Kekejangan Perut Tapi Bukan Dalam Haid? Mungkin Ini Beberapa Puncanya
Mungkin kekejangan perut yang berlaku merupakan petanda kepada masalah kesihatan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!
Boleh dikatakan segelintir wanita terpaksa menghadapi sakit senggugut setiap bulan apabila didatangi haid.
Dia punya sakit tu tak tahu nak cakap macam mana. Siapa yang pernah rasa je akan faham.
Tapi, pernah tak anda mengalami sakit perut seakan-akan sengugut tapi bukan dalam waktu datang bulan?
Macam mana boleh berlaku sedemikian?
Punca- punca perut kejang
Sebenarnya, ada beberapa punca yang menyebabkan berlakunya masalah berikut. Antaranya:
1. Ovulasi

Masalah ini boleh terjadi pada pertengahan bulan iaitu kira-kira 10 sehingga 14 hari sebelum menstruasi berlaku.
Rasa kejang itu disebabkan oleh pengeluaran telur yang dihasilkan oleh ovari bagi persiapan sekiranya berlaku kehamilan.
Jangan risau, ketidakselesaan pada satu sisi bahagian bawah perut ini tidak membawa apa-apa risiko dan hanya akan berlaku dalam beberapa minit sehingga beberapa jam.
2. Sista ovari pecah

Untuk pengetahuan anda, sista adalah kantung cecair yang mampu terbentuk pada ovari.
Bagi sista jenis folikular, ia akan terbuka untuk melepaskan telur dan kemudian larut di dalam badan anda.
Namun jangan risau, sebilangan besar sista ini tidak berbahaya tetapi mampu pecah sekiranya bertambah besar.
Sesetengah individu pula akan mengalami kekejangan perut yang tajam di kedua-dua bahagian bawah perut.
3. Endometriosis

Keadaan ini berlaku apabila tisu yang serupa dengan lapisan rahim melekat dan tumbuh pada organ badan yang lain.
Mereka yang mempunyai endometriosis akan mengalami masalah kekejangan pada bila-bila masa dalam tempoh sebulan.
Individu yang mengalami masalah ini juga mungkin agak sukar untuk mendapatkan zuriat.
4. Penyakit radang pelvis

Penyakit ini biasanya berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria yang tersebar melalui hubungan seks dan mampu mempengaruhi bahagian penting dalam organ wanita seperti tiub, rahim, ovari, faraj, dan serviks.
Individu yang mengalami penyakit ini juga berkemungkinan mengalami keputihan yang tidak normal, kesakitan semasa melakukan hubungan seks atau kencing.
Selain itu, haid mampu menjadi lebih banyak atau lama. Pesakit juga boleh mengalami demam, mual-mual dan muntah.
5. Apendiks

Apendiks mampu menyebabkan masalah keradangan dan pembengkakan dalam kantung kecil di hujung usus besar anda.
Individu yang mengalami sakit apendiks ini perlu melakukan pembedahan segera.
Sekiranya tidak dirawat, apendiks yang meradang akhirnya akan pecah, atau merebak serta menumpahkan bahan-bahan jangkitan ke dalam rongga perut.
Rasa sakit yang anda rasai itu mungkin boleh menjadi petanda kepada kesihatan diri anda.
Sekiranya rasa sakit yang anda alami berlaku dalam masa yang agak panjang, lebih baik cepat-cepat berjumpa doktor.
Risau sekiranya berlaku apa-apa yang memudaratkan diri anda.
Bak kata pepatah, lebih baik mencegah daripada mengubati.
Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: Facebook, Twitter, dan Instagram.