Musim Influenza Kembali, Ini Penjelasan Pakar Tentang Waktu Sesuai Ambil Vaksin
Doktor perubatan Dr Muhd Nur Azri Muhd Hisam berkata cuaca yang lembap serta suhu rendah membuatkan virus influenza kekal stabil dan lebih lama di udara serta permukaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Musim influenza kini kembali apabila ramai yang dilaporkan bergejala dan positif selepas melakukan ujian di klinik-klinik.
Malah ada juga yang melaporkan bahawa hospital dipenuhi dengan pesakit influenza yang perlu mendapatkan rawatan lanjut.
Namun mungkin ada yang tertanya-tanya mengapakah penyakit influenza ini bermusim dan berlakunya lonjakan kes pada waktu-waktu tertentu?
Baca Artikel Berkaitan: Warga Emas 60 Tahun & Ke Atas Digesa Ambil Suntikan Vaksin Influenza
Baca Artikel Berkaitan: Influencer Kongsi Petua Redakan Selesema & Kahak Anak, Guna Bawang Je!
Jangkitan Influenza Banyak Terjadi Ketika Perubahan Monsun Di Malaysia
Menerusi hantaran di Threads, doktor perubatan Dr Muhd Nur Azri Muhd Hisam, berkata wujudnya ‘winter flu season’ di negara empat musim.
Centers for Disease Control and Prevention (CDC) menyatakan bahawa kemuncak aktiviti virus selesema di sana kebiasaannya adalah antara bulan Disember hingga Februari.
Bagi kes di Malaysia pula, Dr Azri berkata keadaan cuaca hujan dan panas sepanjang tahun dengan dua monsun utama kebiasaannya menyebabkan jangkitan influenza kemuncak pada dua waktu.
Ini adalah ketika musim peralihan (inter-monsoon) monsun iaitu yang pertama pada bulan Mac hingga April dan kedua pada Oktober hingga Disember.
Namun tambahnya lagi, kes influenza juga boleh meningkat pada bila-bila masa sepanjang tahun bergantung kepada cuaca dan hujan.
Cuaca Lembap & Suhu Rendah Sesuai Untuk Virus Influenza
Menjelaskan keadaan ini, Dr Azri berkata kekerapan hujan yang meningkat akan menyebabkan tahap kelembapan yang tinggi serta suhu rendah.
Ini adalah keadaan yang sesuai untuk virus influenza kekal stabil dan lebih lama di udara serta permukaan.
Pasti ramai terutamanya ibu ayah, perasan ramai kanak-kanak yang tidak hadir ke sekolah akibat demam selepas habis cuti panjang.
Kemungkinan ketika cuti sekolah mereka telah berkunjung ke tempat yang sesak dan berjumpa saudara-mara jauh yang menyebabkan mereka terdedah kepada virus.
Jika mereka hadir juga ke sekolah, rakan-rakan sekelas akan menjadi kontak rapat dan kemungkinan besar dijangkiti juga.
Orang Ramai Disaran Ambil Vaksin Influenza 2 Kali Dalam Setahun
Di samping itu, Dr Azri turut menjelaskan waktu yang sesuai untuk mengambil vaksin terhadap virus influenza.
Bagi negara empat musim, vaksin selalunya diberikan sebelum memasuki musim sejuk iaitu antara September hingga Oktober.
Namun memandangkan Malaysia mempunyai dua musim influenza, dia memberi saranan agar vaksin diambil dua kali iaitu sebelum Mac (musim pertama) dan sebelum Oktober (musim kedua).
Mengulas lanjut, dia berkata vaksin influenza mengambil masa sekitar dua minggu untuk benar-benar membangunkan antibodi perlindungan yang berkesan.
Vaksin & Jangkitan Semula Jadi Influenza Hasilkan Imuniti Hibrid
Dalam masa sama, Dr Azri berkata tubuh badan hanya terdedak kepada antigen yang spesifik sahaja apabila berlakunya jangkitan influenza.
Sebagai contoh dia menjelaskan bahawa dalam kes jangkitan antigen H1N1, tubuh badan akan menghasilkan antibodi yang lebih pelbagai iaitu IgA, IgM, IgG, sel Memory B & sel T.
Namun Dr Azri berkata antibodi ini adalah spesifik terhadap jangkitan H1N1 sahaja dan kurang meliputi jangkitan yang disebabkan antigen H3N2.
Oleh itu, seseorang boleh dijangkiti semula oleh antigen influenza yang lain.
Sebaliknya, Dr Azri berkata vaksin influenza yang disuntik mengandungi tiga ke empat strain agar dikenal pasti oleh tubuh badan untuk menghasilkan antibodi bersesuaian.
Pengambilan vaksin influenza ini seterusnya akan menghasilkan imuniti hibrid apabila digabungkan dengan jangkitan yang berlaku secara semula jadi.
“Sebab itulah doktor amat sarankan untuk ambil vaksin influenza walaupun selepas terkena jangkitan influenza,” katanya.
View on Threads
Simptom Influenza Seakan Covid-19
Pakar Kesihatan Masyarakat dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, sebelum ini berkata ramai yang tidak menyedari dijangkiti influenza kerana gejalanya yang seakan-akan Covid-19. Sebagai info, antara gejala influenza termasuk:
- Demam
- Selesema
- Batuk
- Sakit tekak
- Muntah
- Cirit-birit
Dalam kes serius seperti yang pernah dilaporkan, jangkitan juga boleh menyebabkan sesak nafas, telinga bernanah, radang paru-paru, jangkitan kuman dalam paru-paru (pneumonia) atau malah kematian.
Golongan berisiko juga berisiko berhadapan komplikasi teruk akibat jangkitan influenza, antaranya:
- Kanak-kanak
- Warga emas lebih 60 tahun
- Individu dengan sakit seperti kanser, darah tinggi, kencing manis dan kegemukan yang menjadikan sistem imun badan tidak berapa kuat
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Undang Maut, Ramai Tak Sedar Alami Influenza Kerana Gejala Seakan Covid-19
Baca Artikel Berkaitan: “I Terus Halau Dia” – Dr Malar Suruh Staf Balik Sebab Hidap Selesema
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

