Now Reading
Karbohidrat Bukan Musuh! Tapi Kena Pilih Sumber Yang Betul

Karbohidrat Bukan Musuh! Tapi Kena Pilih Sumber Yang Betul

Pemilihan sumber karbohidrat yang berkualiti dapat bantu tubuh kekal bertenaga dan elak makan secara berlebihan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bila bercakap tentang diet, karbohidrat sering menjadi antara nutrien pertama yang cuba dielakkan.

Ramai mengaitkannya dengan berat badan naik, perut buncit atau peningkatan paras gula dalam darah, sedangkan tubuh masih memerlukan karbohidrat sebagai sumber tenaga utama.

Namun, masalah biasanya berlaku apabila karbohidrat diambil secara berlebihan, terlalu banyak diproses atau tidak diseimbangkan dengan sumber makanan lain dalam hidangan harian.

Baca Artikel Berkaitan: Jurulatih Kesihatan Kongsi Teknik Makan Nasi Dengan Betul, Boleh Elak Gemuk! | TRP

Karbohidrat Ialah Sumber Tenaga Utama Tubuh Badan

Jenis-jenis karbohidrat. (Foto: Pexels)

Karbohidrat merupakan nutrien yang membantu membekalkan tenaga untuk tubuh menjalankan aktiviti harian seperti bekerja, belajar, bersenam dan menjalankan fungsi asas.

Sebab itu, karbohidrat tidak wajar terus dianggap sebagai “musuh” dalam diet.

Apa yang penting ialah memilih sumber karbohidrat lebih berkualiti, menjaga saiz hidangan dan menyesuaikannya dengan keperluan tubuh masing-masing.

Jika terlalu banyak bergantung kepada karbohidrat diproses yang tinggi gula dan rendah serat, tubuh lebih mudah menerima kalori berlebihan tanpa rasa kenyang lama.

Memahami Perbezaan Karbohidrat Ringkas & Kompleks
Makanan ringan. (Foto: Pexels)

Secara asas, karbohidrat boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu karbohidrat ringkas dan karbohidrat kompleks.

Karbohidrat ringkas biasanya terdapat dalam:

  • Makanan & minuman tinggi gula
  • Kek
  • Makanan ringan
  • Makanan segera

Ia akan cepat dicerna oleh badan dan boleh menyebabkan paras gula dalam darah meningkat dengan mendadak.

Contoh karbohidrat kompleks. (Foto: Pexels)

Karbohidrat kompleks pula terdapat dalam:

  • Bijirin penuh
  • Kacang
  • Sayur-sayuran
  • Ubi kayu

Perbezaan ketara dengan karbohidrat ringkas, ia mengambil masa lebih lama untuk dihadam sekali gus membantu membekalkan tenaga dengan lebih stabil dan membuatkan kita rasa kenyang lebih lama.

Pilih Sumber Karbohidrat Yang Lebih Berkualiti

Oleh itu, anda perlu mula mengamalkan karbohidrat lebih seimbang, berkualiti dan kurang diproses.

Antara pilihan yang mudah dijumpai dan senang untuk makan adalah beras perang, oat, roti gandum penuh, ubi keledek, jagung dan kacang.

Makanan seperti ini bukan sahaja membekalkan tenaga, malah mengandungi pelbagai serat, vitamin dan mineral penting.

Serat dapat membantu melancarkan sistem penghadaman dan menyokong kawalan paras gula dalam darah dan pengambilan buah serta sayur-sayuran penting untuk tidak terlalu bergantung kepada satu jenis sumber karbohidrat sahaja.

Kurangkan Karbohidrat Yang Terlalu Diproses
Contoh makanan yang perlu dielakkan. (Foto: Pexels)

Selain memilih sumber karbohidrat yang baik, pengambilan makanan manis juga perlu dikurangkan.

Ini termasuk minuman bergula, kek, biskut manis, makanan segera dan snek tinggi dengan garam.

Makanan seperti ini dapat beri tenaga dengan cepat, tetapi tidak semestinya membekalkan nutrien yang mencukupi kepada tubuh badan.

Jika diambil terlalu kerap, ia boleh menyumbang kepada pengambilan kalori berlebihan tanpa disedari.

Rakyat Malaysia Banyak Bergantung Kepada Nasi

Dalam konteks Malaysia, nasi merupakan antara sumber karbohidrat paling utama dalam hidangan harian.

Secara purata, rakyat Malaysia mengambil sekitar 80kg beras setahun dan ini tidak bermaksud kita perlu elak makan nasi sepenuhnya.

Sebaliknya, kita perlu perhatikan saiz hidangan, lauk yang dimakan bersama dan kekerapan pengambilan makanan tinggi gula, garam dan lemak.

Lebih Separuh Orang Dewasa Malaysia Mengalami Masalah Berlebihan Berat Badan Atau Obesiti
Perut buncit tanda-tanda awal obesiti. (Foto: Pexels)

Menurut kajian dari National Health and Morbidity Survey (NHMS), menunjukkan 53.6% orang dewasa di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Daripada jumlah itu, 30.5% dikategorikan sebagai berat badan berlebihan, manakala 23.1% lagi ialah obesiti.

Keadaan ini dikaitkan dengan tabiat pemakanan kurang sihat seperti makan ketika lewat malam, kurang buah-buahan dan sayur-sayuran.

Ambil Karbohidrat Secara Bijak, Bukan Elak Terus

Karbohidrat tetap mempunyai tempat dalam pemakanan harian dan tidak salah untuk makan nasi, roti, bijirin, asalkan ia diambil secara sederhana dan diseimbangkan dengan makanan lain.

Apa yang penting ialah memilih sumber karbohidrat lebih berkualiti, mengawal kuantiti dan mengurangkan makanan diproses.

Pendek kata, buang naratif pemikiran karbohidrat ialah musuh kita.

Baca Artikel Berkaitan: Tips Eat Clean Untuk Jaga Kesihatan Badan, Jangan Lupa Periksa Label Makanan! | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Kongsi Pilihan Menu Tinggi Protein & Kurang Kalori Di Subway

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd