Dinobatkan Sebagai Kopi Ke-10 Terbaik Di Dunia, Ini 6 Tempat Untuk Cuba ‘Ipoh White Coffee’
Antara tempat yang boleh dikunjungi di Ipoh bagi mencuba white coffee adalah Magical Beans dan Chang Jiang White Coffee.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Disifatkan sebagai sebuah ‘slow town’, pengunjung tempatan mahupun antarabangsa pasti tidak akan terlepas untuk menyinggah di pekan kecil ini.
Pekan yang terletak di tengah-tengah Lembah Kinta ini dikelilingi formasi batu kapur dan menawarkan pelbagai kawasan semula jadi untuk dikunjungi.
Di samping itu, ibu negeri Perak ini turut terkenal dengan pelbagai hidangan tempatan termasuklah ‘white coffee’ yang dipercayai diperkenalkan oleh pendatang Hainan sewaktu zaman perlombongan bijih timah di Ipoh.
Malah, Taste Atlas telah meletakkan Ipoh white coffee di tempat ke-10 kopi terbaik di dunia, mengatasi Flat White dari Australia dan Espresso dari Itali.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Ipoh White Coffee’ Duduki Tempat ke-10 Dalam Senarai 39 Kopi Terbaik Di Dunia Oleh TasteAtlas
6 Tempat Wajib Cuba Ipoh White Coffee
Jadi tidak sah jika anda tidak mencuba Ipoh white coffee apabila ke bandar itu. Berikut merupakan enam tempat wajib cuba white coffee sewaktu berkunjung ke Ipoh.
#1. Chang Jiang White Coffee
Merupakan antara pilihan pertama pelancong Muslim apabila ke Ipoh, Chang Jiang White Coffee di People’s Park telah mendapat pengesahan halal JAKIM.
Walaupun cawangan Chang Jiang White Coffee baru dibuka beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah menjadi salah satu ikon di Ipoh.
Salah satu minuman yang ditawarkan tak lain dan tak bukan adalah white coffee. Tidak kira panas atau sejuk, ia menjadi minuman kegemaran pelanggan dengan rasanya yang pekan, beraroma, manis dan ‘aftertaste’ sedikit pahit.
White coffee itu sesuai dipesan bersama makanan yang terkenal di mana-mana kopitiam, roti bakar kaya butter. Roti bakar boleh dicicah di dalam white coffee untuk mendapatkan rasa yang lebih umph!
Setakat ini, Chang Jiang mempunyai empat cawangan di Ipoh iaitu Home Style Cafe (CJ7), Kopitiam Style Cafe (CJ9), People’s Park (CJ12) dan Kin Loong Valley (CJ4).
#2. Kedai Kopi Sin Yoon Loong
Kedai kopitiam yang terletak di Jalan Bandar Timah ini tidak asing lagi dalam kalangan penduduk tempatan di bandar itu dan merupakan antara salah satu perintis Ipoh white coffee.
Dengan suasananya yang ‘rustic’ dan kopi dihidang dalam cawan tradisional, kehadiran ke kopitiam ini pasti mengimbau kembali kenangan nostalgia. Selain white coffee, kopitiam ini juga terkenal dengan kastad karamelnya.
Namun begitu, mereka yang beragama Islam dinasihati agar berhati-hati apabila ke kopitiam ini memandangkan ia turut menghidangkan makanan tidak halal.
#3. Kedai Makanan Nam Heong
Terletak berdekatan Sin Yoon Loong, kopitiam ini juga menjadi pilihan bagi penduduk tempatan serta pelancong.
White coffee yang pekat dan berbuih dengan rasa manis dan pahit yang seimbang wajib dicuba oleh mana-mana pelanggan.
Jika Sin Yoon Loong sinonim dengan kastad karamel, Nam Heong pula terkenal dengan tat telur yang dibakar sendiri. Aromanya pasti akan menusuk hidung pelanggan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam kopitiam tersebut.
#4. Magical Beans
Bermula dengan kiosk (Magical Beans Express), kedai kopi ‘hipster’ ini kini mempunyai kafenya yang tersendiri.
Magical Beans Cafe terletak di tengah-tengah Ipoh ‘new town’ yang menempatkan tempat-tempat terkenal di termasuk Gerbang Malam, Nasi Ganja Yong Suan, Funny Mountain Soya dan Noor Jahan Bakery.
Oleh itu, apabila berjalan ke new town, jangan lupa untuk ‘tapau’ white coffee di kafe ini! Ia juga disahkan halal dan menawarkan pelbagai hidangan seperti roti bakar, ban nenas dan waffle.
Ngopi moh!
— Moh Kita! (@MohKeIpoh) June 10, 2021
📍Magical Beans Express, Ipoh. pic.twitter.com/l6kN1u833d
#5. Canning Dim Sum
Terletak di Jalan Canning, kedai makan ini cukup terkenal dengan pelanggan Muslim memandangkan ia antara beberapa restoran dim sum di Ipoh yang disahkan halal.
Dengan hidangan dim sum yang pelbagai, orang ramai pasti tidak melepaskan peluang untuk singgah ke sini apabila berkunjung ke Ipoh.
Bukan itu sahaja, white coffee yang dihidangkan juga setanding mana-mana kopitiam lain dengan rasanya yang berlemak, lembut dan manis-pahit.
Pelanggan juga boleh mendapatkan ban stim berinti kastad telur masin yang cukup popular di kedai-kedai dim sum!
#6. Restoran New Holly Wood
Bagi kebanyakan orang Ipoh, restoran berkonsep ‘food court’ ini menjadi antara pilihan utama untuk bersarapan pagi. Ia menawarkan pelbagai hidangan daripada chee cheong fun, mi wantan dan dim sum, hinggalah ke nasi lemak dan nasi kandar.
Salah satu minuman yang menjadi pilihan pelanggan di sini sudah tentulah white coffee. Dengan rasanya yang pekat dan berlemak, ia pasti memberi ‘caffeine kick’ yang buatkan anda kekal segar!
Kalau anda tak tahu, white coffee sebenarnya mengandungi lebih banyak kafein (sehingga 50%) berbanding kopi hitam. Ini kerana lebih banyak kafein yang dibakar melalui proses pemanggangan bagi kopi hitam.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.