Now Reading
Jangan Sedih Jika Ibu Tak Cukup Susu Badan, Dr Nisa Tegaskan Tubuh Setiap Wanita Berbeza

Jangan Sedih Jika Ibu Tak Cukup Susu Badan, Dr Nisa Tegaskan Tubuh Setiap Wanita Berbeza

Pakar pediatrik Dr Nisa berkata, apa yang lebih penting adalah bayi dapat minum secukupnya dan berasa kenyang dengan mana-mana jenis susu yang diberikan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Susu ibu adalah satu rezeki yang mungkin tidak dapat dirasai oleh setiap kaum hawa selepas melahirkan bayinya.

Walaupun setelah berusaha dengan mengamalkan pelbagai tips dan petua, namun sesetengah ibu masih tidak dapat menghasilkan susu badan yang mencukupi buat buah hati mereka.

Perkara ini sudah tentu akan membuatkan ibu berasa kecewa dan sedih, apatah apabila terpaksa mendengar sahaja rungutan orang sekeliling seolah-olah mereka tidak meletakkan sebarang usaha.

Baca Artikel Berkaitan: “Susu Tak Keluar Pun Lagi?” – Pakar Ini Ulas Topik Bila Sebenarnya Susu Ibu Mula Dihasilkan

Baca Artikel Berkaitan: Bila Ibu Ayah Boleh ‘Stop’ Kejutkan Bayi Bangun Malam Untuk Menyusu? Ini Jawapan Pakar

Susu Ibu Memang Banyak Kebaikan, Namun Ada Fakta Lain Yang Sering Tidak Dikongsi

Menerusi hantaran di Threads, pakar pediatrik Dr Nisa Khalil, berkongsi beliau telah menerima soalan daripada seorang wanita yang tidak dapat menghasilkan susu badan selepas tiga hari melahirkan bayinya.

“Doktor, kenapa susu saya tak cukup? Saya dah cuba macam-macam. Fenugreek, oat, power pumping, lactation cosultant. Tapi masih tak cukup. Salah saya ke?

Am I a bad mother?” soal wanita tersebut dipetik Dr Nisa.

Dr Nisa berkata rata-rata wanita di Malaysia dibesarkan dengan pendapat bahawa susu ibu adalah yang terbaik buat bayi.

Walaupun beliau bersetuju bahawa kajian saintifik menunjukkan susu ibu mempunyai banyak kebaikan, namun dapatan itu sering dikongsikan tanpa penjelasan lanjut, membuatkan ramai terlepas pandang satu fakta penting.

Baca Artikel Berkaitan: Susu Ibu Waktu Pagi & Malam Ada Kandungan Hormon Berbeza? [Video]

Sesetengah Wanita Alami Keadaan Insufficient Glandular Tissue

Dr Nisa menerangkan bahawa bukan setiap tubuh wanita boleh menghasilkan susu yang mencukupi walaupun setelah pelbagai usaha dilakukan olehnya.

“Ia bukan kegagalan usaha. Ia bukan kegagalan kasih sayang,” katanya.

Dari segi saintifik, beliau berkata sesetengah ibu mengalami keadaan Insufficient Glandular Tissue (IGT) yang juga dikenali sebagai hipoplasia payudara.

Ini bermakna tisu di dalam payudara yang menghasilkan susu gagal berkembang sepenuhnya, menyebabkan penghasilan susu yang tidak mencukupi.

Foto: Pexels

Kata Dr Nisa, keadaan ini boleh berlaku disebabkan oleh beberapa perkara seperti:

  • Telah menjalani pembedahan payudara.
  • Pengambilan ubat-ubatan tertentu tanpa henti.
  • Keadaan hormon yang mengganggu penghasilan susu dan mungkin terjadi akibat kehilangan darah, ibu stres atau bayi sukar menyusu.

Wanita Dengan IGT Menunjukkan Tanda-Tanda Tertentu Pada Payudara

Menurut Australian Breastfeeding Association, seorang wanita mungkin mengalami IGT jika mempunyai beberapa simptom seperti:

  • Jarak antara payudara yang agak jauh (lebih daripada 4cm)
  • Satu payudara lebih besar daripada sebelah lagi
  • Payudara berbentuk seakan-akan tiub (tubular-shaped)
  • Areola yang sangat besar atau tersembul (seperti ia bersambung pada payudara)
  • Tidak mengalami perubahan pada payudara ketika hamil, selepas bersalin atau kedua-duanya

Namun diingatkan bahawa sesetengah wanita yang mempunyai tanda-tanda ini masih boleh menghasilkan bekalan susu secukupnya buat si kecil.

Jangan ‘Menekan’ Ibu, Apa Lebih Penting Adalah Bayi Terasa Kenyang Dengan Apa Sahaja Susu Diberi

Tambah Dr Nisa, mungkin orang sekeliling mempunyai niat baik apabila kerap memberi nasihat atau tips kepada ibu yang sedang mencuba.

Namun katanya, jika tubuh badan ibu masih tidak mampu menghasilkan susu seperti yang diharapkan selepas segala usaha, meminta dia untuk terus mencuba tidak semestinya akan membantu.

Pendek kata, ibu boleh rasa sedih kalau anda tak henti-henti ‘beri nasihat’.

Sebaliknya, Dr Nisa menegaskan bahawa matlamat utama adalah agar bayi dapat minum dan berasa kenyang walau apapun susu yang diberi.

Foto: Pexels

“Bayi yang cukup khasiat, terhidrasi, berat badannya meningkat dan membesar dengan bagus, sama ada diberi susu badan, formula atau kedua-duanya, semuanya perlu diraikan,” katanya.

Dr Nisa mengingatkan para ibu bahawa membuat sesuatu keputusan setelah berusaha sepenuh hati bukanlah satu bentuk kelemahan.

“Sama ada anda beri bayi susu formula, ditambah atau dicampur. Atau berhenti menyusu lebih awal. Saya lihat segala usaha anda,” ujarnya ringkas.

View on Threads

Para Ibu Terharu Dengan Perkongsian Dr Nisa, Rasa Diri Mereka ‘Dilihat’

Ruangan balas pada hantaran oleh Dr Nisa itu telah dibanjiri oleh golongan ibu yang rata-rata berdepan isu ketika perjalanan mereka untuk menyusukan bayi mereka dengan susu badan.

Mereka berterima kasih kepada Dr Nisa atas perkongsian yang dibuat kerana merasakan diri mereka akhirnya difahami.

“Terima kasih doktor untuk penjelasan saintifik di sebalik isu susu ibu tak cukup. Kalau dengan kebanyakan kaunselor penyusuan sentiasa akan cakap susu ibu cukup walaupun hakitkatnya tidak,” kata seorang wanita.

Tidak kurang juga yang berkongsi perjuangan masing-masing dalam usaha mereka untuk menghasilkan susu badan yang mencukupi.

“Saya sekarang di minggu 4 selepas bersalin dan hanya hasilkan susu badan betul-betul cukup. Saya perlu susukan bayi selama satu jam untuk dia benar-benar kenyang,” kongsi seorang ibu.

Sumber: Threads

Baca Artikel Berkaitan: Ibu Pertama Kali Menyusu? Ini Tips Agar Susu Badan Banyak

Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Jenis Makanan Berzat Yang Boleh Diambil Untuk Ibu Menyusu

Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Ibu Kena Pantang Makan Kalau Menyusu Bayi? Ini Penjelasan Pakar Pediatrik


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd