Bukan Sekadar Keracunan Makanan, Rupanya Tiram Mentah Juga Boleh Bawa Wabak Hepatitis A
Tiram boleh tercemar dengan virus hepatitis A jika kawasan laut yang didudukinya dicemari kumbahan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sering dimakan hanya dengan perahan jus lemon, tiram mentah boleh dikatakan sebagai salah satu hidangan istimewa atau ‘delicacy’.
Namun tidak semua yang gemar memakannya kerana mempunyai rasa yang dikatakan terlalu hanyir dan bau laut yang kuat.
Malah ada juga yang tidak bernasib baik dan mengalami keracunan makanan setelah mencuba tiram mentah atau lebih dikenali sebagai oyster.
Sebenarnya, bukan setakat keracunan makanan, tiram mentah juga mempunyai risiko dicemari virus lain.
Baca Artikel Berkaitan: Ikut Trend Makan Tiram Mentah, Ramai Dakwa Terkena Keracunan Makanan?
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Gadis Selamba Makan Isi Ikan Mentah Buat Ramai Netizen Risau
Tiram Mentah Boleh Bawa Risiko Wabak Hepatitis A
Seperti yang dijelaskan oleh Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook, makanan laut mentah boleh menjadi pembawa wabak hepatitis A (HAV).
Untuk info, hepatitis A merupakan penyakit hati kronik dan seseorang boleh dijangkiti oleh virus ini menerusi makanan atau air yang tercemar dengan najis manusia, dikenali sebagai ‘fecal-oral transmission’.
Katanya, wabak ini juga lebih sering melibatkan makanan laut jenis kerang-kerangan bivalve termasuk tiram, remis dan kerang.
Perkara ini terjadi kerana sifat haiwan itu yang menapis air laut, menyebabkan virus seperti HAV berkumpul di dalam tubuhnya jika kawasan laut tercemar dengan kumbahan.
Seperti yang dipetik oleh SingHealth Group, kebanyakan kes hepatitis A yang dilaporkan di Singapura adalah disebabkan memakan kerang atau tiram kurang masak yang telah tercemar.
“Apabila dimakan mentah atau separuh masak, virus ini tidak sempat mati akibat haba dan terus menjangkiti manusia,” kata PHM.

Virus Hepatitis A Boleh Dijangkiti Jika Tinggal Serumah Dengan Pesakit
Memandangkan seseorang boleh dijangkiti HAV menerusi makanan yang tercemar dengan najis manusia, ini bermakna terdapat juga risiko jangkitan sekiranya tangan tidak dibersihkan sepenuhnya ketika menyediakan makanan.
“Jika makanan disediakan oleh individu yang tidak mencuci tangan atau datang dari sumber air yang tidak bersih, virus ini boleh menjangkiti manusia tanpa disedari,” katanya.
Selain itu, HAV juga berisiko dijangkiti menerusi kontak rapat atau duduk serumah dengan mereka yang mempunyai virus itu.
Ini kerana ia boleh hidup di permukaan selama berbulan lamanya dan menjangkiti orang lain yang menyentuh kawasan tersebut.
Virus Hepatitis A Tahan Lama, Boleh Hidup Berminggu Dalam Frozen Food
Seperti dinyatakan di atas, PHM berkata virus ini mempunyai daya ketahanan yang kuat dan boleh hidup dengan lama di dalam laut, di permukaan dapur dan sehingga berminggu-minggu di dalam makanan beku.
“Ia juga tahan terhadap suhu rendah dan suasana berasid. Membeku tidak membunuh virus ini,” jelasnya lagi.
Selain kekal lama di permukaan, HAV juga tidak dapat disingkirkan sepenuhnya menggunakan sabun biasa.
Sebaliknya permukaan yang tercemar perlu dibersihkan menggunakan disinfektan kuat seperti larutan peluntur (sodium hypochlorite) bagi membunuh virus tersebut dengan berkesan.
Masak Makanan Dengan Betul Untuk Musnahkan Virus Hepatitis A Sepenuhnya
Jadi kalau makanan laut berisiko tercemar dengan virus ini, maksudnya lebih baik jangan dimakan langsung ke? Sebenarnya boleh, tetapi perlu dimasak dengan betul.
Menurut PHM, kajian mendapati HAV akan benar-benar musnah apabila dimasak pada suhu minimum 85°C, selama sekurang-kurangnya satu minit.
Sebaliknya virus ini akan kekal hidup jika hanya dimasak sekejap atau secara separuh masak.
Gejala Hepatitis A Muncul Antara 2 Ke 7 Minggu
Tidak seperti keracunan makanan yang akan dirasai seseorang dengan serta-merta, gejala hepatitis A hanya akan muncul dalam tempoh dua ke tujuh minggu.
Ini bermakna orang ramai tidak akan menyedari bahawa virus tersebut sudah merebak di dalam tubuh badan.
PHM menasihati orang ramai agar memerhatikan gejalanya selepas dua hingga tujuh minggu mengambil makan makanan laut mentah atau separuh masak. Antaranya:
- Rasa loya, muntah dan sakit perut.
- Hilang selera makan dan keletihan melampau.
- Air kencing berwarna gelap seperti teh.
- Kulit dan mata kekuningan (jaundis).
- Sakit di bahagian bawah rusuk kanan.

Jika gejala ini muncul, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan darah kerana hepatitis A boleh merebak kepada ahli keluarga lain melalui sentuhan dan makanan.
Tambah PHM, wabak ini jarang membawa maut. Namun begitu ia boleh menyebabkan keradangan hati serius, kehilangan tenaga selama berminggu-minggu dan risiko jangkitan kepada ahli keluarga.
Amalkan Langkah Pencegahan Virus Hepatitis A
Dalam pada itu, PHM turut berkongsi langkah-langkah yang boleh diamalkan bagi mencegah jangkitan wabak hepatitis A. Antaranya:
- Masak makanan laut hingga benar-benar mendidih.
- Basuh tangan dengan sabun dan air mengalir sebelum makan dan selepas ke tandas.
- Elakkan guna semula peralatan yang telah menyentuh makanan mentah.
- Beli makanan laut daripada sumber yang dipercayai dan bersih.
Malah, orang ramai juga boleh mendapatkan suntikan vaksin hepatitis A bagi mengelakkan jangkitan, terutamanya mereka yang berisiko terdedah kepada virus ini.

Tiada Rawatan Khas Hepatitis A, Virus Hilang Sendiri Dari Badan
Menurut Mayo Clinic, ujian darah akan dijalankan bagi mengenal pasti kehadiran HAV dalam badan.
Pun begitu, tiada rawatan khas yang diberikan. Sebaliknya, tubuh badan akan menyingkirkan virus itu dengan sendiri dan kebiasaannya mengambil masa sehingga enam bulan untuk sembuh sepenuhnya.
Namun individu yang dijangkiti virus ini perlu melakukan beberapa perkara agar segera sembuh seperti mendapatkan rehat mencukupi serta amalkan hidangan yang sihat dan seimbang.
Memandangkan virus ini akan menyerang hati dan melemahkan fungsinya, pesakit juga perlu mengelak penggunaan alkohol serta mengambil ubat-ubatan secara berhati-hati.

Baca Artikel Berkaitan: “Orang Jual Kau Pun Nak Jual” – Wanita Kecewa Ayam Bakar Dibeli Di Bazar Ramadan Mentah
Baca Artikel Berkaitan: Ini Cara ‘Defrost’ Bahan Mentah Beku Dengan Selamat
Baca Artikel Berkaitan: Jangkitan Cacing Boleh Berlaku Akibat Makanan Tercemar. Ini Kaedah Rawatan Perlu Diambil!
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



