Kerap Demam ‘On-Off’? Hati-Hati, Boleh Jadi Simptom Awal Kanser
Doktor perubatan Dr Wea turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil remeh simptom-simptom awal ini dan hanya menganggap ia perkara biasa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kanser sememangnya merupakan salah satu penyakit yang amat digeruni ramai memandangkan ia dianggap sebagai penyakit paling teruk di seluruh dunia.
Pun begitu, banyak kanser yang boleh disembuhkan jika dikesan dengan awal sebelum ia merebak ke bahagian lain dan diberi rawatan secara efektif.
Oleh itu, amat penting bagi kita untuk memerhatikan simptom awal kanser pada diri sendiri dan orang tersayang.
Baca Artikel Berkaitan: “Benjolan Pada Payudara Tak Semestinya Kanser” – Pakar
Baca Artikel Berkaitan: Isteri Hidap Kanser, Lelaki Ini Kongsi Makanan & Diet Terbaik Buat Para Pesakit
Doktor Kongsi 4 Tanda Awal Seseorang Mungkin Ada Kanser
Menurut doktor kesihatan yang dikenali sebagai Dr Wea, terdapat tanda-tanda awal yang boleh diperhatikan yang mungkin menjadi petunjuk seseorang itu mempunyai kanser.
Katanya, mungkin ramai yang menganggap antara simptom kanser adalah muntah berdarah, najis berdarah dan mempunyai benjolan pada kulit.
Namun simptom tersebut sebenarnya merupakan tanda-tanda kanser yang sudah agak berkembang.
#1. Turun Berat Badan Mendadak
Penurunan berat badan secara mendadak walaupun tanpa bersenam atau diet boleh menjadi antara tanda awal kanser.
Berat badan turun mendadak boleh dikenal pasti apabila orang sekeliling turut melihat perubahan fizikal yang berlaku pada seseorang.
Dr Wea menerangkan perkara ini berlaku kerana badan menggunakan tenaga secara tidak normal, iaitu sel kanser mengambil tenaga yang disimpan.
#2. Demam Berpanjangan
Satu lagi tanda awal kanser ialah demam berpanjangan, iaitu demam yang kerap berulangan.
“Demam on, off. Setiap bulan, mesti demam 2, 3 kali. Bukan demam virus biasa yang 2,3 hari dah hilang,” kata Dr Wea.
Dia menerangkan bahawa demam tersebut boleh disebabkan oleh kewujudan sel kanser yang melemahkan antibodi tubuh badan.

#3. Berpeluh Pada Sebelah Malam
Selain itu, kerap berpeluh pada sebelah malam (night sweats) walaupun dalam cuaca persekitaran yang sejuk boleh menjadi tanda awal seseorang mempunyai kanser.
Menurut Healthline, simptom ini hanya ditunjukkan bagi jenis kanser tertentu khususnya leukemia, limfoma dan tumor karsinoid.
Berbeza dengan peluh biasa akibat panas, night sweats berlaku apabila seseorang berpeluh terlalu banyak sehingga baju yang dipakai dan cadar katil basah kuyup.
#4. Sangat Cepat Penat
Satu lagi simptom awal kanser adalah berasa cepat penat walaupun ketika tidak berbuat apa-apa dan telah mendapat rehat yang cukup.
Menurut Mayo Clinic, keletihan akibat kanser boleh disebabkan oleh pelbagai perkara termasuk rasa sakit kronik, sukar tidur, sukar mendapatkan nutrisi secukupnya, perubahan hormon dan tekanan hidup.
Dalam pada itu, Dr Wea mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil remeh simptom-simptom awal ini dan hanya menganggap ia perkara biasa.
“Kalau ada salah satu daripada tanda-tanda ini, kemungkinan besar anda ada risiko untuk menghidap kanser. Cepat-cepat jumpa doktor di klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” ujarnya.
@doktorwea 4 tanda-tanda awal kanser yang kita selalu pandang enteng. Kalau ada salah satu, cepat cepat jumpa doctor di klinik berdekatan. #kanser #kesihatan #fyp ♬ original sound – Dr Wea
Tonton video penuh [DI SINI].
Simtpom Kanser Bergantung Kepada Lokasi Kanser
Mayo Clinic menjelaskan tanda dan simptom kanser adalah berbeza bergantung kepada bahagian tubuh badan yang mengalami masalah itu.
Selain tanda-tanda yang dikongsikan di atas, terdapat simptom kanser umum lain seperti:
- Pendarahan atau lebam yang tidak dapat dijelaskan.
- Benjolan di bawah kulit.
- Berat badan naik mendadak.
- Perubahan pada warna kulit seperti menjadi kuning, merah atau gelap.
- Luka pada kulit yang tidak hilang.
- Perubahan pada tahi lalat sedia ada.
- Perubahan tabiat usus atau pundi kencing.
- Kerap batuk atau sukar bernafas.
- Sukar telan.
- Suara serak.
- Sukar hadam atau rasa tidak selesa selepas makan.
- Kerap sakit otot atau sendi.
Kanser Berlaku Apabila Terdapat Mutasi Pada DNA
Sebagai info, kanser berlaku akibat perubahan atau mutasi terhadap DNA di dalam sel, sama ada mutasi genetik mahupun mutasi yang berlaku akibat faktor luaran seperti merokok, terdedah pada radiasi atau karsinogen dan kurang bersenam.
Apabila terdapat kerosakan kepada DNA, ia boleh menyebabkan sel membesar dan terbahagi dengan lebih cepat, menghasilkan banyak sel dengan mutasi sama.
Terdapat individu yang lebih berisiko menghidap kanser yang bergantung kepada:
- Umur: Mereka yang berumur 65 tahun ke atas lebih kerap mendapat diagnosis kanser.
- Tabiat: Melakukan tabiat yang boleh meningkatkan risiko seperti merokok, pendedahan kepada cahaya matahari berlebihan dan obesiti.
- Sejarah keluarga: Disebabkan oleh mutasi genetik.
- Keadaan kesihatan kronik: Seperti ulcerative colitis.
- Persekitaran: Risiko boleh meningkat jika persekitaran mengandungi bahan kimia berbahaya seperti asbestos dan benzena.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Langkah Yang Boleh Kurangkan Risiko Kanser Kolon Jika Diamalkan Setiap Hari
Baca Artikel Berkaitan: Amalkan 4 Makanan Ini Setiap Hari, Dapat Bantu Kurangkan Risiko Kanser Kolon
Baca Artikel Berkaitan: Ini Faktor Risiko Kanser Ovari, Jalankan Pemeriksaan Segera Jika Ada Salah Satu Simptom
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



