Now Reading
[EKSKLUSIF] Kanak-Kanak Di Malaysia Dijangkiti RSV, Rotavirus & HFMD, Ini Info Penting Oleh Dr Tai Chian Wern

[EKSKLUSIF] Kanak-Kanak Di Malaysia Dijangkiti RSV, Rotavirus & HFMD, Ini Info Penting Oleh Dr Tai Chian Wern

Perunding Pakar Pediatrik dan Pediatrik Intensif, Dr Tai Chian Wern, berkata penyakit seperti RSV, Rotavirus dan HFMD sebenarnya sudah berstatus endemik di Malaysia, namun ada kalanya menunjukkan lonjakan kes.

In Brief
  • RSV, Rotavirus, dan HFMD adalah endemik di Malaysia, dengan peningkatan kes bukan bermaksud negara sedang mengalami wabak besar.
  • Ibu ayah disarankan memantau simptom anak dan segera berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda amaran yang membimbangkan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Boleh dikatakan kini tular tentang kes penyakit berjangkit bayi dan kanak-kanak
antaranya Respiratory Syncytial Virus (RSV), Rotavirus serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Situasi ini sudah tentu membuatkan ramai ibu ayah berasa risau dengan kesihatan anak masing-masing, terutamanya bayi yang masih kecil dan berisiko tinggi.

Dalam memahami masalah ini, team TRPbm dalam satu temu ramah eksklusif telah mendapatkan penjelasan lanjut daripada Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Intensif, Dr Tai Chian Wern, dari Pantai Hospital Kuala Lumpur.

Peningkatan Kes Penyakit Dalam Kalangan Kanak-Kanak Tidak Bermakna Negara Alami Wabak Besar

Mengulas situasi ini, Dr Tai berkata penyakit-penyakit ini sebenarnya sudah berstatus endemik di Malaysia, namun ada kalanya menunjukkan lonjakan kes.

Beliau menegaskan bahawa walaupun terdapat peningkatan kes yang dilaporkan, ini tidak bermakna negara sedang mengalami wabak besar.

“Bilangan kes boleh berubah mengikut musim, kawasan, aktiviti di taska dan
sekolah, serta corak penularan virus itu sendiri.

“Antara faktor utama ialah kanak-kanak kecil mempunyai banyak kontak rapat antara satu sama lain, contohnya di taska, tadika dan sekolah. Mereka juga sering menyentuh muka, berkongsi mainan dan belum mempunyai amalan kebersihan tangan yang baik,” katanya kepada TRP.

Cara Kenal Pasti Penyakit RSV, Rotavirus & HFMD Pada Kanak-Kanak

Apabila ditanya, Dr Tai berkata ketiga-tiga jenis penyakit yang dikatakan sedang menular ini boleh dikenal pasti dengan mudah dengan memerhatikan bahagian badan yang terjejas.

PenyakitCara Utama MerebakGejala UtamaGolongan Berisiko Tinggi
RSVTitisan pernafasan dan sentuhan dengan titisan cecair hidungSelesema, batuk, demam, nafas laju atau susah bernafasKanak-kanak
terutamanya bayi bawah enam bulan, bayi pramatang, serta kanak-kanak dengan penyakit
jantung/ paru-paru
RotavirusMelalui laluan najis-tangan-mulut, permukaan atau makanan tercemarMuntah, cirit-
birit berair,
demam
Bayi dan kanak-
kanak kecil kerana lebih mudah mengalami dehidrasi
HFMDAir liur, titisan cecair hidung dan cecair daripada lepuhDemam, ulser mulut, ruam pada tangan dan kakiKanak-kanak kecil,
terutama yang
berada di
taska/ tadika

Seperti yang semua sedia maklum, jangkitan RSV terhadap kanak-kanak paling membimbangkan dari segi pernafasan, manakala rotavirus pula dari segi dehidrasi.

Bagi jangkitan HFMD, walaupun simptom kebiasaannya ringan, Dr Tai menegaskan bahawa terdapat sebilangan kecil kes yang boleh menyebabkan komplikasi seperti masalah neurologi atau jantung.

Simptom HFMD pada bahagian tangan, kaki dan dalam mulut.

Mengulas lanjut, Dr Tai berkata bayi dan kanak-kanak di bawah usia lima tahun lebih mudah dijangkiti penyakit-penyakit ini kerana sistem pertahanan badan mereka yang sedang berkembang dan dalam proses belajar mengenali virus baharu.

