Kerap Makan Ubat Tahan Sakit Untuk Redakan Gout Boleh Sebabkan Masalah Buah Pinggang
Doktor perubatan, Dr Khaw Kent, sebaliknya menggesa individu yang mengalami gout agar merawat puncanya, iaitu menurunkan kadar asid urik.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidak dapat dinafikan, apabila seseorang semakin meningkat usianya, dia mungkin lebih terdedah kepada pelbagai jenis penyakit.
Salah satunya adalah masalah penyakit gout yang akan menyebabkan sendi mereka terasa amat sakit.
Selalunya, mereka yang mengalami serangan gout ini tidak akan makan makanan laut kerana kaki akan menjadi bengkak dan sakit.
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Makan Seafood Punca Kena Gout? Ini Penjelasan Dr Malar
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Kena Penyakit Hati Berlemak Sebab Banyak Makan Lemak? Ini Penjelasan Doktor [Video]
Doktor Dedah Makin Ramai Individu Usia 20-an Alami Gout
Doktor perubatan, Dr Kent Khaw, menerusi hantaran di Threads (@drkhaw_familymedicine) bagaimanapun mendedahkan bahawa trend penyakit gout telah berubah apabila ramai yang mengalaminya seawal usia 20-an.
Untuk info, masalah gout terjadi apabila urat kristal berkumpul pada sendi dan menyebabkan keradangan serta rasa amat sakit apabila berlakunya serangan gout.
Kristal ini akan terhasil apabila kadar asid urik di dalam darah tinggi, yakni selepas tubuh badan memecahkan purina.
Menurut Mayo Clinic, bahan purina ini boleh didapati di dalam makanan laut seperti ikan bilis, tuna dan kupang, serta makanan lain termasuk daging merah dan organ.
Pengamal perubatan terkenal, Dr Malar, sebelum ini juga telah menerangkan bahawa punca lain gout termasuk dehidrasi dan pengambilan ubat-ubatan tertentu.
Simptom gout selalunya boleh berlaku secara tiba-tiba dan kebiasaannya pada waktu malam. Antaranya:
- Sendi rasa terlalu sakit, terutamanya pada bahagian ibu jari kaki, pergelangan kaki, lutut, siku, pergelangan tangan dan jari.
- Rasa tidak selesa yang berterusan sehingga beberapa hari atau beberapa minggu, selepas sakit reda.
- Keradangan dan kemerah-merahan di bahagian sendi yang diserang gout.
- Sukar untuk bergerak kerana sendi tidak dapat digerakkan secara normal.

Dari Kaki Bengkak, Akhirnya Ke Unit Dialisis
Dr Khaw berkata, makin ramai individu yang berumur 20-an sudah mula mengalami kaki bengkak akibat kadar asid urik tinggi pada masa kini.
Namun, apa yang lebih merisaukan adalah apabila golongan ini mula mendapatkan rawatan di Unit Dialisis sebelum umur mencecah 40 tahun.
Anda pasti tahu Unit Dialisis menyediakan rawatan bagi masalah buah pinggang. Tapi apa kaitan penyakit gout dan masalah ini?
Menurut Dr Khaw, situasi ini berlaku apabila ramai yang merawat masalah sakit kaki akibat gout dengan sendiri dan cara yang salah.
Salah satu senario yang biasa berlaku adalah apabila pesakit gout mendapatkan ubat tahan sakit (painkiller) atau Nonsteroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAID) yang kuat di farmasi tanpa mendapatkan rawatan di klinik.
Katanya, ubat yang kuat ini boleh membuatkan rasa sakit kaki hilang dalam masa 15 minit sahaja.

Baca Artikel Berkaitan: Pemuda Kongsi Pengalaman, Hidap Penyakit Buah Pinggang Kronik Kerana Sukakan Makanan Proses & Tinggi Garam
Kerap Ambil Ubat Kuat Untuk Lawan Sakit Gout Boleh Sebabkan Masalah Buah Pinggang
Namun Dr Khaw berkata perkara ini menjadi masalah apabila pesakit kerap mengambil ubat setiap kali mengalami serangan gout selama bertahun-tahun lamanya.
“Ubat tahan sakit ni memang hebat hilangkan sakit, tapi dia racun senyap untuk buah pinggang jika diambil tanpa pantauan. Dia ‘cekik’ aliran darah ke buah pinggang,” kata Dr Khaw.
Berdasarkan maklumat di laman web Hopkins Medicine, pengambilan ubat tahan sakit analgesik setiap hari buat jangka masa panjang boleh menyebabkan masalah buah pinggang kronik.
Antara analgesik yang dimaksudkan ialah:
- Aspirin
- Acetaminophen (paracetamol)
- Ibuprofen
- Naproxen sodium
Tambah Dr Khaw, terdapat pesakit yang takut untuk makan ubat turunkan asid urik (Allopurinol) kerana terpengaruh dengan mitos ia dapat merosakkan buah pinggang.
“Padahal, ubat tahan sakit yang mereka telan hari-hari itulah punca sebenar kerosakan kekal,” katanya.
Dia turut menggesa individu yang mengalami gout agar merawat puncanya, iaitu menurunkan kadar asid urik. Salah satu caranya adalah dengan memantau diet dan mengelak makanan laut.
View on Threads
Simptom Nefropati Analgesik
Digelar sebagai nefropati analgesik, keadaan ini berlaku apabila salur darah halus yang bertindak sebagai penapis di dalam buah pinggang rosak akibat pengambilan ubat tahan sakit analgesik dengan begitu kerap.
Masalah ini biasanya dialami oleh mereka yang berumur 45 tahun ke atas, serta lazim menyerang wanita dalam lingkungan 30-an.
Untuk info, pengambilan ubat tahan sakit analgesik dalam jangka panjang boleh menyebabkan simptom nefropati analgesik seperti:
- Penat atau lemah, rasa tidak sihat
- Darah di dalam air kencing (hematuria)
- Kerap kencing dan rasa tidak tahan
- Sakit di bahagian belakang (di lokasi buah pinggang)
- Air kencing kurang
- Kurang cerdas, seperti rasa mengantuk, bingung atau lesu
- Kurang rasa atau rasa kebas terutamanya di kaki dan lengan
- Nausea, muntah
- Bengkak air (edema)
- Senang lebam atau berdarah
Pun begitu, terdapat juga individu yang tidak menunjukkan sebarang simptom masalah buah pinggang dan hanya boleh dikenal pasti menerusi ujian darah berkala.
Baca Artikel Berkaitan: Makan Panadol Boleh Rosakkan Buah Pinggang, Fakta Atau Auta? Ini Penjelasan Doktor
Baca Artikel Berkaitan: Nak Buah Pinggang Yang Sihat? Praktik 6 Amalan Sihat Ini
Baca Artikel Berkaitan: Tak Semestinya Secara Mengejut, Doktor Kongsi Tanda Penyakit Jantung Yang Mungkin Ramai Tak Tahu
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â