Nirwana Caterer & Deco Tawar Bufet Ramadan Ala Kenduri Kahwin, Saji Lauk Kampung & Menu Istimewa [Review]
Sempena bulan Ramadan ini, Nirwana Caterer & Deco menyediakan juadah berbuka berkonsepkan masakan kampung dan menu kenduri.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Mencari juadah berbuka berkonsepkan masakan kampung di bandar terutamanya di Kuala Lumpur bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, jika anda ingin menikmati hidangan tradisional dalam suasana yang unik, Midpoint Kuala Lumpur adalah lokasi yang patut dikunjungi.
Dengan suasana ala kenduri kahwin, tempat ini menawarkan pengalaman berbuka yang berbeza dan lebih meriah bersama keluarga.
Menampilkan pelbagai pilihan menu seperti kuih-muih, nasi briyani, kambing kuzi, mi kari, dan laksa, Nirwana Caterer & Deco pastinya mampu memuaskan selera anda!

Hidangan Sampingan Yang Pelbagai
Untuk hidangan sampingan merangkap hidangan pembuka selera, mereka menyajikan pelbagai jenis menu untuk anda! Antaranya:
- Otak-otak
- Roti canai bersama-sama sambal ikan bilis
- Kudap-kudapan
- Cucur bawang
- Oden
- Laksa asam
- Mi tauchu
Kami berkesempatan mencuba kesemua menu sampingan ini sewaktu berbuka. Namun bagi kami, cucur bawangnya sedikit kurang kena dengan selera.
Cucur tersebut dihidangkan bersama sos cili, tetapi kami berpendapat ia lebih enak jika dipadankan dengan sambal ikan bilis yang turut disediakan bersama roti canai. Gabungan ini memberikan rasa yang lebih menarik dan seimbang.
Bercerita tentang sambal ikan bilisnya, ia merupakan kegemaran kami pada hari itu. Rasanya benar-benar menepati selera dengan kepedasan yang ‘menyucuk’, sedikit rasa manis di hujung dan ikan bilis yang mempunyai tekstur yang sempurna.

Selepas selesai solat maghrib, barulah dewan makan kembali meriah. Di sinilah semua orang beratur untuk memenuhkan perut dengan aneka juadah utama mereka.
Antara juadah utamanya ialah:
Masakan Kenduri
- Nasi briyani & acar timun
- Kari daging
- Ayam masak merah
- Kambing Cinta Nirwana (Istimewa)
Masakan Kampung
- Rendang cili padi ayam tua
- Ayam masak kicap blackpaper daun kari
- Masak lemak udang
- Asam pedas pari
- Sup tauhu telur
- Pajeri Nanas
- Ikan Masin
- Ulam-ulaman
- Sambal Belacan
Tanpa perlu berfikir panjang, kami terus fokus kepada tujuan utama, iaitu menikmati masakan tradisional.
Sebagai perantau yang datang ke bandar dari latar belakang desa, hidangan di sini cukup untuk mengubati rasa rindu pada tempat asal. Rasanya autentik dan penyediaannya sangat teliti.

Kami juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba masakan kendurinya. Memandangkan ini adalah bidang yang mereka mahir, tidak banyak yang boleh dikomen kerana segalanya terasa sempurna.
Nasinya wangi, dagingnya cukup empuk untuk dinikmati oleh semua peringkat umur, manakala ayamnya bersaiz sederhana.
Namun tiada halangan untuk mengambil lebih, asalkan tidak membazir.

Sebagai penggemar kambing, Kambing Cinta Nirwana merupakan hidangan yang sangat enak. Dagingnya cukup empuk dan jika diberi peluang untuk mencuba lagi, kami pasti akan kembali.
Rasanya sukar diungkapkan, tetapi kami akan cuba memberi gambaran. Ia ibarat kambing bakar dengan sos lada hitam yang lebih berempah berbanding rasa pedas.
Selain itu, hidangan ini juga lebih berkuah berbanding mana-mana kambing bakar yang pernah kami cuba sebelum ini. Secara keseluruhannya, memang memuaskan!
Kambing ini menjadi hidangan utama terakhir yang masuk ke dalam perut kami. Selera pun sudah tidak terbangkit melihat mi dan laksa. Jadi, kami ‘skip’ kedua-dua hidangan ini.

Di akhir kunjungan kami di sini, kami sudahi dengan beberapa potong kuih-muih yang manis sebagai pencuci mulut. Antara pilihan pencuci mulut yang tersedia ialah:
- Rojak buah
- Buah-buahan
- Kuih apam
- Kaswi
- Kuih sagu kelapa
- Puding karamel
- Agar-agar
- Kek batik
- Puding roti
- Jagung susu
- Ais batu campur
Kuih-muihnya biasa sahaja. Sama seperti yang kita selalu beli di gerai-gerai. Tetapi pilihan yang pelbagai ini membuat kita rambang mata ketika memilih. Apa susahnya? Cuba sahaja semua yang ada!

Dengan ‘Super Promo’ yang sedang berlansung sekarang, harga setiap seorang adalah seperti berikut:
- Dewasa – RM48
- Warga Emas – RM43
- Kanak-Kanak – RM30
Alamat: MidPoint Shopping Complex Majestique Palace Hall (3rd Floor), Pandan Indah, Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Rabu – Ahad (hingga 9:30pm)
Baca Artikel Berkaitan: Restoran 17 Hills Perkenal ‘Humble Ramadan Buffet’, Khas Buat Anda Yang Suka Menu Simple
Baca Artikel Berkaitan: Chinta by Chinoz Bawa Set Hidangan Ramadan Dengan Menu Klasik Di Jalan Kemuja, Bangsar!
Baca Artikel Berkaitan: The RuMa Hotel Perkenal Bufet Ramadan 2025 Dengan Sentuhan Rasa Tradisi Istimewa
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.