Semakin Banyak Kawasan Catat IPU Tidak Sihat, Ini Tips Hadapi Jerebu
Jika terpaksa keluar, gunakan pelitup muka yang khas bagi masalah jerebu, dan bukan untuk perlindungan dari virus.
- Ten areas in Malaysia recorded unhealthy Air Pollution Index readings, with Sarawak and Selangor among the worst affected regions.
- To stay safe during haze, reduce outdoor activities, wear N95 masks, drink plenty of water, and keep windows closed indoors.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Cuaca di dalam negara kini semakin panas, malah sehingga menyebabkan pencemaran udara di kawasan-kawasan tertentu.
Hari ini (13 Ogos), sebanyak 10 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat (101-200) setakat jam 2.10 petang.
Bandar di Sarawak, Serian merekodkan bacaan Samarahan (177), Kuching (174), Sri Aman (161) dan Sarikei (157), Mukah (152) dan Sibu (151).
Di Semenanjung pula, dua kawasan di Selangor merekodkan bacaan udara tidak sihat iaitu Johan Setia (154) dan Shah Alam (105). Manakala di Cheras, Kuala Lumpur IPU tidak sihat direkodkan pada 128.
Tips Hadapi Musim Jerebu
IPU yang tidak sihat bermakna tahap pencemaran udara di sesebuah kawasan mula memberi kesan kepada kesihatan, khususnya buat golongan berisiko tinggi. Dalam erti kata lain, IPU tidak sihat bermakna kawasan yang berjerebu.
Pendedahan kepada udara tercemar boleh membuatkan seseorang mengalami masalah gatal tekak, batuk, malah sukar bernafas.
Oleh itu, penting untuk melakukan langkah-langkah bagi melindungi kesihatan diri dan insan tersayang ketika musim jerebu.
#1. Kurangkan Aktiviti Outdoor
Pertama sekali, apa yang paling penting adalah cuba untuk kurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelakkan daripada terdedah kepada udara tercemar.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menasihati orang ramai mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti lasak di luar bangunan seperti berjogging, mendaki dan berbasikal.
Melakukan aktiviti fizikal akan menyebabkan respon pernafasan menjadi lebih laju, yang bermakna lebih banyak udara tercemar akan dihidu.
#2. Gunakan Pelitup Muka Yang Bersesuaian
Jika anda terpaksa ke kawasan luar bangunan, gunakan pelitup muka (face mask) yang bersesuaian.
Ingat, pelitup muka bagi pencemaran udara tidak sama seperti face mask yang digunakan bagi pencegahan virus.
Gunakan pelitup muka jenis N95, N99 atau KN95 yang mampu menapis sekurang-kurangnya 95% zarah halus berbahaya.
Pastikan juga anda memilih saiz pelitup muka yang bersesuaian agar ia dapat melekap rapat pada muka.

#3. Minum Air Kosong Secukupnya
Memandangkan jerebu disebabkan oleh cuaca panas dan pencemaran udara, tekak anda mungkin kerap berasa kering.
Oleh itu, penting untuk minum air kosong dengan secukupnya, atau sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, untuk mengelakkan masalah kesihatan seperti sakit tekak, batuk dan dehidrasi.
#4. Elakkan Bahagian Dalam Rumah Tercemar
Jika anda tinggal di kawasan dengan udara tercemar, tutup tingkap dan pintu bagi mengelakkan udara kotor daripada masuk ke dalam rumah.
Dalam masa sama, kurangkan juga aktiviti yang meningkatkan pencemaran udara dalaman seperti merokok.
Boleh juga pasangkan alat penapis udara (air purifier) agar partikel halus dan bahan pencemar terperangkap dan dapat dikurangkan.
#5. Gunakan Mod Kitaran Udara Dalam Kereta
Apabila menaiki kereta, pastikan juga tingkap ditutup dan gunakan penyaman udara sahaja.
Tetapkan penyaman udara kepada mod kitaran udara dalaman (recirculation). Jangan guna mod airflow bagi mengelakkan udara tercemar dari luar masuk ke dalam kereta.

Pantau Gejala Akibat Jerebu, Dapatkan Rawatan Jika Serius
Dalam masa sama, jangan lupa untuk pantau gejala kesihatan yang dialami akibat terdedah kepada jerebu.
Menurut KKM, antara gejala yang akan dialami akibat pendedahan berterusan kepada jerebu ialah:
- Kerongkong atau tekak terasa gatal dan kerap batuk
- Hidung berair dan kerap bersin
- Rasa sukar bernafas atau sesak nafas
- Mata rasa pedih dan berair
- Kulit badan terasa gatal
- Rasa sakit dada

Sekiranya terdapat simptom di atas yang semakin teruk, terutamanya sesak nafas atau batuk berpanjangan, segera dapatkan rawatan.
Berikan perhatian dan perlindungan khusus kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit kronik.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.