Kanser Kolon Melonjak 53.9% Dalam Lima Tahun, Kini Menjejaskan Ramai Golongan Muda
Sebanyak 15.3% daripada 23,871 kes kanser kolon terkini di Malaysia membabitkan individu bawah 50 tahun.
- Kanser kolon di Malaysia meningkat 53.9% dalam lima tahun, dengan 15.3% kes membabitkan individu bawah 50 tahun.
- Tabiat hidup tidak sihat seperti obesiti, merokok dan kurang aktiviti fizikal menjadi punca utama kanser kolon dalam kalangan orang muda.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, negara telah digemparkan dengan pemergian seorang pramugara terkenal dengan layanan mesranya terhadap jemaah haji dan umrah, akibat kanser usus.
Disebabkan itu, kanser kolon sering dianggap sebagai penyakit yang hanya menyerang golongan warga emas, tetapi tanggapan itu mula berubah selepas ramai orang muda turut menghidapnya.
Menurut data Institut Kanser Negara, kanser kolon kini merupakan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia telah meningkat sebanyak 53.9%, iaitu daripada 15,515 kes antara 2012 dan 2016 kepada 23,871 kes antara 2017 dan 2021.
Presiden National Cancer Society Malaysia (NCSM), Profesor Dr M. Murallitharan berkata walaupun kanser kolon biasanya dihadapi oleh golongan orang tua, data terkini menunjukkan penyakit ini turut menjejaskan golongan muda serta pertengahan usia.
Baca Artikel Berkaitan: Kerap Demam ‘On-Off’? Hati-Hati, Boleh Jadi Simptom Awal Kanser | TRP
Semakin Ramai Orang Muda Menghidapi Kanser Kolon

Menurut laporan NST, peningkatan kes telah direkodkan merentasi kedua-dua jantina. Kes dalam kalangan lelaki meningkat kira-kira 56.4%, manakala kes dalam kalangan wanita meningkat kira-kira 50.6%.
Daripada 23,871 kes yang direkodkan dalam Laporan Pendaftaran Kanser terkini, kira-kira 3,653 kes atau 15.3% membabitkan individu bawah 50 tahun.
Jumlah tertinggi dicatatkan dalam kalangan mereka yang berusia 45 hingga 49 tahun.
“Walaupun majoriti kes masih berlaku dalam kalangan golongan lebih tua, trend kanser kolon dalam kalangan orang muda dan pertengahan usia mula mendapat perhatian, termasuk di Malaysia,” kata Dr Murallitharan
Peningkatan kes dalam kalangan orang muda dipercayai akibat beberapa faktor yang sebelum ini hanya menjejaskan orang tua.
Dr Murallitharan memetik satu kajian tempatan mendapati 11% kes kanser kolon membabitkan mereka berusia bawah 40 tahun, dan ramai dikesan pada peringkat tiga atau empat.
“Jadi, kanser kolon tidak lagi boleh dianggap sebagai penyakit yang hanya menjejaskan golongan tua,” tambahnya.
Tabiat Seperti Merokok, Obesiti, Kurang Aktiviti Fizikal Menjadi Punca

Menurut Dr Murallitharan, terdapat dua faktor yang boleh menyebabkan berlakunya kanser kolon iaitu faktor terkawal dan tidak terkawal.
Sebagai contoh, faktor yang boleh dikawal iaitu tabiat pemakanan tidak sihat, obesiti, kurang aktiviti fizikal, merokok serta pengambilan alkohol.
Selain itu, faktor yang tidak boleh dikawal seperti usia, genetik dan sejarah keluarga.
Faktor-faktor inilah yang menjadikan penyakit ini semakin relevan kepada golongan muda terdedah kepada gaya hidup moden.
Kesedaran Terhadap Kanser Kolon Masih Rendah
Melakukan saringan sangat penting untuk mengesan pembiakan kanser kolon dan kesedaran mengenainya masih di tahap rendah.
Hanya 51.4% responden sanggup menjalani saringan, manakala 59% merasakan ia tidak perlu kerana tiada simptom berlaku.
Individu berusia antara 40 hingga 75 tahun dinasihatkan menjalani ujian immunochemical Faecal Occult Blood Test (iFOBT) setiap tahun.
Bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga penyakit ini atau faktor risiko lain yang diketahui, kolonoskopi pula disyorkan untuk pemeriksaan lanjut.
Apa Itu Kanser Kolon?

Untuk pengetahuan, kanser kolon ialah pertumbuhan sel bermula pada bahagian usus besar yang dikenali sebagai kolon.
Kolon merupakan bahagian pertama dan paling panjang dalam usus besar bertanggungjawab memecahkan makanan untuk kegunaan tubuh badan.
Biasanya penyakit ini akan bermula sebagai gumpalan kecil sel yang dipanggil polip, yang terbentuk di dalam kolon.
Kebanyakan polip tidak bersifat kanser, tetapi boleh berubah menjadi kanser dari semasa ke semasa.
Polip sering tidak menunjukkan sebarang gejala dan sebab itulah pentingnya untuk melakukan ujian saringan untuk mengesan pembiakannya dalam kolon kerana menemui serta membuangnya dapat bantu mencegah penyakit ini merebak.
Sekiranya kanser kolon berkembang, terdapat pelbagai rawatan yang boleh membantu mengawalnya seperti pembedahan, terapi radiasi seperti kemoterapi dan imunoterapi.
Simpton-Simpton Kanser Yang Perlu Diberi Perhatian
Antara simptom kanser kolon yang perlu diberi perhatian ialah:
- Perubahan tabiat buang air besar, seperti cirit-birit atau sembelit yang lebih kerap
- Pendarahan rektum atau darah dalam najis
- Rasa tidak selesa berterusan pada bahagian perut, seperti kekejangan, angin atau sakit
- Rasa usus tidak kosong sepenuhnya selepas buang air besar
- Rasa lemah atau letih
- Kehilangan berat badan tanpa sebab
Makanan Yang Boleh Mengurangkan Penularan Kanser Kolon

Menurut laporan UCHealth, mengamal tabiat pemakanan yang baik dapat bantu mengurangkan risiko kanser kolon.
Utamakan makanan tinggi dengan kandungan serat seperti roti gandum penuh, beras perang dan kacang soya, lentil, pea, pinto, hitam serta merah.
Selain itu, sumber protein seperti vitamin B, E dan tanpa lemak seperti ikan, ayam secara sederhana terbukti mengurangkan risiko kanser kolon.
Tambahan pula, jangan lupa untuk amalkan sayur-sayuran dan bijirin penuh untuk melengkapkan diet seimbang anda.
Kemudian elakkan 3 makanan ini seperti:
#1. Makanan segera
Biasanya mempunyai kandungan nutrien rendah yang boleh menyumbang kepada masalah obesiti meningkatkan risiko kanser
#2. Makanan mengandungi kandungan glisemik tinggi
Nasi putih, mi, kek dan gula yang mencetuskan insulin juga menjadi salah satu punca penularan kanser kolon.
#3. Daging merah dan daging diproses
Daging merah dan diproses seperti sosej boleh menghasilkan heterocyclic amines (HCA) dan polycyclic aromatic hydrocarbons (PAH) apabila dimasak pada suhu tinggi yang boleh menyebabkan berlakunya kanser kolon.
Pencegahan Lebih Baik Daripada Merawat

Tabiat pemakanan yang betul dapat membantu tubuh badan kekal sihat serta mempunyai nutrien mencukupi untuk mempercepatkan pemulihan.
Selain itu amalkan kuantiti makan sedikit tetapi kerap iaitu setiap dua hingga tiga jam untuk memudahkan sistem penghadaman mencerna makanan dengan lebih efisien.
Jangan lupa untuk kekal aktif dan elak menjalani gaya kehidupan sedentari supaya tubuh badan sentiasa berada dalam keadaan paling sihat.
Baca Artikel Berkaitan: Kekurangan Tidur Boleh Menyebabkan Darah Tinggi Meningkat, Ini 5 Tips Mudah Untuk Dapatkan Tidur Berkualiti | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Penyakit Kusta Belum Lenyap Di Malaysia, Lapan Kes Baharu Dikesan Di Kelantan Tahun Lepas | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.