Now Reading
7 Amalan Yang Boleh Dilakukan Menjelang 10 Hari Terakhir Di Bulan Ramadan

7 Amalan Yang Boleh Dilakukan Menjelang 10 Hari Terakhir Di Bulan Ramadan

Perbanyakkanlah berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT menjelang beberapa hari terakhir di bulan Ramadan ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Rasa macam baru je kita sambut kedatangan bulan Ramadan. Pejam celik tinggal kurang dari dua minggu lagi sebelum kita menyambut bulan Syawal pula.

Dalam tempoh beberapa hari terakhir di bulan Ramadan, ramai yang berlumba-lumba untuk perbanyakkan ibadah mereka bagi mengejar pahala sebanyak mungkin.

Namun hari yang paling ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam pada tempoh ini adalah malam Lailatul Qadar.

BACA JUGA: “Lebih Mulia Daripada 1,000 Bulan” – Baca Doa Ini Untuk Bertemu Malam Lailatul Qadar

Dalam menunggu malam penuh mulia ini, umat Islam digalakkan untuk melakukan beberapa amalan bagi memaksimakan keberkatan hari-hari terakhir di bulan Ramadan.

Antara amalan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

1. Qiamullail

Sumber: Islam Itu Inda

Qiamullail merupakan suatu ibadah di mana seseorang itu berjaga atau bangun pada awal pagi bagi melaksanakan ibadah kepada Allah SWT pada dua pertiga atau satu pertiga malam bermula jam 2.30 pagi sehingga terbit fajar.

Waktu ini adalah sangat istimewa kerana akan turunnya rahmat Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sehampir-hampir masa seseorang hamba Allah kepada Tuhannya ialah pada waktu tengah malam yang terakhir, maka kalau kamu berminat menjadi seorang dari orang-orang yang mengingati Allah pada saat yang tersebut, maka hendaklah kamu lakukannya.” (At-Tirmizi)

Selain itu, Allah SWT juga akan memberi keampunan kepada mereka yang berqiamullail.

Rasulullah SAW bersabda:

“Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang yang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah dosa.” (HR Muslim)

2. Sedekah

Sumber: GenOTA

Pahala bersedekah yang dijanjikan oleh Allah SWT memang sangat banyak sehingga boleh mencapai 700 kali ganda lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan pada malam Lailatul Qadar.

Sedekah tak semestinya dari segi kewangan sahaja.

Memberikan atau menyediakan makanan kepada mereka yang sedang berpuasa juga dikira sebagai sedekah.

Rasulullah SAW bersabda:

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksudnya: “Siapa yang member makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)

3. Membaca al-Quran

Sumber: Suara.com

Terdapat pelbagai kelebihan membaca al-Quran lebih-lebih pada bulan Ramadan. Antaranya:

  • Mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda.
  • Mendapat syafaat di akhirat.
  • Mendapat ketenangan dan rahmat daripada Allah SWT.

Selain membacanya, kita digalakkan untuk mempelajari isi kandungan dan terjemahannya bagi mendalami mesej yang ingin disampaikan oleh Allah SWT kepada umat manusia.

BACA JUGA: Nuzul Al-Quran: Hayati & Fahami Isi Kandungan Kitab Suci Pada 17 Ramadan

4. Berdoa dengan lebih panjang

Sumber: Mingguan Wanita

Sepanjang bulan Ramadan adalah waktu yang sangat sesuai untuk berdoa kerana ianya sangat mustajab dan pasti akan dikabulkan oleh Allah SWT.

Antara waktu yang mustajab untuk berdoa ketika bulan Ramadan adalah seperti berikut:

  • Waktu sahur
  • Semasa berpuasa
  • Sebelum berbuka
  • Sepertiga malam
  • Sewaktu azan berkumandang

Perbanyakkanlah berdoa pada sepertiga malam kerana pada ketika ini Allah SWT akan turun ke bumi untuk mengabulkan permintaan hamba-hamba-Nya.

5. Perbanyakkan solat sunat

Sumber: Sinar Harian

Terdapat pelbagai solat sunat yang boleh dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.

Antara solat sunat ringkas dan mudah untuk dilaksanakan adalah seperti:

  • Solat Sunat Qabliah Subuh
  • Solat Sunat Dhuha
  • Solat Sunat Rawatib
  • Solat Sunat Tarawih
  • Solat Sunat Taubat

Kalau tak dapat nak buat semua, buat sikit pun tak apa. Yang penting konsisten dalam beribadah.

6. Berselawat dan berzikir

Sumber: Kashoorga

Ibadah ini adalah yang paling mudah untuk dilakukan. Sambil memasak, memandu dan mengemas rumah pun kita boleh berselawat dan berzikir.

Bukan sahaja mudah dilaksanakan, malah ganjaran pahala pun berlipat kali ganda. Rugi sangat kalau kita tak mengambil kesempatan ini untuk mencuri sedikit masa untuk berselawat dan memuji kebesaran Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” (HR Muslim)

7. Memohon keampunan

Sumber: Kashoorga

Sebagai manusia yang lemah, kita memang tidak lari dari berbuat dosa.

Dalam bulan Ramadan ini, ambillah peluang untuk memohon keampunan kepada Allah SWT atas segala kekhilafan diri yang pernah dilakukan.

Mudah sahaja, hanya dengan beristighfar pun ada sudah berpeluang untuk memohon diampunkan dosa.

Firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوْا رَبَّكُمْ إِنَّهٗ كَانَ غَفَّارًاۙ ﴿10﴾ يُّرْسِلِ السَّمَاۤءَ عَلَيْكُمْ مِّدْرَارًاۙ ﴿11﴾ وَّيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَّبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَّكُمْ جَنّٰتٍ وَّيَجْعَلْ لَّكُمْ أَنْهٰرًاۗ ﴿12﴾

Makusdnya: “Maka aku berkata (kepada mereka), “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu. Dan Dia memperbanyakkan harta dan anak-anakmu serta mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu.” (Surah Nuh: 10-12)


Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Maka, rebutlah peluang ini untuk berusaha bersungguh-sungguh mengejar pahala dalam beribadah.

Dalam beberapa malam terakhir di bulan Ramadan ini, semoga kita juga diberi peluang untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar yang mempunyai kebaikan lebih daripada 1,000 malam.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd