Demam Anak Tak Kebah Lepas Dah Makan Ubat? Doktor Jelaskan Boleh Jadi Simptom Penyakit Kawasaki
Pakar pediatrik, Dr Nisa Khalil, menegaskan bahawa rawatan segera bagi penyakit Kawasaki dapat mengurangkan risiko aneurisme.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap kali anak kecil mengalami demam, ibu ayah mesti mula rasa gelisah. Apatah lagi kalau suhunya tinggi dan berpanjangan walaupun telah diberi ubat.
Selalunya insya-Allah demam yang dialami biasa sahaja dan merupakan tindak balas tubuh badan melawan jangkitan kuman atau virus.
Namun kadangkala ada juga demam panas yang berpanjangan beserta simptom lain, yang membuatkan ibu ayah tak senang duduk
Baca Artikel Berkaitan: Kes HFMD: Ini Simptom Yang Ibu Ayah Kena Tahu
Baca Artikel Berkaitan: Doktor Nasihat Elak Letak Tuala Basah Waktu Anak Demam. Boleh Terkena Sawan!
Baca Artikel Berkaitan: Aiskrim Sebagai ‘Ubat’? Ini Penjelasan Pakar Pediatrik
Demam Tak Kebah Lebih 5 Hari Mungkin Simptom Penyakit Kawasaki
Menerusi hantaran di Threads (@dr.nisa.khalil), pakar pediatrik Dr Nisa Khalil, berkongsi maklumat tentang satu penyakit yang jarang berlaku tetapi berbahaya.
Dia menyatakan soalan yang sering ibu ayah kemukakan, iaitu anak demam sehingga lima hari beserta ruam yang tidak sembuh walaupun diberi ubat.
“Satu kemungkinan yang jarang tetapi serius adalah penyakit Kawasaki,” katanya.
Menerangkan mengenai masalah kesihatan itu, Dr Nisa berkata penyakit Kawasaki merupakan penyakit kanak-kanak yang jarang berlaku.
Mereka yang mempunyai penyakit itu akan mengalami keradangan salur darah terutamanya pada arteri koronari yang terletak di jantung.
Keadaan ini seterusnya boleh menyebabkan masalah jantung serius jika diagnosis dan rawatan segera tidak diberikan.
Punca Sebenar Penyakit Kawasaki Tidak Diketahui
Merujuk portal Mayo Clinic, punca penyakit Kawasaki tidak diketahui, tetapi pakar percaya penyakit itu tidak berjangkit dari seorang ke seorang yang lain.
Sesetengah pendapat menyatakan penyakit itu berlaku selepas terjadinya jangkitan bakteria atau virus, atau dikaitkan dengan faktor-faktor persekitaran.
Malah genetik tertentu mungkin membuatkan kanak-kanak lebih berisiko menghidap penyakit Kawasaki.
Mata Merah & ‘Lidah Strawberi’ Antara Simptom Lain Penyakit Kawasaki
Mengulas lanjut, Dr Nisa menyatakan bahawa salah satu simptom penyakit Kawasaki adalah demam melebihi lima hari yang tidak bertambah baik walaupun telah diberi ubat Paracetamol (PCM).
Ini akan diikuti sekurang-kurangnya empat simptom lain yang termasuk:
- Mata merah tanpa lelehan.
- Ruam pada badan.
- Bibir berwarna merah dan merekah, atau lidah kemerahan dan bengkak yang digelar ‘lidah strawberi’.
- Tapak kaki dan tangan bengkak dengan kulit pada jari kemudiannya menggelupas.
- Kelenjar limfa leher bengkak.

Lain-lain simptom termasuk sakit perut, cirit birit, meragam, sakit sendi dan muntah.
Walaupun seorang kanak-kanak tidak menunjukkan jumlah simptom yang mencukupi, Dr Nisa berkata mereka mungkin akan didiagnosis dengan Incomplete Kawasaki jika mengalami demam berpanjangan.
“Kadangkala bukan semua tanda muncul. Sebab itu doktor kena ada curiga tinggi kalau demam berpanjangan dan anak nampak sangat tidak sihat,” jelasnya.
Selain demam berpanjangan yang tidak sembuh dengan ubat-ubatan dan simptom lain, Dr Nisa juga mengingatkan ibu ayah agar membawa anak ke hospital jika mereka kelihatan sangat lembik, banyak meragam atau tidak mahu makan dan minum.
