Now Reading
Betul Ke Minum Air Dari Pangsa Durian Boleh Kurangkan Suhu Badan? Jom Ketahui Fakta Sebenar

Betul Ke Minum Air Dari Pangsa Durian Boleh Kurangkan Suhu Badan? Jom Ketahui Fakta Sebenar

Durian dapat meningkatkan suhu badan kerana kandungan kalori di dalam buah tersebut adalah tinggi.

Durian merupakan salah satu daripada buah-buahan yang paling digemari oleh kebanyakan rakyat Malaysia dan juga Asia Tenggara sehingga ia digelar raja buah.

Antara penyebab raja buah itu digemari ramai dan mendapat sambutan luar biasa setiap kali tiba musimnya adalah kerana rasanya yang unik dan berbeza berbanding buah-buahan yang lain.

Foto: malaymail

Durian dapat meningkatkan suhu badan

Dalam kenikmatan dan keenakan buah durian, terdapat juga kesan buruk iaitu peningkatan suhu badan selepas memakannya.

Menurut laporan laman semak fakta, Malaysia Bersuara, hal ini terjadi kerana durian mempunyai kandungan kalori yang tinggi dan metabolisme badan akan meningkat untuk mencerna buah tersebut.

Sejak dahulukala, kebanyakan masyarakat mempercayai petua meminum air masak yang diisi di dalam pangsa durian mampu mengurangkan suhu badan.

Kajian dilakukan oleh para penyelidik UKM

Untuk mengetahui sejauh mana kebenaran petua turun temurun ini, sebuah kajian telah dilakukan oleh para penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkenaan dakwaan ini.

Kajian tersebut dimulakan dengan memberi makan beberapa ulas durian kepada 5 orang peserta kajian. Selepas memakannya, didapati kelima-lima mereka menunjukan sedikit peningkatan suhu badan.

Suhu badan peserta kajian mula berkurang

Namun suhu badan mereka mula berkurang dan tidak lagi meningkat setelah kelima-lima peserta itu meneguk air dari pangsa durian setiap 30 minit selama tiga kali.

Dapatan seterusnya mendapati suhu badan menurun lebih banyak apabila meminum air dari pangsa durian berbanding meminum air biasa.

Menurut kajian, perkara ini terjadi akibat daripada kewujudan pektin iaitu sejenis serat yang terkandung dalam pangsa durian dapat membantu mempercepatkan proses homeostasis semulajadi.

Rumusan kajian dapati ianya benar

Berdasarkan rumusan kajian, benar bahawa meminum air masak di dalam pangsa durian dapat mengurangkan suhu badan manusia.

Adalah lebih elok jika ditambah sedikit garam untuk membantu proses pengurangan suhu tersebut. Selain itu, air dari pangsa durian juga dipercayai dapat mengurangkan bau durian di mulut.

Para penyelidik bagaimanapun merasakan perlu untuk mengadakan kajian yang lebih efisyen agar kebenaran dan maklumat yang lebih mendalam dapat dihuraikan.

Kredit gambar: alwaysrestlessfeet

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd