Now Reading
Kucing Muntah Warna Kuning Pada Awal Pagi? Mungkin Alami Bilious Vomiting Syndrome

Kucing Muntah Warna Kuning Pada Awal Pagi? Mungkin Alami Bilious Vomiting Syndrome

Si bulus mungkin muntah pada awal pagi akibat asid dan hempedu yang menyebabkan kerengsaan pada dinding perut kerana tidak makan semalaman.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Menjadi pemilik kucing datang dengan pelbagai tanggungjawab. Bukan sekadar memberi makan minum, tetapi juga bagi memastikan kesihatan dan keselesaan mereka terjamin.

Pernah tak sebaik sahaja bangun pagi dan berjalan keluar bilik, tiba-tiba anda terpijak sesuatu yang basah? Bila dilihat pada cecair itu, ia berwarna kekuning-kuningan dan ada juga berbuih.

Sebenarnya itu muntah yang dikeluarkan oleh si bulus. Tapi kenapa tak ada makanan sekali dan jadi pada waktu pagi?

Baca Artikel Berkaitan: Ini Tiga Tanda Kecemasan Kucing Kena Segera Dibawa Ke Vet, Pet Lovers Patut Tahu!

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Rupa-Rupanya Kucing Juga Boleh Kena Diabetes, Sampai Kena Potong Kaki

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Veterinar Kongsi 4 Tanda Kucing Anda Ada Cacing, Take Note!

Kucing Muntah Pada Awal Pagi Mungkin Disebabkan Oleh Gastrik

Menerusi hantaran di Threads (@cokilovecat), seorang pencinta kucing menjelaskan bahawa muntah kucing itu digelar sebagai ‘hunger pukes’ dan selalunya terjadi apabila perut kucing dibiar kosong terlalu lama sehingga mengalami gastrik.

Keadaan ini juga dikenali sebagai Bilious Vomiting Syndrome (BVS), iaitu muntah yang berlaku akibat asid dan hempedu yang menyebabkan kerengsaan pada dinding perut.

Untuk pemilik kucing, pasti perasan mereka kebiasaannya muntah sebegini pada waktu pagi buta atau subuh.

Ini kerana terdapat tempoh sela yang panjang antara waktu makan si bulus, iaitu bagi hidangan malam dan makan pagi.

Pun begitu jangan risau jika muntah itu berlaku sekali-sekala dan tidak terlalu kerap.

View on Threads

Simptom BVS Boleh Kelihatan Sama Dengan Penyakit Lain

Berdasarkan artikel di laman web PetMD, masalah BVS lebih kerap terjadi pada anjing dan jarang dialami oleh kucing.

Jika si bulus muntah pada waktu pagi dan mempunyai tingkah laku normal, ia bukanlah satu kecemasan perubatan.

Selain muntah cecair kuning atau kehijauan, simptom lain BVS termasuk:

  • Muntah pada awal pagi sebelum makan.
  • Perubahan selera makan.
  • Kurang berat badan.
  • Sakit perut.
  • Nausea.

Namun diingatkan bahawa simptom BVS juga boleh kelihatan agak sama dengan yang disebabkan oleh penyakit lain.

Jika si bulus kerap muntah sehingga beberapa kali dalam masa sejam (protracted vomiting), tidak makan, dan kelihatan lemah, segera bawa mereka ke klinik haiwan.

Sumber gambar: Montgomery Veterinary Associates (MVA)

Beri Makan Dengan Lebih Kerap Untuk Elak Kucing Muntah

Bagi kucing yang mengalami BVS, masalah ini sebenarnya tidak boleh disembuhkan. Namun ia selalunya boleh diuruskan dengan tidak membiarkan si bulus tersebut ‘berpuasa’ untuk tempoh masa lama.

Sebaliknya, bagi makan dalam jumlah yang kecil tetapi lebih kerap. Boleh juga berikan sedikit ‘bedtime snack’ sebelum anda tidur di waktu malam.

Makanan ini dapat membantu untuk mengalas perut si bulus sepanjang malam bagi mengelakkan pembentukan asid berlebihan.

Nak lagi mudah, pemilik kucing juga boleh menggunakan mesin automatik dan menetapkan waktu makanan dikeluarkan sekitar 3 ke 4 pagi.

Dalam kes lebih serius pula, kucing mungkin akan diberi ubat-ubatan yang mengurangkan asid perut untuk mengawal masalah BVS.

Automatic pet feeder dapat membantu untuk menyediakan makanan buat kucing di tengah malam.

Kucing Juga Boleh Muntah Kerana Makanan Tidak Hadam & Makan Perkara Tidak Sepatutnya

Selain akibat gastrik, kucing juga boleh mengalami muntah disebabkan oleh masalah kesihatan tertentu dan selalunya diikuti simptom-simptom lain.

Menurut The Spruce Pets, antara masalah lain yang boleh menyebabkan kucing muntah adalah:

  • Makanan tidak dihadamkan sepenuhnya.
  • Sembelit.
  • Kerengsaan atau halangan pada gastrointestinal (GI).
  • Pankreatitis.
  • Penyakit atau jangkitan.
  • Pendedahan kepada toksik.
  • Hairball.

Selain itu, si bulus yang makan perkara tidak sepatutnya (dietary indiscretion) juga akan menyebabkan masalah muntah yang diserta simptom lain seperti cirit-birit.

Masalah ini terjadi apabila kucing memakan suatu makanan atau bahan bukan makanan yang bukan diet kebiasaannya, termasuk:

  • Sampah sarap.
  • Sisa makanan manusia yang tidak boleh dimakan.
  • Makanan haiwan lain.
  • Haiwan mangsa yang diburu seperti tikus dan burung.
  • Makanan lain yang diberi oleh jiran.
  • Bahan bukan makanan seperti plastik dan getah rambut.
Makan rumput juga boleh sebabkan kucing muntah.

Baca Artikel Berkaitan: Boleh Bahayakan Kesihatan, Ini Senarai Makanan Untuk Manusia Yang Kucing Tak Boleh Makan

Baca Artikel Berkaitan: Ini Lima Tingkah Laku Kucing Yang Sebenarnya Tidak Normal, Boleh Jadi Simptom Masalah Kesihatan Serius

Baca Artikel Berkaitan: Kucing Masih Berbau Walaupun Dah Mandi? Mungkin Petanda Masalah Kesihatan Serius


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd