan penyerapan gula di dalam darah. Pengambilan sayur-sayuran pula akan meningkatkan perlindungan.
Pelbagai Kebaikan Makan Buah Sebelum Hidangan
Merujuk kepada laman web Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), sememangnya terdapat kelebihan mengambil buah-buahan sebelum memakan hidangan lain.
Buah-buahan yang dimakan 30 minit sebelum hidangan dapat membantu menurunkan berat badan. Ini kerana kandungan fibernya yang tinggi dapat membantu seseorang berasa kenyang lebih lama.
Selain itu, satu kajian menyatakan buah-buahan yang diambil serta-merta sebelum hidangan dapat mengurangkan rasa lapar. Namun begitu perkara tersebut didapati tiada kesan ke atas pengurangan berat badan.

Kandungan serat tinggi juga dapat memperlahankan proses penghadaman, sekaligus mengurangkan pengambilan kalori dari hidangan lain.
Malah, buah-buahan yang diambil sebelum hidangan juga dapat mengoptimumkan fungsi antioksida dalam menyingkir radikal bebas yang boleh menyebabkan kanser.
Di samping itu, pengambilan buah-buahan sebelum hidangan juga didapati dapat membantu penyerapan nutrisi dengan lebih baik. Ini kerana kandungan gula di dalam buah-buahan memerlukan tempoh lebih lama untuk dicerna, yang boleh mengganggu penyerapan nutrisi makanan jika diambil selepas makan.
Namun begitu, memandangkan buah-buahan mengandungi gula, ia tidak seharusnya diambil secara berlebihan terutamanya oleh pesakit diabetes.

Makan Buah-Buahan Sebelum Hidangan Bukan Sunah Rasulullah SAW
Dalam Islam pula, mungkin anda pernah mendengar bahawa makan buah dahulu sebelum hidangan lain adalah sunah Rasulullah SAW. Namun perkara ini sebenarnya tidak betul.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada hadis sahih dan jelas yang menuntut supaya memakan buah-buahan dahulu.
Namun, perkara ini ada dinyatakan oleh para ulama termasuk Imam al-Ghazali yang berkata memakan buah dahulu adalah sesuai dengan ilmu kedoktoran memandangkan ia lebih cepat dicerna.
Di samping itu, terdapat hadis yang menceritakan kisah Rasulullah SAW, Abu Bakar RA dan Umar RA yang diberi makan kurma dahulu oleh Abi Haitham ketika keluar pada waktu malam untuk mencari makan. Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah:
وَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى اسْتِحْبَابِ تَقْدِيمِ الْفَاكِهَةِ عَلَى الْخُبْزِ وَاللَّحْمِ وَغَيْرِهِمَا
Maksudnya: “Hadis ini sebagai dalil dianjurkannya mendahulukan makan buah-buahan sebelum memakan roti, daging dan selain daripada keduanya.”
Terdapat juga sebahagian para ulama yang menggunakan ayat al-Quran sebagai dalil dianjurkan memakan buah-buahan dahulu. Firman Allah SWT:
(وَفَاكِهَةٍ مِّمَّا يَتَخَيَّرُونَ ﴿٢٠﴾ وَلَحْمِ طَيْرٍ مِّمَّا يَشْتَهُونَ ﴿٢١
Surah al-Waqiah (20-21)
Maksudnya: “Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan daripada jenis-jenis yang mereka pilih. Serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini.”
Menurut para ahli tafsir, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT mendahulukan ayat buah-buahan berbanding ayat tentang daging burung.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.