“Bukan Sebab Nak Kurus” – Terlalu Obsesif Dengan Pemakanan ‘Sihat’ Mungkin Simptom Orthorexia Nervosa
Berdasarkan satu jurnal artikel, seorang wanita berusia 30 tahun mengalami masalah nutrisi yang teruk sehingga mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) hanya 13.8, yakni kurang berat secara melampau.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam mengamalkan gaya hidup sihat, orang ramai pastilah akan mengutamakan makanan berkhasiat. Sebaliknya makanan yang dipercayai tidak sihat buat kesihatan akan dielakkan.
Namun kadangkala, rasa terlalu takut terhadap pelbagai makanan yang dipercayai ‘berbahaya’ boleh menyebabkan seseorang gagal mendapatkan nutrisi secukupnya.
Mungkin ramai yang tidak tahu, sebenarnya masalah yang obsesif dengan ‘makanan sihat’ ini merupakan merupakan sebahagian daripada Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD).
Baca Artikel Berkaitan: Terlalu Obses Untuk Jadi Kurus Tanda Alami Gangguan Mental. Ini 6 Punca Anda Perlu Tahu
Orthorexia Nervosa Sebabkan Masalah Malnutrisi Teruk
Menerusi hantaran di Threads (@theaufthority), Auf yang merupakan seorang penyelidik pascasiswazah (PhD), telah berkongsi mengenai masalah ini yang dikenali sebagai Orthorexia Nervosa.
Katanya, masalah ini secara klinikalnya disifatkan sebagai kes malnutrisi yang teruk. Namun terdapat perbezaan dengan masalah gangguan pemakanan (eating disorder) lain seperti anorexia nervosa dan bulimia nervosa.
Sebaliknya, ia mungkin bermula dengan niat seorang individu yang hanya mahu mencegah atau merawat penyakit tertentu.
Dia memetik maklumat dari satu jurnal artikel terbitan Malaysian Journal of Psychiatry, mengenai seorang wanita berusia 30 tahun disahkan menghidap OCD sebelum mempunyai obsesi baharu, iaitu teramat sangat memilih makanan.
Lebih membimbangkan apabila dia mengalami masalah malnutrisi yang teruk sehingga Indeks Jisim Badan (BMI) yang dicatatkan hanyalah 13.8, yakni kurang berat secara melampau.
Orthorexia Nervosa Berlaku Kerana Mahu Amalkan ‘Pemakanan Sihat’
Apabila bercakap tentang masalah gangguan pemakanan, mungkin ada yang menganggap ia biasanya berlaku kerana pesakit sedang diet dan mahu kurus.
Seseorang yang mengalami Orthorexia Nervosa bagaimanapun bukanlah memilih makanan untuk mencapai tubuh badan impian, sebaliknya hanya mahu mengamalkan ‘pemakanan sihat’.
Namun akibat terlalu memilih makanan dan berasa takut dengan makanan tertentu, seorang pesakit hanya mempunyai pilihan nutrisi yang terhad.
Seperti dalam kes wanita di atas, dia hanya makan sehari sekali dengan sedikit nasi dan daging ayam tanpa lemak sebesar separuh tapak tangannya. Jika masih lapar, dia akan meminum air kosong sahaja.
Keadaan ini timbul apabila dia mengalami serangan gout pada kakinya dan seorang doktor menasihatinya agar tidak mengambil kacang dan makanan laut yang digemari secara berlebihan, sebelum masalah itu semakin berlanjutan.

Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Makan Seafood Punca Kena Gout? Ini Penjelasan Dr Malar
Baca Artikel Berkaitan: Doktor Dedah Pesakit Gout Boleh Alami Masalah Buah Pinggang Jika Selalu Makan Ubat Tahan Sakit
Terlalu Obsesif Tentang Makanan Yang Sihat Jejas Kesihatan
Kata Auf, masalah utama Orthorexia Nervosa bukanlah kerana kurang ilmu tentang nutrisi, tetapi disebabkan oleh corak pemikiran obsesif.
Sebagai contohnya, seseorang yang mengalami masalah ini mungkin berfikir dia perlu makan makanan sihat sahaja dan mengelakkan makanan yang dianggap berbahaya seperti yang mengandungi gula dan gluten.
“Obsesinya bukan nak kurus, tetapi dengan pemakanan yang dianggap ‘betul’ dan ‘bersih’,” katanya.
Jurnal artikel di atas turut menggelarkan masalah ini sebagai ‘puritanical-eating’, yang boleh difahami sebagai memilih makanan yang ‘suci’ sahaja.
Dia berkata disebabkan oleh masalah ini, niat wanita tersebut yang mahu mencegah dan merawat penyakit sebaliknya menjadi punca malnutrisi, komplikasi fizikal dan menjejas kesihatannya.
View on Threads
Orthorexia Nervosa Boleh Terjadi Jika Alami OCD
Dalam masa sama, Auf menegaskan bahawa masalah gangguan pemakanan Orthorexia Nervosa adalah melibatkan pesakit yang turut mengalami OCD.
Ini tidak merangkumi individu yang menjaga pemakanan atas sebab munasabah seperti mengubah diet kerana mengalami penyakit, mengurangkan pengambilan makanan tertentu dan mahu mengamalkan pemakanan sihat.
Namun terdapat pengajaran yang boleh diambil daripada kisah wanita di atas, iaitu tabiat sihat boleh menjadi kompulsif dan terlalu tegas boleh menjadi lebih berbahaya daripada makanan itu sendiri.
“Amalan sihat boleh jadi tidak sihat jika didorong oleh ketakutan, paksaan, salah faham dan tiada kefahaman asas sesuatu amalan,” katanya.
Faktor Risiko Eating Disorder & Simptom Orthorexia Nervosa
Berdasarkan laman web WebMD, sesiapa sahaja boleh mengalami masalah gangguan pemakanan, namun setiap individu mempunyai faktor risiko tersendiri yang boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama:
- Biologi – Mempunyai kenalan rapat dengan masalah gangguan pemakanan, sejarah diet atau diabetes jenis I.
- Psikologi – Mahukan kesempurnaan, tidak suka dengan tubuh badan atau sejarah kegusaran.
- Sosial/ budaya – Diejek atau dibuli akibat berat badan, mengalami trauma keluarga selama beberapa generasi atau mempercayai idea tentang tubuh badan ‘ideal’.
Jika anda mempunyai sebarang faktor risiko di atas, penting untuk mengetahui simptom orthorexia nervosa, termasuk:
- Sangat risau tentang kualiti dan sumber makanan, sehingga boleh menyebabkan kegusaran.
- Elak makan di luar atau makan hidangan yang disediakan oleh orang lain.
- Takut suatu makanan tidak cukup ‘bersih’ dan boleh menyebabkan kesakitan.
- Menunjukkan tanda malnutrisi fizikal termasuk turun berat mendadak.
- Kerap menyelidik tentang makanan sehingga berjam lamanya.
- Enggan mengambil pelbagai jenis makanan seperti yang mengandungi gluten, gula, dan lain-lain yang dianggap ‘tidak sihat’.
- Risau tidak dapat mengawal diri berkaitan pemakanan.
- Terlalu mengkritik pemilihan makanan orang sekeliling.
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Sifatkan Makanan Hospital ‘Tak Best’, Pakar Kongsi Rahsia Di Sebalik Setiap Menu Disaji
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Gaya Hidup Jadi Punca Kita Dapat Sakit GERD? Ini Penjelasan Doktor Pakar [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.