The Chicken Rice Shop Perkenal Hikayat Ayam Zamrud Sempena Ramadan & Raya, Sedap Ke? [Reviu]
Menu baru yang diperkenalkan iaitu Hikayat Ayam Zamrud merupakan inspirasi dari cili hijau yang menyerlahkan rasa dan warna dalam masakan raya.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
The Chicken Rice Shop (TCRS) memperkenalkan menu khas sempena Ramadan dan Aidilfitri, Hikayat Ayam Zamrud yang menggabungkan rasa tradisional dengan sentuhan moden. Hidangan ini diinspirasikan daripada kisah penemuan cili hijau yang menyerlahkan kepelbagaian rasa dan warna dalam masakan raya.
Hikayat Ayam Zamrud menampilkan ayam yang lembut dan berjus dipadankan dengan sambal hijau pedas yang diperbuat daripada cili hijau segar, herba wangi dan perahan limau yang menyegarkan.
Setiap suapan membawa kisah transformasi daripada kesederhanaan kepada kemeriahan selaras dengan semangat perayaan yang penuh warna dan rasa.
Menurut wakil dari The Chicken Rice Shop Restaurants Sdn Bhd Jane Wong, hidangan ini bukan sekadar sajian untuk dinikmati tetapi juga satu simbol warisan budaya yang menyatukan keluarga dan rakan-rakan di meja makan.
Reviu Menu Hikayat Ayam Zamrud

Ketika pelancaran, kami berpeluang mencuba sendiri beberapa menu istimewa termasuk Hikayat Ayam Zamrud. Set hidangan ini hadir dengan suku ayam, ‘pak choy with oyster sauce’, sepinggan nasi, sup, dan air Lagenda Kurma, dengan harga RM29.90 untuk satu pesanan.
Selain itu, kami turut disajikan beberapa menu lain seperti Spicy Savoury Ladies’ Finger, Penang Rojak, Penang Famous Chicken Roll, Nyonya Pai Ti dan Roasted Chicken.
Tiba waktu berbuka, tegukan pertama air Lagenda Kurma cukup menyegarkan selepas seharian berpuasa.
Namun, satu perkara yang menarik perhatian kami, ia langsung tidak mempunyai rasa kurma. Lebih kepada minuman ‘citrus’. Walaupun begitu, rasanya tetap enak dan ‘refreshing’.
Tanpa berlengah, kami terus mencuba hidangan utama. Sebelum kami mula makan, kami semua berpendapat ayam ini lebih baik dipotong terlebih dahulu sebelum dihidangkan.
Ini kerana ia dimasak secara tumis dan mempunyai tekstur yang sedikit pejal. Kebanyakan pelanggan di sini menikmati nasi ayam menggunakan sudu, jadi saiz ayam yang besar tanpa potongan awal agak menyukarkan proses berbuka itu sendiri.
Ayam dipotong empat dan saiznya sangat besar, memastikan pelanggan kenyang setelah menikmatinya. Namun, ruang dalam pinggan tidak dapat menampung ayam tersebut.
Dari segi rasa, sambalnya mempunyai rasa masam dengan sedikit aroma ketumbar, seakan-akan sos hijau latok yang pernah tular sebelum ini. Tahap kepedasannya tidak terlalu tinggi, bergantung kepada toleransi anda. Bagi yang gemarkan makanan pedas, mungkin ini bukan untuk anda.
Jika dibandingkan dengan Crispy Roasted Chicken, team TRP lebih cenderung memilih menu klasik TCRS. Namun, keberanian mereka memperkenalkan sesuatu yang unik patut dipuji, kerana menu Hikayat Ayam Zamrud ini tak boleh didapati di tempat lain.
Hidangan Sampingan Berbaloi Dicuba

Walaupun bukan menu baharu, Spicy Savoury Ladies’ Finger menjadi kegemaran kami berbanding yang lain. Dihidangkan dengan ‘sesame oil’ dan ‘crispy chili oil’, bendi ini benar-benar menaikkan selera dan saiz hidangannya juga cukup besar.
Penang Rojak pula menawarkan gabungan buah betik muda, nanas, dan mempelam muda yang menghasilkan keseimbangan rasa manis, masam dan pedas. Untuk yang mahukan lebih ‘kick’, ada hirisan cili dalam kuah rojak yang boleh digigit bersama.
Jadi, adakah menu ini berbaloi untuk dicuba? Sudah tentu. The Chicken Rice Shop sudah terbukti dengan reputasi nasi ayamnya yang enak, dan Hikayat Ayam Zamrud menawarkan sesuatu yang sedikit berbeza, biarpun pada kami ianya biasa sahaja.
Secara keseluruhan, kami memberi skor 7/10 untuk pengalaman kali ini.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads  dan Instagram.Â