Now Reading
Ini Simptom Slipped Disc Yang Mungkin Ramai Tak Tahu, Bukan Sakit Belakang Je!

Ini Simptom Slipped Disc Yang Mungkin Ramai Tak Tahu, Bukan Sakit Belakang Je!

Slipped disc terjadi apabila nukleus di dalam disc tulang belakang menolak keluar menerusi lapisan luarnya yang dikenali sebagai annulus.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bila dah agak berumur, salah satu masalah yang orang ramai selalu hadapi mestilah sakit belakang. Kadangkala nak berdiri lama pun tak boleh sebab rasa sakit yang kuat.

Dalam sesetengah kes, sakit belakang yang berpanjangan dan kuat boleh menjadi simptom kepada slipped disc.

Tapi kena ingat, simptom slipped disc bukan sakit belakang sahaja, tetapi ada banyak gejala lain yang mungkin ramai anggap remeh.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Bahaya Yang Menanti Jika Anda Duduk Terlalu Lama Tanpa Sedar!

Slipped Disc Banyak Terjadi Pada Bahagian Bawah Tulang Belakang

Slipped disc atau dikenali sebagai herniated disc merupakan masalah yang membabitkan salah satu kusyen (disc) yang terletak di antara vertebrae tulang belakang.

Disc di antara vertebrae ini penting untuk melindungi tulang belakang dengan menyerap tekanan daripada aktiviti harian seperti berjalan dan mengangkat barang.

Slipped disc terjadi apabila nukleus di dalam disc tulang belakang menolak keluar menerusi lapisan luarnya yang dikenali sebagai annulus.

Keadaan ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian tulang belakang yang merangkumi cervical, thoracic, lumbar, sacral dan coccyx. Kebanyakannya berlaku pada bahagian bawah iaitu lumbar.

Berdasarkan artikel Mayo Clinic, rata-rata pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom slipped disc dan pembedahan tidak diperlukan untuk menghilangkan masalah itu.

Sumber gambar: Pexels

Kebas Pada Bahagian Tubuh Badan Salah Satu Simptom Slipped Disc

Mungkin ramai yang berpendapat masalah slipped disc akan menyebabkan seseorang terasa sakit belakang sahaja.

Namun menurut Public Health Malaysia, ia boleh menyamar sebagai gejala kecil yang kelihatan remeh dan mungkin anda terlepas pandang.

Salah satunya adalah terasa kebas pada jari kaki atau tapak kaki. Bila rasa macam ni, mesti ada yang ingat sebab tekanan darah rendah ataupun angin.

Sebenarnya rasa kebas ini disebabkan oleh saraf yang terhimpit, terutamanya pada bahagian bawah tulang belakang yang berperanan dalam mengawal pergerakan kaki.

Perkara ini juga boleh menyebabkan sebelah kaki terasa berat seolah-olah tidak berupaya tanpa rasa sakit ketara.

Diingatkan bahawa rasa kebas dan lemah ini boleh terjadi pada mana-mana anggota tubuh badan bergantung pada bahagian tulang belakang yang terkesan. Sebagai contoh, slipped disc pada leher boleh sebabkan tangan rasa kebas.

Bagi mereka yang mempunyai slipped disc, bersin atau batuk kuat boleh menyebabkan rasa sakit mencucuk akibat tekanan yang menghimpit saraf tulang belakang.

Sumber gambar: Pexels

Selain itu macam yang ramai tahu, slipped disk semestinya akan menyebabkan rasa sakit belakang. Kebiasaannya, sakit belakang ini datang dan pergi bergantung kepada posisi badan.

Sebagai contoh, belakang mungkin terasa sakit jika duduk terlalu lama dan hilang apabila berbaring.

Disebabkan slipped disk menjadikan saraf tertentu terhimpit, kawalan pundi kencing seseorang juga boleh terjejas menyebabkan sukar untuk mengawalnya, malah sehingga terbuang air kecil secara tidak sengaja.

Gaya Hidup Sedentari Tingkatkan Risiko Slipped Disc

Masalah slipped disc bukan berlaku hanya apabila seseorang tidak menjaga kesihatan tulang belakangnya.

Dalam kebanyakan kes, slipped disc terjadi disebabkan oleh ‘wear and tear’ apabila seseorang semakin berusia dan disc menjadi kurang fleksibel serta mudah terkoyak walaupun dengan tekanan kecil.

Dalam masa sama, slipped disc boleh berlaku apabila otot belakang tidak digunakan dengan betul, sebagai contoh apabila memusingkan badan ketika mengangkat barang yang berat.

Malah, kemalangan trauma seperti terjatuh atau dipukul di belakang juga boleh menyebabkan masalah ini.

Sesetengah individu juga mempunyai risiko slipped disc yang lebih tinggi iaitu:

  • Berat badan berlebihan.
  • Pekerjaan yang memerlukan mereka mengangkat barang sentiasa.
  • Genetik.
  • Merokok.
  • Kerap memandu kenderaan dalam jangka masa panjang.
  • Mengamalkan gaya hidup senditari atau tidak aktif.
Sumber gambar: Pexels

Slipped Disc Dirawat Menerusi Senaman, Pembedahan Dalam Kes Serius

Jika anda mempunyai simptom dan risiko seperti di atas, segera berjumpa dengan doktor di klinik atau hospital berhampiran.

Menurut Healthline, doktor pada mulanya akan melakukan pemeriksaan fizikal untuk mencari punca kesakitan dalam mendiagnosis masalah slipped disc.

Kemudian imbasan sinar X, CT atau MRI akan dijalankan untuk melihat kawasan yang terjejas pada tulang belakang.

Sekiranya seseorang didapati mengalami slipped disc, rawatan akan dimulakan menerusi senaman bagi menguatkan belakang dan mengurangkan sakit.

Ubat-ubatan juga boleh diambil bagi mengurangkan rasa sakit yang dialami termasuk ubat tahan sakit, pengendur otot (muscle relaxers) serta ubat bagi sakit saraf seperti gabapentin dan duloxetine.

Namun jika simptom tidak berkurangan dalam masa enam minggu atau menjejaskan fungsi otot, pembedahan mungkin dijalankan bagi membuang bahagian disc yang terkeluar atau menggantikannya sama sekali dengan disc buatan.

Sumber gambar: Pexels

Baca Artikel Berkaitan: Ini Punca Golongan Muda Diserang Slipped Disc

Baca Artikel Berkaitan: Bersenam Waktu Malam, Bahaya Atau Tidak Untuk Kesihatan?

Baca Artikel Berkaitan: Berbeza Dengan Joging, Ini Kebaikan ‘Brisk Walk’


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd