[Eksklusif] Kenapa Ramai Ibu Ayah Susah Nak Cakap “Jangan Cium Baby Saya”? Ini Ulasan Dr Nisa Khalil
Masalah ‘dunia’ yang setiap tahun berlaku bila tibanya musim perayaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tiba. Musim ziarah menziarahi pun akan bermula. Semestinya lebih meriah dengan kehadiran ahli keluarga baharu, bayi.
Telatah comel anak kecil ini tidak dinafikan bakal membuatkan ramai tidak keruan. Rasa nak gomol, nak cium, nak gigit manja, dan sebagainya. Tapi tahu tak, kesemua tindakan itu akan memberikan kesan yang tidak baik buat si kecil?
Dan pengakhirannya, ibu ayah yang merana.
Pakar Pediatrik Kongsi Pengalaman Berhadapan Dengan Ibu Ayah Yang Pernah Terkesan Apabila Anak Jadi Mangsa
Dr Nisa Khalil selaku Pakar Pediatrik di ParkCity Medical Centre menyatakan beliau pernah duduk berhadapan dengan ibu bapa di kliniknya yang terpaksa menghadapi akibat daripada apa yang bermula sebagai ciuman Raya yang ikhlas.
RSV iaitu jangkitan bakteria yang disebarkan oleh saudara-mara yang berniat baik tetapi tidak tahu mereka sedang membawa sesuatu.
Untuk info, virus respiratori sincitial (RSV) ialah sejenis virus pernafasan yang biasa menyebabkan jangkitan pada paru-paru dan saluran pernafasan.
Dalam kalangan orang dewasa, jangkitan ini lazimnya menyerupai simptom selesema biasa, namun ia boleh menjadi lebih serius terutamanya kepada bayi dan warga emas.
Hampir semua kanak-kanak dijangkiti virus ini sebelum mencapai usia dua tahun. RSV biasanya menyebabkan simptom seperti batuk, nafas berbunyi (wheezing) dan demam, dan kes jangkitan sering meningkat pada musim sejuk.
Rawatan bagi jangkitan ini kebiasaannya melibatkan penjagaan sokongan bagi membantu mengurangkan simptom dan memastikan pesakit kekal selesa sepanjang tempoh pemulihan.
Dr Nisa menjelaskan bahawa, “Sistem imun bayi baru lahir amat lemah. Virus yang hanya menyebabkan selesema ringan pada orang dewasa boleh menjadi jangkitan yang mengancam nyawa bagi bayi.
“Dan hakikat yang pahit ialah orang yang mencium bayi itu biasanya langsung tidak tahu mereka sedang mendatangkan bahaya.”
“Dalam kes yang paling serius, herpes neonatal yang dijangkiti melalui ciuman daripada seseorang yang membawa virus HSV-1 boleh menyebabkan kerosakan otak atau kematian.
“Dan ia hampir sepenuhnya boleh dicegah.
“Nasihat perubatan sudah lama jelas: jangan cium bayi baru lahir, terutama di bahagian muka dan tangan. Basuh tangan sebelum mendukung bayi. Hadkan sentuhan dalam minggu-minggu awal kehidupan mereka.
“Namun begitu, setiap Raya babak yang sama berulang di ruang tamu seluruh Malaysia,” jelas beliau.
Jadi Kenapa Susah Sangat Nak Cakap “No”?
Ini antara soalan yang membuatkan Dr. Nisa berfikir panjang dan ia bukanlah soalan perubatan, tetapi soalan budaya.
“Dalam budaya Malaysia, menunjukkan kasih sayang secara fizikal sudah sebati dalam diri kita. Mencium bayi bukan sekadar tanda sayang, malah ia adalah cara untuk mengalu-alukan mereka ke dalam keluarga.
“Bila seorang ibu menghentikan perbuatan itu, dia bukan sekadar menghalang ciuman. Dia sedang menolak sesuatu yang bahaya. Ada juga ibu-ibu muda menceritakan pengalaman mereka dianggap paranoid, cerewet, terlalu dramatik.
“Dalam kumpulan WhatsApp dan di meja makan, ibu baru yang menetapkan batasan untuk bayinya sering menjadi bahan gosip di pagi raya, ‘First-time mum, biasalah.‘
“Ini bukan perkara kecil. Tekanan sosial adalah antara sebab utama ibu bapa gagal mengikuti panduan kesihatan bukan kerana mereka tidak tahu, tetapi kerana kos untuk bertindak atas pengetahuan itu terasa terlalu tinggi pada saat yang kritikal.
“Saya ada pesakit yang beritahu saya mereka tahu mereka patut cakap sesuatu. Mereka cuma tidak jumpa ayat yang sesuai. Dan kemudian mereka duduk di depan saya dua minggu kemudian,” ujar beliau.
Jurang Antara “Tahu” & “Buat”
Malaysia bukan satu-satunya yang bergelut dengan masalah seperti ini.
Doktor pediatrik di seluruh dunia menghadapi masalah yang sama di kalangan budaya di mana kasih sayang fizikal adalah bahasa utama cinta. Sebagai contoh keluarga-keluarga di Itali, komuniti Asia Selatan dan rumah tangga di Timur Tengah.
Tetapi dalam konteks Malaysia, cabarannya lebih berlapis-lapis.
#1. Lapisan Generasi
Datuk nenek dan saudara-mara yang lebih tua membesarkan anak pada zaman risiko ini tidak difahami secara meluas, dan mungkin mentafsir perbuatan berhati-hati sebagai penolakan terhadap cara mereka menunjukkan kasih sayang.
#2. Lapisan Jantina
Hampir selalu ibu yang dijangkakan untuk menguruskan situasi ini, dan hampir selalu ibu yang menanggung geseran sosial apabila dia berbuat demikian.
#3. Lapisan Perayaan
Musim perayaan seolah-olah menjadi waktu paling sukar untuk ibu ayah berkata “Tidak boleh”. Mana tidaknya, suasana riang, keluarga berkumpul beramai-ramai, bayi berpakaian cantik. Siapa yang mahu jadi orang yang merosakkan semua itu?
“Tiada siapa yang mahu jadi orang yang menyusahkan masa Raya,” kata Dr. Nisa. “Jadi, ramai orang membuat pendekatan untuk berdiam. Dan bayi yang menanggung akibat daripada ketidakselesaan kita.”
Dr Nisa Khalil Beri Mesej Kesihatan Dalam Cara Yang Berbeza
Jika sebelum ini, mungkin ramai sudah jemu dengan infografik serta video-video PSA yang hanya sampai kepada orang yang sudah pun bersetuju. Untuk tahun ini, Dr. Nisa memutuskan untuk mencuba sesuatu yang berbeza.
Namun, mesej yang disampaikan tetap sama.
“Ciuman” Jadi Filem Pendek Raya Oleh Dr Nisa Khalil x Purple Playhouse
Ciuman… filem pendek Raya berdurasi dua minit setengah yang dihasilkan oleh Purple Playhouse menceritakan kisah seorang ibu muda yang melalui momen ini. Bukan drama hospital. Bukan video amaran.
Ia adalah sebuah kisah manusia yang tenang dan jujur tentang ruang antara kasih sayang dan perlindungan.
“Saya tidak mahu ceramah sesiapa. Saya mahu orang nampak diri mereka sendiri dalam cerita itu.
“Kerana momen bila ibu itu mengangkat tangannya untuk halang Mak Long daripada melakukan sesuatu yang tidak diingini olehnya, momen itu adalah real. Ia berlaku dalam setiap keluarga.
“Jadi, saya cuma mahu tunjukkan ia boleh dilakukan dengan baik. Bahawa sempadan tidak semestinya bersifat konfrontasi.”
Video penuh telah dimuat naik menerusi media sosial Dr Nisa Khalil di Instagram, YouTube, dan TikTok.

Dr. Nisa Khalil adalah Pakar Pediatrik di ParkCity Medical Centre, Kuala Lumpur. Ciuman, dihasilkan oleh Purple Playhouse × Dr. Nisa Khalil, ditayangkan 17 Mac 2026.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
I enjoy writing and eating at the same time. I sit at my work desk for hours every day. Oh! I like cafe hopping, though I don't drink coffee. I'm, uh.. indecisive. I see eight sides of everything. Currently leading Bahasa desk for The Rakyat Post as the Head Writer & Assistant Editor.



