Now Reading
Betul Ke Diet Ibu Menyusu Boleh Beri Kesan Pada Bayi? Ini Penjelasan Pakar

Betul Ke Diet Ibu Menyusu Boleh Beri Kesan Pada Bayi? Ini Penjelasan Pakar

Menurut pakar pediatrik Dr Nisa Khalil, segelintir kecil bayi yang minum susu ibu dan mempunyai alahan atau masalah kesihatan lain mungkin terkesan dengan diet ibu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Boleh dikatakan ramai ibu yang memilih untuk memberi susu badan kepada bayi, sekurang-kurangnya bagi setahun hingga dua tahun pertama kelahiran.

Namun kadangkala timbul juga kerisauan jika apa yang dimakan oleh ibu menyusu boleh membawa kesan kepada anak kesayangan.

Sebagai contoh, terdapat segelintir individu yang percaya bahawa ibu menyusu yang mengambil makanan tertentu boleh membuatkan si kecil kembung perut, naik ruam dan sebagainya.

Ada yang sampai nak makan cili pun tak boleh, katanya nanti susu terasa pedas dan bayi akan sakit perut.

Baca Artikel Berkaitan: “Susu Tak Keluar Pun Lagi?” – Pakar Ini Ulas Topik Bila Sebenarnya Susu Ibu Mula Dihasilkan

Baca Artikel Berkaitan: Mufti Perjelas Hukum Ibu Sengaja Tak Mahu Menyusu Badan

Baca Artikel Berkaitan: Perlu Ke Suami Bagi Upah Pada Isteri Sebab Susukan Anak?

Diet Ibu Menyusu Selalunya Tidak Akan Beri Kesan Kepada Bayi

Mengulas topik berkenaan, pakar pediatrik Dr Nisa Khalil berkongsi bahawa dia turut menerima soalan sama ada diet ibu akan memberi kesan kepada bayi menerusi susu badan.

Dalam satu hantaran di Threads, dia berkata terlalu ramai para ibu yang ‘menyeksa’ diri mereka atas kepercayaan sedemikian.

Dia menjelaskan bahawa secara ringkasnya, susu badan kebiasaannya tidak akan terkesan dengan apa yang dimakan oleh ibu.

“Susu badan ditapis oleh tubuh badan anda, bukan diberikan terus dari pinggan kepada bayi,” katanya.

Dr Nisa berkata walaupun mungkin terdapat sedikit protein dari makanan yang masuk ke susu ibu, namun 90% hingga 95% bayi yang disusukan berada dalam keadaan sihat walau apapun makanan yang diambil oleh ibu.

Menurut Hopkins Medicine, hanya sekitar 3% bayi yang minum susu ibu sahaja mengalami alergi atau sensitiviti dari makanan yang diambil oleh ibu.

Gambar sekadar hiasan.

Segelintir Bayi Dengan Alergi Akan Alami Kesan Daripada Diet Ibu Menyusu

Namun pakar itu turut menerangkan beberapa keadaan si kecil yang ibu perlu perhatikan termasuk:

  • Najis berdarah.
  • Ekzema yang teruk.
  • Berat badan naik perlahan.
  • Menangis tidak henti selepas menyusu.

Katanya jika terdapat simptom sedemikian, bayi mungkin mengalami masalah alergi makanan seperti alahan protein susu lembu (CMPA) (hanya sekitar 0.5% ke 1% bayi menyusu badan mempunyai masalah ini).

Dr Nisa bagaimanapun menegaskan ibu agar mengesahkan perkara ini dengan pakar pediatrik dan tidak mengambil nasihat sembarangan.

Gambar sekadar hiasan.

Ibu Perlu Elak Kacang Parang Jika Bayi Ada Penyakit G6PD

Selain itu, ibu dengan bayi yang mengalami penyakit kekurangan Glukosa-6-fosfat dehidrogenase (G6PD) juga perlu berhati-hati dalam pemakanannya.

Bagi bayi G6PD, ibu perlu mengelakkan makanan tertentu terutamanya kacang parang.

“Bukan sebab susu badan ‘tercemar’. Tapi sebab (walaupun dalam) jumlah kecil, ia boleh mencetuskan hemolysis (pemusnahan pramatang sel darah merah),” jelas Dr Nisa.

Keadaan ini boleh menimbulkan masalah favism yang menyebabkan anemia hemolytic akut di mana sel darah merah dimusnahkan lebih cepat berbanding ia dihasilkan oleh sumsum tulang. Ia boleh membawa maut.

Dr Nisa turut mengingatkan ibu ayah agar mendapatkan senarai penuh makanan yang harus dielakkan jika mempunyai bayi G6PD.

View on Threads

Ibu Menyusu Boleh Minum Kopi Dalam Jumlah Terkawal

Dalam pada itu, Dr Nisa telah ‘debunk’ beberapa makanan yang dipercayai dapat menyebabkan masalah pada si kecil, yakni:

  • Kacang, kobis dan brokoli tidak menyebabkan perut bayi berangin.
  • Ibu menyusu boleh makan pedas kecuali jika bayi ada alahan.
  • Durian boleh diambil ketika menyusu.

Satu lagi kepercayaan ‘klasik’ adalah ibu menyusu tidak boleh minum kopi kerana kafein yang dikandungi akan dihantar kepada bayi, menyebabkan mereka tidak boleh tidur.

Namun katanya pengambilan kopi atau minuman berkafein lain yang terkawal iaitu kurang daripada 300mg kafein sehari adalah selamat, memandangkan ia akan diproses dan hanya jumlah amat kecil yang diterima bayi.

Tetapi jika ibu perasan si kecil sukar tidur selepas menyusu dan ada mengambil kopi, cuba kurangkan pengambilan kafein.

Gambar sekadar hiasan.

“Kecuali jika ada alasan perubatan sebenar (alergi, G6PD), anda tak perlu pantang macam zaman nenek. Berhenti seksa diri anda.

“Amalakan diet seimbang, kekalkan hidrasi, jaga kesihatan mental dan fokus kepada mengukuhkan ikatan dengan bayi.

“Ibu yang mendapat khasiat dan gembira akan mengasilkan bayi sihat membesar. Anda boleh nikmati makanan walaupun menyusukan anak,” katanya.

Rasa Susu Badan Berubah Mengikut Diet Ibu

Walaupun apa yang dimakan oleh ibu menyusu tidak semestinya menyebabkan masalah kesihatan pada bayi, namun rasa susu akan berubah.

Seperti yang dinyatakan dalam laman web Hopkins Medicine, rasa susu badan akan berubah mengikut makanan yang diambil ibu.

Bayi pada mulanya mungkin enggan minum susu dengan rasa baharu, lebih-lebih lagi rasa yang kuat seperti bawang putih dan pedas. Namun ia tidak akan membawa keburukan pada si kecil.

Malah kajian mendapati bahawa ibu yang makan ekstrak bawang putih akan membuatkan bayi menyusu lebih lama dan gemar rasa susu berbeza, seterusnya dapat membantu ketika tempoh putus susu (weaning).

Gambar sekadar hiasan.

Baca Artikel Berkaitan: Kaunselor Penyusuan Kongsi Tips Simpan Susu Badan & Cara Panaskan Semula

Baca Artikel Berkaitan: Susu Ibu Waktu Pagi & Malam Ada Kandungan Hormon Berbeza? [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Tips Berpuasa Untuk Bantu Ibu Yang Sedang Menyusu Bayi


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd