Menu Di Kedai Mamak Ada Banyak, Tetapi Ada Satu Yang Ramai Wajib Order
Menu di kedai mamak takkan lengkap tanpa sepinggan Maggi goreng yang melazatkan.
- Kedai mamak is a beloved local institution, open 24 hours and offering affordable, delicious food for every occasion.
- Five must-try dishes at kedai mamak include roti naan ayam tandoori, nasi kandar, thosai, sup mamak, and Maggi goreng.
- Each dish has a rich history and unique flavour, making kedai mamak visits a truly satisfying culinary experience.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kedai mamak sangat sinonim dengan budaya tempatan dan sentiasa dekat di hati kita kerana menawarkan pelbagai makanan menyelerakan dengan harga mampu milik yang boleh dinikmati pada bila-bila masa.
Ramai juga menjadikannya sebagai port melepak, meluah, menikmati masa sendiri atau berjumpa dengan pasangan kerana ia dibuka selama 24 jam.
Disebabkan itu, sudah tentu kita ada menu kegemaran yang wajib di pesan ketika melepak, kan?

Ini 5 Makanan Yang Wajib Anda Order Di Kedai Mamak
#1. Roti Naan Ayam Tandoori

Hanya dijual pada waktu malam, roti naan ialah roti leper dibakar dalam ketuhar bernama tandoor menghasilkan tekstur lembut dan gebu dihiasi dengan tompok perang yang menggoda mata anda.
Selalunya, adunan roti naan menggunakan tepung gandum bersama yis, air suam, garam, ghee, yogurt dan kadang-kala ditambah sedikit susu, telur atau madu.
Kemudian ia dibakar dalam ketuhar tandoor yang boleh mencecah sehingga 480 darjah Celsius siap dimasak dalam beberapa minit sahaja.
Teman paling sempurna untuk roti naan sudah tentulah ayam tandoori, iaitu ayam diperap dalam yogurt dan rempah sebelum dipanggang dalam ketuhar sama.
Penggunaan ketuhar inilah yang dapat menghasilkan rasa serta aroma unik ayam tandoori untuk menyerlah.
Bukan sahaja digemari di Malaysia, ia juga dinikmati di seluruh dunia dan dipercayai berasal dari wilayah Punjab, India sebelum dipopularkan menerusi restoran Moti Mahal di New Delhi sekitar penghujung 1940-an.
#2. Nasi Kandar

Nasi kandar ialah hidangan kegemaran dari utara tanah air, khususnya Pulau Pinang, yang diperkenalkan oleh peniaga Muslim Tamil dari India.
Menjadi pilihan utama majoriti rakyat Malaysia, nasi kandar ialah hidangan paling sempurna yang boleh dinikmati pada bila-bila masa.
Konsepnya pun mudah, iaitu nasi putih dicampurkan dengan pelbagai kuah kari dan lauk seperti ayam, daging, kambing, sayur, makanan laut menjadikannya satu hidangan lengkap.
Sejarahnya bermula pada awal 1900-an apabila peniaga Muslim India menjual kari dan nasi kepada pekerja di Weld Quay, George Town, Penang. Pada waktu itu, sepinggan nasi kandar cuma berharga sekitar lima sen, lengkap dengan kari, terung atau bendi, daging serta telur rebus.
Namanya pula datang daripada cara mereka memikul periuk loyang berisi nasi dan lauk kari menggunakan kayu pengandar di bahu. Maka, jadilah ‘nasi kandar’.
Selain itu, hidangan ini ada pelbagai versi seperti nasi ganja di Ipoh, nasi dalca di Pulau Pinang, nasi lemak royale di Alor Setar, nasi kalut dan tomato di Kedah.
#3. Thosai

Thosai ialah roti nipis yang dihasilkan daripada adunan kacang hitam dan beras yang dikisar dinikmati bersama kuah cicah cutni, kari dan dhal.
Hidangan ini berasal dari Selatan India dan dipercayai sudah wujud sejak abad pertama Masihi menurut sastera Sangam walaupun segelintir sejarawan percaya pekan Udupi di Karnataka yang menciptanya.
Selain daripada rasa menyelerakan, thosai adalah antara makanan paling sihat untuk dinikmati kerana ia kaya dengan karbohidrat dan protein tetapi bebas gula.
Sepinggan thosai kosong mengandungi lebih kurang 112 kalori dan mempunyai kandungan vitamin B serta C.
#4. Sup Mamak

Malam yang sejuk ditemani hujan sering membuatkan badan mula mencari makanan panas untuk dihirup sambil menikmati suasana nyaman.
Mungkin sebab itulah sup mamak menjadi pilihan popular ramai, sama ada dinikmati bersama nasi ataupun roti bengali.
Berbeza dengan sup biasa yang cair, sup mamak lebih pekat dengan rasa rempah, dan rahsianya terletak pada teknik merenih yang menyebabkan kolagen dalam tulang serta daging kambing pecah lalu bertukar menjadi gelatin.
Gelatin inilah yang memekatkan sup sekali gus memberikan aroma unik serta rasa yang lebih menyerlah, paling menyelerakan apabila dicicah bersama roti.
#5. Maggi Goreng

Akhir sekali, senarai ini pastinya takkan lengkap tanpa hidangan kegemaran ramai ketika melepak di kedai mamak, iaitu Maggi Goreng.
Mi segera digoreng dalam kuali untuk menghasilkan aroma wok hey mengeluarkan bau sungguh menggoda, lalu digaul bersama rempah pedas untuk mencipta satu hidangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Sukar dinafikan, Maggi goreng mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menggunakan pes kari untuk mengeluarkan rasa pedas yang tiada di masakan lain.
Selain itu, anda boleh tambah pelbagai lauk bersamanya seperti ayam goreng, kari, telur goreng, udang ataupun tauhu mengikut cita rasa serta kreativiti tersendiri menghasilkan rasa meletup di lidah.
Keunikan itulah yang membuatkan Maggi goreng sangat melazatkan sentiasa menjadi kegemaran ramai.
Adakah anda setuju dengan lima hidangan ini setiap kali singgah di kedai mamak?
Baca Artikel Berkaitan: “Macam Topi Wizard” – Pelancong Texas Terkejut Lihat Saiz Roti Tisu Di Kedai Mamak | TRP
Baca Artikel Berkaitan: “Effort A+” – Gelagat Staf Kedai Mamak Bergegas Siapkan Order Ketika Sahur Cuit Hati Ramai | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.