Selain itu, sifat ingin tahu bayi dan si kecil juga menyebabkan mereka lebih mudah terdedah kepada virus, seperti gemar memasukkan tangan dan objek ke dalam mulut, berkongsi mainan dengan kanak-kanak lain dan gemar melakukan sentuhan fizikal.

Keberadaan mereka dalam kalangan kumpulan kanak-kanak yang besar seperti di taska dan tadika juga menyebabkan virus lebih mudah untuk merebak.

Jangan Hanya Fokus Pada Nama Penyakit, Perhatikan Simptom Dialami Si Kecil

Bukan sahaja RSV, rotavirus dan HFMD, Dr Tai turut mengingatkan ibu ayah agar cakna dengan beberapa penyakit lain termasuk:

  • Influenza
  • Covid-19
  • Adenovirus
  • Croup
  • Gastroenteritis akibat virus atau bakteria
  • Demam denggi
  • Campak
  • Cacar air

Namun untuk memahami kesemua penyakit ini dan simptomnya mungkin agak sukar buat ibu ayah.

Oleh itu, pakar pediatrik tersebut menasihati ibu ayah agar tidak terlalu fokus terhadap nama virus, sebaliknya perhatikan keadaan si kecil.

“Anak yang nampak semakin lemah, tidak mahu minum atau mengalami kesukaran bernafas perlu dinilai oleh doktor walaupun kita belum tahu virus apa yang menyebabkannya,” ujar beliau.

Menurut Dr Tai, antara tanda amaran yang paling penting ialah:

  • Susah bernafas atau bernafas sangat laju
  • Dada tertarik ke dalam ketika bernafas
  • Anak terlalu lemah, mengantuk atau sukar dikejutkan dari tidur
  • Tidak mahu minum atau menyusu
  • Muntah berulang kali
  • Sangat kurang kencing atau tanda dehidrasi yang ketara
  • Sawan
  • Pengsan atau tidak memberi respons
  • Demam pada bayi berumur bawah tiga bulan
Perhatikan simptom dialami oleh anak sama ada semakin teruk atau bertambah baik.

Tambah Dr Tai lagi, umur anak juga amat penting apabila doktor menilai sesuatu jangkitan. Sebagai contoh, bayi berusia dua bulan yang mengalami batuk dan selesema tidak boleh dianggap sama seperti kanak-kanak berumur enam tahun dengan simptom serupa.

Dalam masa sama, beliau berkata simptom yang dialami oleh si kecil tidak boleh menentukan jenis penyakit yang dialami secara tepat.

Contohnya, selesema biasa mungkin disebabkan oleh demam, namun boleh juga menjadi simptom jangkitan Influenza atau Covid-19.

Oleh itu, jika anak masih kelihatan aktif, minum secukupnya, tiada gangguan pernafasan dan simptom menunjukkan pemulihan, ia kebiasaannya mungkin disebabkan oleh jangkitan yang kurang dibimbangkan.

“Kebanyakan kes ringan sememangnya boleh dijaga di rumah. Prinsip asas penjagaannya cukup mudah iaitu rehat yang mencukupi, cecair yang cukup, pemakanan yang sesuai, serta pemantauan berterusan terhadap keadaan anak,” jelas Dr Tai.

Namun segera bawa si kecil untuk mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya terdapat tanda-tanda amaran atau anak ‘tidak kelihatan seperti kebiasaan’. Dalam erti kata lain, ibu ayah perlu percaya pada naluri juga.

Apa Perlu Buat Apabila Anak Dijangkiti?

Selepas si kecil disahkan dijangkiti suatu penyakit, apa yang penting adalah memberi rawatan yang bersesuaian bagi mengurangkan simptom dialami.

Bagi ketiga-tiga penyakit di atas yang merupakan jangkitan virus, Dr Tai berkata rawatan yang diberikan adalah dalam bentuk rawatan sokongan (supportive
care
) seperti berikut:

  • RSV: Pastikan anak mendapat cecair yang mencukupi. Sekiranya anak mengalami kesukaran atau bernafas dengan laju, mereka mungkin memerlukan bantuan oksigen dan pemantauan di hospital.
  • Rotavirus: Fokus utama adalah menggantikan cecair serta garam mineral yang hilang akibat muntah dan cirit-birit, termasuk menerusi pengambilan Garam Rehidrasi Oral (ORS).
  • HFMD: Rawatan bertujuan untuk melegakan demam, merawat kesakitan akibat ulser, serta memastikan anak kekal terhidrasi melalui pengambilan cecair yang memadai.
Dalam kes serius, kanak-kanak mungkin perlu dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sehubungan itu, Dr Tai turut mengingatkan ibu ayah bahawa pemberian antibiotik bukanlah penawar bagi semua jenis jangkitan. Sebaliknya ia diberikan sekiranya doktor mengesyaki terdapat komplikasi jangkitan bakteria sekunder.

“Oleh itu, elakkan mendesak atau meminta antibiotik semata-mata kerana anak mengalami demam,” kata beliau.

Kebersihan Penting Agar Penyakit Tidak Tersebar

Dalam masa sama, si kecil yang disahkan dijangkiti suatu penyakit boleh menyebabkan ia tersebar kepada kanak-kanak lain sekiranya tindakan tidak diambil oleh ibu ayah.

Pertama sekali, penting untuk ibu ayah mengasingkan anak yang sakit daripada adik-beradik atau kanak-kanak lain, terutamanya bayi kecil.

Pastikan kanak-kanak lain tidak berkongsi tuala, cawan, sudu, botol susu atau puting bersama si kecil yang sedang sakit.

Ibu ayah juga perlu membersihkan tangan dengan betul, terutamanya selepas mengelap hingus, batuk, membantu anak ke tandas atau menukar lampin, bagi mengelakkan jangkitan daripada menular.

Bersihkan juga barangan yang kerap disentuh termasuk telefon bimbit, meja makan, tombol pintu dan mainan yang dikongsi.

Didik anak tentang kebersihan dan pakaikan pelitup muka jika perlu ke mana-mana ketika bergejala.

Kuarantinkan Si Kecil Yang Bergejala Daripada Kanak-Kanak Lain

Dalam masa sama, si kecil yang mengalami penyakit berjangkit pula perlu dikuarantinkan buat seketika sebelum kembali ke taska atau sekolah.

Sebagai contoh, bagi HFMD, pesakit biasanya perlu kuarantin selama tujuh hingga 10 hari atau sehingga benar-benar pulih. Bagi penyakit seperti RSV pula, pastikan demam telah reda dan si kecil kembali aktif.

Secara ringkasnya, tunggu anak benar-benar sihat dan tidak terlalu lemah sebelum menghantar mereka semula ke taska atau sekolah.

Dr Tai turut mengingatkan ibu ayah agar patuhi tempoh kuarantin yang ditetapkan oleh pihak taska, sekolah atau Pejabat Kesihatan jika ada.

Pengambilan Vaksin Tambahan Membantu, Namun Jangan Rasa Gagal Jika Tidak Mampu Mengambilnya

Dalam mendepani situasi penularan penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak, ibu ayah sering disarankan agar mengambil suntikan vaksin atau antibodi buat si kecil sebagai perlindungan tambahan.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah suntikan ini memakan kos yang tinggi, seperti suntikan RSV.

Dr Tai memberi jaminan kepada ibu ayah, bahawa ketidakmampuan mengambil vaksin tambahan bukanlah bermaksud mereka gagal melindungi anak.

Pun begitu, pastikan si kecil mengambil semua imunisasi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) mengikut jadual agar mendapat perlindungan asas yang terhadap penyakit berjangkit utama.

Selain itu, beri tumpuan pada langkah pencegahan harian seperti:

  • Amalkan kebersihan, termasuk kerap membasuh tangan dan membersihkan barangan kegunaan harian.
  • Didik anak tentang kebersihan seperti tidak memasukkan tangan atau objek ke dalam mulut.
  • Kawal pendedahan dengan mengelakkan hubungan bersama individu sakit, jauhkan anak daripada asap rokok atau vape, dan jangan hantar anak yang sakit ke taska atau sekolah.
  • Kuatkan imuniti semula jadi termasuk menerusi penyusuan susu ibu bagi bayi serta pemberian makanan berkhasiat dan tidur yang mencukupi buat si kecil.
  • Peka terhadap perubahan dan segera dapatkan rawatan apabila si kecil menunjukkan tanda-tanda bahaya.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd