Doktor Jelaskan Bila Ibu Ayah Boleh Berhenti Kejut Bayi Bangun Malam Untuk Menyusu
Selain umur, ibu ayah juga perlu melihat keadaan kesihatan bayi dan banyak lagi sebelum ingin berhenti mengejutkan anak untuk menyusu di waktu malam.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bayi yang baru lahir sememangnya mempunyai rutin yang sama seperti mandi, tidur termasuklah menyusu. Malah waktu berjaga mereka juga tidak lama seperti bayi yang sudah berusia enam bulan ke atas.
Namun di awal usia bayi ibu ayah perlu mengejutkan si comel pada waktu malam untuk menyusu mengikut jam yang telah ditetapkan seperti tiga jam sekali.
Walau bagaimanapun, rutin ini hanya dilakukan sehingga di suatu peringkat umur.
Bila boleh berhenti kejutkan bayi bangun waktu malam untuk menyusu?
Baru-baru ini seorang pakar kanak-kanak atau pediatrician, Dr Nisa Khalil turut menjelaskan bilakah waktu ibu ayah boleh berhenti daripada mengejutkan si manja bangun di waktu malam untuk menyusu.
Menerusi hantaran di Threads, Dr Nisa menjelaskan sekiranya bayi berada dalam keadaan sihat seperti mendapatkan sumber makanan (susu) yang cukup serta membesar dengan baik, ibu ayah mungkin tidak perlu mengejutkan mereka di waktu malam lagi.
“Kebiasaannya pada usia tiga hingga empat bulan, bayi boleh menyusu lebih lama dengan selamat tanpa perlu diberi susu pada waktu malam,” ujarnya.
Perkara yang perlu disemak sebelum berhenti kejutkan bayi menyusu di waktu malam
Namun terdapat beberapa perkara yang boleh disemak oleh ibu ayah sebelum ingin berhenti daripada mengejutkan bayi pada waktu malam untuk menyusu:
- Bayi sudah berusia tiga hingga empat bulan
- Berat badan okay dan meningkat dengan baik
- Cukup menyusu di waktu siang
- Pediatrician telah mengesahkan tidak ada sebarang masalah kesihatan
Sekiranya semua senarai ini ada pada anak anda, maka ibu ayah boleh melakukannya.
Namun anda masih perlu menyusukan bayi di waktu malam sekiranya bayi mempunyai kondisi seperti:
- Pramatang
- Ada jaundice (kuning), refluks atau mempunyai berat yang kurang ketika lahir
- Baru lepas sakit
Sentiasa periksa dengan pakar kanak-kanak terlebih dahulu sebelum ingin berhenti sepenuhnya.
Ada juga yang bertanya adakah tidak mengapa sekiranya anak tidur lama jika tidak dikejutkan untuk menyusu di waktu malam?
Perkara yang perlu dipantau oleh ibu ayah
Jelas Dr Nisa, ia dalam keadaan okay selagi si comel menyusu dengan cukup pada waktu siang, lampin ditukar sebanyak lima ke enam helai sehari, dan berat badan dalam skala yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, terdapat perkara yang perlu dipantau oleh ibu ayah seperti:
- Berat tidak naik atau menurun
- Bayi kurang kencing
- Kelihatan lesu atau tidak menyusu dengan cukup pada waktu siang
- Sering merengek atau terlebih tidur
Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti ini, adalah lebih baik untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum terus berhenti membangunkan bayi daripada menyusu di waktu malam.
Jadi kepada para ibu dan ayah, jika anak anda tidak mempunyai sebarang masalah dan sudah membuat pemeriksaan dengan pakar pediatrik maka tidak menjadi masalah sekiranya ingin berhenti mengejutkan anak menyusu di waktu malam.
Sebagai ibu ayah, anda juga boleh mendapatkan rehat yang cukup serta dapat menjaga bayi dengan lebih baik.
View on Threads
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



