Now Reading
Nama PCOS Ditukar Menjadi PMOS, Apa Maksudnya Untuk Ramai Wanita?

Nama PCOS Ditukar Menjadi PMOS, Apa Maksudnya Untuk Ramai Wanita?

Polyendocrine Metabolic Ovarian Syndrome (PMOS) mempunyai impak kesihatan terhadap pelbagai sistem tubuh badan wanita dan bukan sistem reproduktif semata-mata.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


PCOS atau Polycystic Ovary Syndrome adalah salah satu masalah yang membelenggu sesetengah wanita dan merupakan punca utama ketidaksuburan dalam kaum hawa.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sekitar satu daripada setiap lapan wanita (10% ke 13%) mengalami PCOS, dan dianggarkan kira-kira 70% wanita dengan masalah ini tidak mengetahui mereka menghidapnya.

Terbaharu, satu konsensus global telah bersetuju agar nama PCOS ditukar kepada Polyendocrine Metabolic Ovarian Syndrome (PMOS) yang lebih tepat dengan simptom dialami.

Baca Artikel Berkaitan: Pesakit PCOS Saran Ikhtihar Buat Ujian Kesuburan Jika Masih Belum Dapat Anak & Sedang Jalani TTC

Baca Artikel Berkaitan: Pakar Pemakanan Wanita Kongsi Lima Nutrisi Penting Untuk Rawat Simptom PCOS

Nama ‘PMOS’ Merangka Semula Masalah Hormon & Metabolisme Yang Dihadapi Wanita

Tidak seperti nama PCOS, sebenarnya bukan semua wanita dengan masalah ini mempunyai komplikasi sista di dalam ovari.

Nama lama ini boleh menyebabkan mereka mendapat diagnosis dengan lebih lewat dan berdepan stigma atas sesuatu isu kesihatan.

Sebaliknya, nama baharu PMOS adalah lebih bersesuaian memandangkan masalah ini mempunyai kaitan bukan sahaja dengan ovari, tetapi juga sistem endokrin yang menghasilkan hormon dan metabolisme seorang wanita.

Secara ringkasnya, boleh dikatakan nama PMOS merangkumi masalah yang lebih meluas dan bukan hanya tertakluk kepada isu membabitkan sista atau bahagian ovari.

PCOS dikatakan sebagai punca utama ketidaksuburan dalam wanita. (Foto: Pexels)

PMOS Merangkumi Masalah Metabolisme & Psikologi, Bukan Hanya Gangguan Kesuburan

Dalam artikel jurnal yang diterbitkan oleh The Lancet, pelbagai kajian dan bukti menunjukkan bahawa PMOS ditunjangi oleh gangguan endokrin terhadap hormon insulin, androgen, neuroendokrin dan ovari.

Antara ciri-ciri PMOS adalah:

  • Masalah metabolisme: Obesiti, diabetes jenis 2, darah tinggi, penyakit hati steatotik yang berkaitan dengan disfungsi metabolik, penyakit kardiovaskular dan apnea.
  • Masalah kesuburan: Gangguan ovulasi, kitaran haid tidak teratur, ketidaksuburan, komplikasi kehamilan dan kanser endometrium.
  • Masalah psikologi: Tekanan, kegelisahan, taraf kualiti hidup rendah dan gangguan pemakanan.
  • Masalah kulit: Jerawat, alopecia (rambut gugur atau botak) dan hirsutisme (rambut atau bulu tumbuh berlebihan).

Dalam masa sama, individu dengan PMOS juga mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) yang lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada keterukannya.

Baca Artikel Berkaitan: Masalah Obesiti Dialami Para Wanita Boleh Jadi Punca Hormon Terganggu

Pesakit PMOS Tak Semestinya Ada Peningkatan Sista Ovari, Sebabkan Diagnosis Yang Lewat

Para penyelidik berkata PMOS sebenarnya mempunyai impak kesihatan terhadap pelbagai sistem tubuh badan, menjadikan perubahan namanya sebagai sesuatu yang mustahak.

Proses perubahan nama ini telah diketuai oleh Pengarah Monash Centre for Health Research & Implementation, Professor Helena Teede, selepas berpuluh tahun menjalankan kajian terhadap masalah itu dan merawat ramai pesakit.

“Apa yang kita tahu sekarang, sebenarnya tiada peningkatan dalam sista abnormal pada ovari, dan pelbagai ciri-ciri masalah ini sering gagal dikenal pasti dengan betul,” katanya dipetik EMJ.

Ovari merupakan organ sistem reproduktif wanita yang bertanggungjawab dalam menghasilkan telur (ovum) dan membebaskan hormon.

Dia yang juga merupakan pakar endokrin di Monash Health, Melbourne, Australia, meluahkan rasa sedih melihat diagnosis yang lambat, kesedaran terhad dan penjagaan tidak mencukupi terhadap pesakit PMOS.

“Sementara garis panduan antarabangsa telah meningkatkan kesedaran dan penjagaan, perubahan nama merupakan langkah penting seterusnya dalam mengiktiraf dan menambahbaik impak jangka masa panjang terhadap masalah ini,” katanya.

Pun begitu, peralihan nama ini akan mengambil masa tiga tahun dan PMOS bakal dilaksanakan sepenuhnya dalam kemas kini Garis Panduan Antarabangsa 2028.

Perubahan Nama Kepada PMOS Boleh Jadi Asas Penjelasan Terhadap Masalah Migrain Dihidapi Wanita

Selain ciri-ciri yang disenaraikan di atas, wanita yang menghidap PMOS juga mempunyai prevalens lebih tinggi menghadapi masalah migrain, iaitu sakit kepala yang sangat kronik.

Dalam satu hantaran di Instagram (@cerebral_torque), perubahan nama dari PCOS kepada PMOS juga dikatakan mempunyai impak terhadap wanita yang selalu mengalami masalah migrain.

Katanya, ini kerana PMOS dan migrain dilihat berkongsi laluan hormon dan biologi vaskular yang sama. Ini termasuklah tahap sensitiviti terhadap perubahan hormon estrogen dan progesteron.

Malah sama seperti PMOS, migrain juga mempunyai hubungan dengan metabolisme tubuh badan, khususnya berkaitan kerintangan insulin dan disfungsi metabolisme.

Baca Artikel Berkaitan: Sakit Senggugut Terlalu Kuat? Mungkin Tanda Anda Alami Endometriosis

Baca Artikel Berkaitan: Ini Faktor Risiko Kanser Ovari, Jalankan Pemeriksaan Segera Jika Ada Salah Satu Simptom

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Darah Haid Terlalu Banyak, Mungkin Ada Fibroid Yang Boleh Sukarkan Kehamilan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd