Bayi Dah Masuk Fasa Makan Makanan Pejal? Ini Panduan Penting Buat Ibu Ayah Di Luar Sana
Mesti ramai golongan ibu bapa yang tidak sabar melihat bayi mereka mula mengambil makanan pejal dalam rutin harian.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Untuk para ibu dan wanita hamil di luar sana, pasti proses membesarkan anak merupakan antara detik istimewa yang dilalui oleh anda. Antara perkara lain yang dinantikan adalah melihat si manja makan makanan pejal disediakan di rumah.
Untuk info, The American Academy of Pediatrics (AAP) dan World Health Organisation (WHO) mencadangkan bayi mula mengambil jenis makanan itu sekitar usia 4-6 bulan.
Hal ini kerana sistem pencernaan si kecil itu sudah mula berkembang ke tahap yang yang membolehkan ia memproses pelbagai jenis makanan diberikan kepadanya.
Baca Artikel Berkaitan: Ibu Ayah Risau Anak Asyik Nak Makanan Yang Sama? Ini Penjelasan Pakar Pediatrik
Bila Waktu Terbaik Untuk Beri Si Kecil Cuba Makanan Pejal?
Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk anda mendedahkan si kecil dengan tekstur makanan yang pelbagai agar mereka terbiasa untuk menjamahnya sewaktu meningkat usia.
Ia bagi mengelakkan si kecil memilih makanan.
Memetik Hello Doktor, memperkenalkan makanan pejal terlalu awal bukan satu cadangan yang baik kerana ia akan mendorong pelbagai isu kesihatan kepada bayi. Bagaimanapun, menunggu sehingga 8 atau 9 bulan juga adalah terlalu lambat.

Tabiat pemakanan bayi sukar untuk diubah apabila sudah mencecah usia tersebut. Secara amnya, si kecil bersedia untuk makan makanan pejal apabila mereka sudah mampu:
- Menegakkan kepala
- Duduk dengan bantuan ibu bapa atau penjaga
- Menunjukkan minat terhadap makanan
- Menelan makanan tanpa paksaan
Susu Masih Sumber Utama Nutrisi Buat Si Manja
Namun perlu diingatkan, meskipun anda teruja melihat bayi menjamah makanan pejal tetapi susu masih merupakan sumber utama nutrisi untuk bayi sehingga umur satu tahun.
Baca Artikel Berkaitan: “Meriahnya Rezeki Susu Anak-anak” – Tindakan Wanita Ini Kongsi Susu Badan Dipuji Netizen
Pemberian makanan pejal ini untuk tujuan pembelajaran, penerokaan serta keseronokan dan bukan untuk menggantikan hidangan utama.
Jangan terlalu fokuskan kuantiti makanan yang diberi, tetapi pada kepelbagaian tekstur dan pengalaman itu sendiri.

Panduan Jenis Makanan Pejal Untuk Bayi Anda
Mungkin ada di antara anda khususnya golongan yang pertama kali bergelar ibu ayah pening kepala dan tidak pasti jenis makanan apakah yang sesuai untuk si kecil.
Memetik The Asian Parent, berikut adalah makanan yang anda boleh cuba kenalkan kepada si bayi:
Makanan kaya zat besi:
- Kandungan zat besi dalam tubuh badan bayi akan mula berkurangan sekitar usia 6 bulan. Oleh disebabkan itu, adalah penting bagi ibu bapa memberi makanan seperti bijirin yang dicampur dengan susu atau formula.
- Selain itu adalah daging puri seperti ayam, daging lembu, atau ayam belanda, dan kekacang sebagai contoh lentil, serta kacang merah yang dilenyek.

Sumber: Organix
Buah-buahan dan sayur-sayuran:
- Boleh memperkenalkan pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran sambil memperhatikan reaksi mereka. Antaranya adalah pisang, avokado yang dilecek, puri labu, lobak merah, keledek, epal atau pir yang dikukus dan dikisar.

Sumber: Annabel Karmel
Makanan alergenik:
- Jika anak anda tidak mempunyai ekzema atau alahan, anda boleh memperkenalkan mereka dengan makanan yang berisiko menyebabkan alahan. Contohnya adalah mentega kacang (peanut butter), telur, ikan salmon dan produk tenusu iaitu yogurt asli.

Sumber: Pexels
Cara Penyediaan Makanan Pejal Buat Bayi Anda
Kami tahu anda teruja tetapi jangan gelojoh. Langkah terbaik bagi memberikan si kecil makanan pejal adalah mulakan dengan 1 hingga 2 sudu kecil/teh sehari kemudian tingkatkannya secara berperingkat apabila bayi sudah terbiasa.
Pada tempoh permulaan, dedahkan anak dengan makanan lembut seperti puri atau lecek. Anda boleh beralih kepada makanan dengan tekstur lebih pekat dan makanan jari lembut apabila anak sudah pandai kunyah dan menelan.
Paling penting adalah kesabaran yang tinggi, jangan paksa anak ya ibu dan ayah!

Jadual Pemberian Makanan Mengikut Usia Bayi
Buat anda yang tidak pasti berikut adalah jadual pemberian dan jenis makanan yang sesuai untuk bayi anda:
- 6-7 bulan: 1 hidangan sehari (puri lembut atau makanan lecek (lembut atau sudah dihaluskan)
- 7-8 bulan: 2 hidangan sehari (puri pekat dan sedikit makanan jari)
- 8-9 bulan: 3 hidangan sehari (makanan jari lembut atau makanan dikisar kasar)
- 10-12 bulan: 3 hidangan + 1-2 snek (makanan keluarga yang dipotong halus)

Jangan Beri Makanan Sembarangan!
Untuk info, bukan semua jenis makanan adalah sesuai untuk bayi. Ada yang boleh mengundang penyakit bahaya atau menyebabkan mereka tercekik.
Berikut adalah antara makanan yang perlu dielakkan semasa memperkenalkan makanan pejal kepada bayi:
- Madu
- Susu lembu
- Kacang berbentuk bulat
- Anggur
- Epal mentah
- Popcorn
- Gula-gula keras
- Makanan mengandungi garam atau gula tambahan
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi Kebaikan Beri Mentega Pada Bayi Selepas Usia 6 Bulan
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ini Tanda-Tanda Bezakan Bayi Tercekik Atau Alami Refleks Gag. Ibu Bapa Wajib Tahu!
Baca Artikel Berkaitan: “Memanglah Tengah Hype Tapi..” – Wanita Kesal Ada Ibu Bapa Beri Si Kecil Tiramisu Berkafein
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.