Suka Minum Kopi? Doktor Dedah Boleh Tingkatkan Risiko Osteoporosis Pada Wanita
Dr Aen Ramli menjelaskan bahawa pengambilan 100mg kafein boleh menyebabkan seseorang kehilangan sekitar 6mg kalsium.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kopi merupakan salah satu minuman pilihan orang ramai yang diambil setiap hari. Sesetengah orang tidak akan lengkap paginya tanpa kopi!
Dengan jumlah kafeinnya yang tinggi, minuman itu diambil untuk menghilangkan rasa mengantuk dan memberi tenaga di waktu pagi.
Namun ada juga yang mengambil kopi terlalu banyak sehingga boleh mendatangkan kesan buruk kepada tubuh badan.
Baca Artikel Berkaitan: Dinobatkan Sebagai Kopi Ke-10 Terbaik Di Dunia, Ini 6 Tempat Untuk Cuba ‘Ipoh White Coffee’
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Kopi Lokal Yang Anda Patut Cuba. Mesti Sedap Punya!
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Minuman Untuk Ganti Kopi Anda Boleh Ambil Setiap Pagi. Terus Terbeliak Mata!
Wanita Gemar Minum Kopi Berisiko Alami Osteoporosis
Doktor perubatan, Dr Aen Ramli, menjelaskan bahawa wanita yang gemar minum kopi berisiko tinggi mengalami osteoporosis.
Osteoporosis adalah keadaan di mana tulang menjadi lemah dan rapuh, yang selalunya lebih kerap terjadi dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
Menurut Cleveland Clinic, osteoporosis biasa berlaku pada individu berumur lebih 50 tahun. Pakar menganggar separuh daripada semua wanita dan 1 per 4 daripada lelaki berusia lebih 50, mempunyai osteoporosis.

Kajian juga mendapati bahawa 1 per 3 individu berusia lebih 50 tahun yang tiada masalah osteoporosis masih berdepan kekurangan kemampatan tulang yang digelar sebagai osteopenia, dan boleh menjadi osteoporosis jika tidak dirawat.
Dr Aen menjelaskan bahawa kopi yang diambil secara berlebihan boleh menyebabkan tubuh badan menyingkirkan kalsium melalui air kencing dengan lebih cepat.
Katanya lagi, seseorang akan kehilangan sekitar 6mg kalsium dengan pengambilan 100mg kafein yang terkandung dalam kira-kira secawan kopi.

Ambil Kalsium Untuk Kurangkan Risiko Osteoporosis Jika Gemar Minum Kopi
Namun, ini bukanlah bermakna wanita tidak boleh mengambil kopi sama sekali bagi mengelakkan risiko osteoporosis.
Memandangkan kafein dikatakan boleh menyebabkan kehilangan kalsium, Dr Aen memberi saranan kepada kaum hawa yang gemar minum kopi agar menambah pengambilan kalsium dalam diet seharian.
“Contohnya minum susu secukupnya, atau tambahkan calcium supplementation,” katanya.
Dia juga menerangkan bahawa wanita berusia 50 tahun ke bawah perlu mengambil kalsium sebanyak 1,000mg setiap hari. Pun begitu, kebanyakan wanita gagal mendapatkan jumlah kalsium walaupun separuh daripada jumlah pengambilan harian yang disarankan.
@draenbebel Break The Taboo 18: Additional take on coffee fans. Ingat eh, jangan semua benda nak fragile. Marilah kita cukupkan kalsium kita 🤣 #draenbebel #coffeedrinker #calcium #breakthetaboo #osteoporosis ♬ original sound – Dr Aen | Let’s Bebel
Tonton video penuh [DI SINI].
Tiada Bukti Kafein Berbahaya Buat Mereka Yang Ambil Kalsium Harian Mencukupi
Perkara ini turut dijelaskan dalam kajian yang diterbitkan dalam PubMed Central, iaitu kesan negatif kafein terhadap penyerapan kalsium dapat diimbangkan dengan penambahan 1-2 sudu besar susu lembu (susu dairy).
Tambah kajian itu lagi, pemerhatian yang mendapati pengambilan minuman mengandungi kopi sebagai faktor risiko osteoporosis dilakukan pada populasi yang mengambil kalsium kurang daripada jumlah optimum.
“Tiada bukti bahawa kafein mempunyai kesan berbahaya terhadap status tulang atau ekonomi kalsium dalam individu yang mengambil jumlah harian kalsium yang disarankan,” jelasnya.

Vitamin D Bantu Badan Serap Kalsium Lebih Cekap
Di samping itu, pengambilan vitamin D yang secukupnya juga penting bagi mengurangkan risiko osteoporosis apabila tubuh badan lebih cekap menyerap kalsium.
Menurut kajian, tubuh badan hanya akan menyerap sekitar 10% ke 15% jumlah kalsium harian tanpa vitamin D yang mencukupi.
Sebaliknya dengan vitamin D yang cukup, penyerapan kalsium dalam usus meningkat ke 30% hingga 40%.
Selalunya Osteoporosis Hanya Dikenal Pasti Setelah Alami Tulang Patah
Osteoporosis sering digelar sebagai penyakit senyap, tetapi mereka dengan masalah ini lebih berkemungkinan berdepan tulang retak atau patah.
Oleh itu, kebanyakan pesakit hanya menyedari mengalami osteoporosis selepas tulang patah. Antara bahagian yang senang patah ialah pinggul, pergelangan tangan dan tulang belakang.
Walaupun begitu, seseorang mungkin dapat memerhatikan perubahan pada badan yang menunjukkan tulangnya menjadi kurang kuat atau kurang mampat. Antaranya:
- Tinggi kurang sekitar satu inci atau lebih.
- Perubahan pada postur semula jadi badan.
- Sesak nafas, apabila disk pada tulang belakang termampat sehingga mengurangkan kapasiti paru-paru.
- Sakit belakang bahagian bawah.
Osteoporosis juga lebih kerap dialami oleh individu tertentu, termasuk:
- Sesiapa berumur 50 tahun ke atas.
- Wanita lebih-lebih lagi setelah menopaus.
- Mereka dengan sejarah keluarga.
- Individu yang kurus atau mempunyai rangka badan kecil.
- Individu yang mengambil produk tembakau.
- Mereka yang tidak mendapatkan kalsium dan vitamin D harian secukupnya.
- Tidak menjalankan senaman fizikal secukupnya.
- Pengambilan alkohol berlebihan.
Baca Artikel Berkaitan: Kaki Kopi & Teh Stres Gigi Kuning? Ini Cara Untuk Kurangkan Kesan Buruk Kepada Gigi Anda
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Matcha Ada Bahan Yang Boleh Elak Penyerapan Zat Besi?
Baca Artikel Berkaitan: Ini 3 Minuman Yang Perlu Dielakkan Untuk Pesakit GERD, Bimbang Simptom Makin Teruk
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.