Now Reading
Mufti Perjelas Hukum Ibu Sengaja Tak Mahu Menyusu Badan

Mufti Perjelas Hukum Ibu Sengaja Tak Mahu Menyusu Badan

Menurut mazhab Syafie, terdapat beberapa keadaan yang mewajibkan para ibu untuk menyusu badan kepada bayi mereka.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Setiap wanita pastinya mempunyai impian untuk menjadi seorang ibu.

Cuba tanya kepada mana-mana isteri, mesti kebanyakannya akan melompat gembira bila dapat tahu mereka mengandung.

Selepas melahirkan anak, kebiasaannya para ibu akan menyusu bayi mereka dan digalakkan untuk berbuat sedemikian sehingga umur anak berusia dua tahun.

Namun, ada juga yang enggan menyusukan anak tanpa alasan yang munasabah. Ada yang katanya ingin menjaga semula tubuh badan mereka.

Boleh ke kalau tak mahu menyusu badan?

Apa hukum ibu enggan menyusu badan?

Berikutan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberi penjelasan tentang persoalan yang timbul ini.

Menurut Islam, penyusuan anak adalah perkara yang dianjurkan dalam agama kerana membantu dalam kelangsungan hidup anak-anak.

Namun, penyusuan bayi adalah bergantung kepada pilihan ibu dan bukannya sesuatu yang menjadi kewajipan secara mutlak.

Kredit: Majalah PaMa

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Thalaq ayat 6:

وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya“Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya (anak).”


Keadaan yang diwajibkan untuk menyusu badan

Para ulama berpendapat bahawa penyusuan bayi menjadi satu keperluan sekiranya berada dalam keadaan tertentu seperti berikut:

  • Bayi tidak mahu menyusu dengan mana-mana wanita lain. Maka, ibu tersebut wajib menyusukan anaknya demi kelangsungan hidup bayi berkenaan.
  • Tidak menemui mana-mana ibu susuan yang sesuai.
  • Bapa bayi tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk mengupah ibu susuan yang lain (Rujuk: Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 10/25).

Sementara itu, mazhab Syafie pula berpandangan bahawa wajib bagi seorang ibu memberikan susu awal kepada anaknya (susu kolustrum) kerana seorang bayi tidak mampu hidup tanpa susu tersebut menurut kebiasaan.

Susu kolustrum adalah susu ibu yang terawal dihasilkan bermula pada pertengahan kehamilan, iaitu antara minggu ke 12 hingga ke 18 dan beberapa hari pertama selepas bayi dilahirkan.

Kredit: theAsianparent

Perkara ini turut diterangkan oleh Shaikh Zakariyya al-Ansari:

(فَصْلٌ: عَلَى الْأُمِّ إرْضَاعُ وَلَدِهَا اللِّبَأَ) ، وَإِنْ وَجَدَتْ مُرْضِعَةً أُخْرَى؛ لِأَنَّهُ لَا يَعِيشُ أَوْ لَا يَقْوَى غَالِبًا إلَّا بِهِ وَهُوَ اللَّبَنُ النَّازِلُ أَوَّلَ الْوِلَادَةِ

Fasal: Diwajibkan ke atas ibu untuk menyusukan anaknya dengan susu awal (susu kolestrum) sekalipun dia menjumpai ibu susuan yang lain (untuk anaknya). Hal demikian kerana kebiasaannya seorang bayi tidak mampu hidup dan tidak cukup khasiat tanpa susu tersebut iaitu susu yang keluar ketika awal kelahiran. (Rujuk Zakariyya al-Ansari, Asna al-Mathalib, 3/445).


Kesimpulan

Setiap ibu berhak untuk membuat pilihan masing-masing demi kebaikan bayi mereka yang masih kecil.

Tiada sesiapa pun yang boleh memaksa mereka untuk menyusukan anaknya.

Namun, para ibu sangat digalakkan untuk menyusu anaknya kerana susu ibu adalah yang paling terbaik untuk bayi yang baru lahir.


Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd