Tular Wanita Dijangkiti Demam Kepialu Lepas Makan Di Bazar, Ini Kepentingan Vaksin Tifoid
Antara simptom demam tifoid adalah demam panas berpanjangan, cirit birit, sakit kepala, sakit perut dan kurang selera makan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidak dapat dinafikan bahawa apabila makan di mana-mana kedai di luar, kita sebenarnya berdepan dengan pelbagai risiko.
Antaranya adalah makanan yang tercemar dengan bakteria seperti Salmonella, E. coli, dan Listeria sehingga boleh menyebabkan seseorang jatuh sakit.
Malah dalam kes keracunan makanan serius, seseorang juga berdepan risiko maut jika tidak mendapatkan rawatan segera.
Baca Artikel Berkaitan: Disoal Mengenai Suntikan Typhoid, Respon Peniaga Kedai Viral Bikin Ramai Geram
Baca Artikel Berkaitan: “Asal Boleh Masak Je Jual” – Chef Wan Dedah Ramai Peniaga Tak Tahu Cara Betul Kendali Makanan
Baca Artikel Berkaitan: “Hilang Selera Makan” – Shell Out Dihidang Guna Penyodok Buat Ramai Kembang Tekak
Individu Kongsi Ibu Pernah Kena Demam Tifoid Akibat Makan Di Bazar
Baru-baru ini, seorang individu menerusi hantaran di Threads mendedahkan bahawa ibunya pernah dijangkiti demam kepialu atau dikenali juga sebagai demam tifoid, selepas makan di sebuah bazar makanan.
Simptom yang dialami oleh wanita itu juga amat teruk sehingga dinding ususnya dipenuhi plak dan ulser.
Dia telah menjalani rawatan selama dua minggu di sebuah hospital dan sembuh, namun berdepan kesan jangka panjang.
Difahamkan individu tersebut telah berkongsi situasi berkenaan apabila seorang usahawan didakwa tidak mengambil suntikan tifoid mengajak orang ramai untuk hadir ke cawangan kafe yang dikendalikan olehnya.

Bakteria Tifoid Datang Dari Darah, Urin & Najis Pembawa, Boleh Cemarkan Makanan
Membaca perkongsian tersebut, mungkin terdapat segelintir individu yang tidak menyangka bahawa demam tifoid boleh menjadi sesuatu yang amat bahaya.
Berdasarkan laman web Info Sihat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jangkitan demam tifoid adalah disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi (S. typhi).
Bakteria ini boleh ditemui di dalam darah, urin dan najis pesakit serta pembawa. Namun pembawa bakteria tidak akan menunjukkan sebarang gejala demam tifoid.
Perkara ini menyebabkan mereka sukar dikesan dan sentiasa mengeluarkan bakteria tifoid yang boleh menjangkiti orang lain.
Untuk info, bakteria yang menyebabkan demam tifoid ini boleh merebak menerusi pelbagai cara, temasuk:
- Makanan dan minuman yang tercemar oleh najis manusia yang mengandungi bakteria Salmonella typhi.
- Makanan dan minuman yang disediakan oleh pesakit dan pembawa.
- Hinggapan lalat yang membawa bakteria Salmonella typhi.
- Menggunakan bekalan air tidak bersih.

Simptom & Komplikasi Demam Tifoid
Dalam kalangan pesakit, demam tifoid boleh dikenal pasti berdasarkan beberapa simptom termasuk:
- Demam panas berpanjangan
- Sembelit
- Sakit kepala
- Cirit birit
- Sakit perut
- Sakit badan/ lemah/ letih lesu
- Kurang selera makan
- Mata layu dan cengkung
- Tidak sedarkan diri dan meracau
- Ruam (bintik merah pada bahagian atas badan)
Menurut Mayo Clinic, simptom ini boleh dialami oleh sesetengah pesakit sehingga berminggu lamanya walaupun tidak lagi demam.
Selain itu, demam tifoid juga boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera, antaranya:
- Jangkitan disebabkan oleh bakteria usus yang tersebar ke seluruh tubuh, digelar sepsis.
- Pendarahan di usus disebabkan oleh lubang-lubang (perforation) pada usus.
- Perubahan dalam pemikiran, kesedaran dan bagaimana seseorang melihat di sekelilingnya.
- Kelemahan pada arteri yang disebabkan oleh jangkitan dikenali sebagai aneurisme mikotik.
Individu yang mengalami jangkitan demam tifoid akan diberikan antibiotik, namun dalam kes serius mereka perlu dimasukkan ke hospital bagi rawatan lanjut.

Pengendali Makanan Di Malaysia Wajib Ambil Vaksin Tifoid
Oleh yang demikian, pentingnya bagi orang ramai untuk membeli makanan dan minuman daripada pengendali yang mementingkan kebersihan.
Malah di Malaysia, vaksin tifoid wajib diambil buat pengendali makanan tidak kira warganegara mahupun bukan seperti tertakluk di bawah Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Memetik hantaran di Facebook Kenali Ubat Anda KKM, Peraturan 11 juga menyatakan bahawa pemilik premis makanan tidak boleh menggaji atau membenarkan mana-mana pengendali makanan bekerja di premisnya jika tidak mendapatkan vaksin tifoid oleh pengamal perubatan berdaftar.
Selain daripada pengendali makanan, vaksin tifoid juga boleh diambil oleh mereka yang berada di dalam kawasan jangkitan demam kepialu kerap berlaku, atau ingin melakukan perjalanan ke negara yang mempunyai jumlah kes jangkitan demam kepialu yang tinggi.
Typhoid Mary Sebabkan Lebih 20 Orang Dijangkiti Demam Tifoid
Seorang pembawa bakteria S. typhi sememangnya menjadi risiko serius jika mengendalikan makanan.
Seperti dalam satu kisah sejarah, seorang individu yang bernama Mary Mallon didakwa telah menyebabkan wabak demam tifoid sehingga digelar sebagai Typhoid Mary.
Menurut Britannica, dia yang merupakan seorang tukang masak di Amerika Syarikat dipercayai telah menyebabkan sebanyak 22 orang dijangkiti antara 1900 hingga 1907.
Dia telah ditahan di sebuah pusat pengasingan sebelum dilepaskan pada 1910 dengan syarat tidak lagi bekerja di tempat pengendalian makanan.
Namun empat tahun kemudian, Mary didapati telah menjadi tukang masak sehingga mengakibatkan wabak di dua kawasan, menyebabkan dia ditahan semula di pusat pengasingan sama.
Baca Artikel Berkaitan: Bukan Sekadar Keracunan Makanan, Rupanya Tiram Mentah Juga Boleh Bawa Wabak Hepatitis A
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pakar Perjelas Bagaimana Telur Boleh Jadi Punca Keracunan Makanan
Baca Artikel Berkaitan: KKM Kongsi Tips Penggunaan Papan Pemotong Makanan, Elak Jadi Punca Keracunan Makanan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.