View on Threads
Risiko Penyakit Kawasaki Lebih Tinggi Dalam Kanak-Kanak Asia & Pasifik
Walaupun punca penyakit Kawasaki tidak benar-benar diketahui, namun Mayo Clinic menyenaraikan beberapa perkara yang meningkatkan risiko kanak-kanak menghidapnya iaitu:
- Kanak-kanak bawah lima tahun mempunyai risiko tertinggi.
- Kanak-kanak lelaki lebih berkemungkinan menghidap penyakit Kawasaki.
- Kanak-kanak berketurunan Asia atau Kepulauan Pasifik mempunyai kadar penyakit Kawasaki lebih tinggi.
Malah, penyakit itu juga dikatakan lebih cenderung berlaku mengikut musim sebagai contoh pada musim sejuk dan awal musim bunga di Amerika Utara.
Penyakit Kawasaki Boleh Sebabkan Aneurisme & Kematian Jika Tidak Dirawat
Seperti yang dinyatakan oleh Dr Nisa, penyakit Kawasaki boleh menyebabkan masalah jantung jika tidak dirawat dengan segera.
Menurut Mayo Clinic, ia merupakan penyebab nombor satu penyakit jantung kanak-kanak di negara-negara membangun. Namun rawatan yang dilakukan dapat mengurangkan kerosakan yang berkekalan.
Antara komplikasi jantung yang boleh terjadi akibat penyakit Kawasaki termasuk:
- Salur darah bengkak, terutamanya pada arteri yang menghantar darah kepada jantung.
- Otot jantung bengkak.
- Masalah injap jantung.
Malah, salur darah yang bengkak boleh menyebabkan aneurisme, iaitu pengembangan pada dinding arteri. Keadaan ini akan meningkatkan risiko darah beku, seterusnya boleh mengakibatkan serangan jantung atau pendarahan dalaman.
Dalam keadaan serius, penyakit Kawasaki boleh menyebabkan kematian kanak-kanak yang mengalami masalah pada arteri jantung.
Rawatan Awal Penyakit Kawasaki Dapat Kurangkan Risiko Masalah Jantung
Sekiranya ada simptom yang berkaitan, bagaimana pula doktor mengenal pasti penyakit Kawasaki itu?
Mayo Clinic menerangkan bahawa tiada satu ujian untuk mendiagnosis penyakit Kawasaki, sebaliknya ia dikenal pasti dengan mengetepikan penyakit lain dengan simptom sama, antaranya:
- Demam Scarlet
- Artritis reumatoid juvenil
- Sindrom Stevens-Johnson – masalah membran mukus
- Sindrom kejutan toksik (TSS)
- Campak
- Penyakit yang disebabkan oleh kutu seperti demam bintik Rocky Mountain
Selain itu, ujian darah boleh dilakukan bagi mengenal pasti tanda penyakit Kawasaki iaitu kiraan sel darah putih tinggi, anemia dan keradangan.
Electrocardiogram (ECG) dan echocardiogram juga akan dijalankan bagi mengesan degupan jantung tidak sekata dan pengaliran darah yang menunjukkan masalah pada jantung.
Dr Nisa menjelaskan antara rawatan yang akan diberikan pada kanak-kanak yang mengalami penyakit Kawasaki termasuk pemberian immunoglobulin intravena (IVIG) bagi demam kurang 10 hari.
Selain itu, aspirin diberi bagi mengurangkan keradangan saluran darah. Dr Nisa menegaskan bahawa rawatan awal dapat mengurangkan risiko aneurisme arteri koronari.
“Penyakit Kawasaki memang jarang, tetapi kesedaran boleh bantu selamatkan nyawa.
“Bukan semua demam berpanjangan ialah penyakit Kawasaki. Tetapi jika rasa tak sedap hati, percaya dengan rasa itu dan bawa anak untuk pemeriksaan. Pengesanan awal dapat menyelamatkan jantung,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Situasi Apa Yang Perlu Rujuk Ke Unit Kecemasan Hospital? Ini Panduan Buat Anda
Baca Artikel Berkaitan: Kalau Dah Sihat, Perlu Ke Habiskan Antibiotik? Ini Jawapannya
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Demam Masih Tak Kebah? Ini 5 Minuman Terbaik Anda Boleh Cuba
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



