Now Reading
Ini Faktor Risiko Kanser Ovari, Jalankan Pemeriksaan Segera Jika Ada Salah Satu Simptom

Ini Faktor Risiko Kanser Ovari, Jalankan Pemeriksaan Segera Jika Ada Salah Satu Simptom

Menurut Klinik Camelia, risiko mengalami kanser ovari lebih tinggi dalam kalangan wanita berumur yang telah menopaus.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kesihatan diri merupakan tonggak yang penting dalam memastikan kualiti hidup tinggi dan bebas dari pelbagai penyakit berbahaya.

Akan tetapi, walaupun dengan pelbagai usaha demi menjamin kesihatan diri, manusia masih mempunyai risiko menghidapi penyakit.

Salah satunya adalah masalah kanser yang seringkali dikaitkan dengan faktor genetik yang mengubah sel normal menjadi sel kanser.

Bagi para hawa, antara kanser yang berisiko dihadapi termasuklah kanser payudara, kanser ovari dan kanser serviks.

Baca Artikel Berkaitan: “Benjolan Pada Payudara Tak Semestinya Kanser” – Pakar

Baca Artikel Berkaitan: 60% Wanita Di Malaysia Tidak Pernah Jalani Pap Smear Bagi Saringan Kanser Serviks – NHMS 2019

Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Cara Cegah Kanser Usus Besar, Antara Barah Tertinggi Di Malaysia

Terdapat 3 Jenis Utama Kanser Ovari, Epitelium Yang Paling Kerap

Pasti ramai yang tahu tentang kanser payudara dan kanser serviks, tetapi bagaimana pula dengan kanser ovari? Hantaran oleh Klinik Camelia di TikTok menjelaskan tentang salah satu kanser yang berlaku pada organ pembiakan ini.

Kanser ovari boleh dibahagikan kepada tiga jenis utama dengan kanser ovari epitelium yang paling kerap berlaku dengan kanser wujud dari dalam sel yang menutup bahagian luar ovari.

Tumor sel kuman pula terhasil daripada sel yang menghasilkan telur dan lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita muda serta kanak-kanak perempuan.

Akhirnya adalah tumor sel stromal yang lebih jarang dan timbul daripada stroma ovari iaitu tisu sokongan yang sering menghasilkan hormon.

Ovari adalah bahagian pada sistem pembiakan wanita yang menghasilkan telur (ovum). (Sumber: ScienceDirect)

Simptom Kanser Ovari Termasuk Kurang Selera Makan & Sakit Pada Perut

Jadi, bagaimana nak tahu jika anda mungkin mengalami kanser ovari? Kewujudan kanser ovari boleh dikenal pasti menerusi simptom-simptom tertentu iaitu:

  • Rasa kembung atau perut bengkak berpanjangan.
  • Kurang selera makan dan cepat kenyang setelah makan.
  • Rasa sakit atau tidak selesa pada bahagian perut atau pelvis.
  • Lebih kerap kencing dan sukar untuk menahannya.

Diingatkan bahawa simptom terbabit boleh menjadi masalah kesihatan normal dan tidak semestinya berkait dengan kanser ovari.

Namun dalam kes kanser ovari, simptom tersebut kerap berlaku dan dialami lebih 12 kali dalam tempoh masa sebulan.

Simptom kanser ovari juga berlarutan dan berkekalan, serta bukan sesuatu yang biasa dialami oleh seseorang itu.

Sumber: Klinik Camelia

Wanita Berumur Yang Sudah Menopaus Lebih Tinggi Risiko Kanser Ovari

Di samping itu, Klinik Camelia turut berkongsi faktor risiko bagi kanser ovari yang kebiasaannya lebih tinggi dalam kalangan wanita berumur, terutamanya setelah menopaus.

Lain-lain faktor risiko termasuk:

  • Disebabkan oleh sejarah keluarga seperti kanser payudara dan kanser kolon.
  • Penggunaan terapi penggantian hormon (HRT) estrogen secara berpanjangan selepas menopaus.
  • Mutasi genetik pada BRCA1 dan BRCA2 yang penting dalam pemulihan DNA.
  • Wanita yang tidak pernah hamil atau mempunyai anak.
  • Wanita yang tidak pernah menggunakan perancang kehamilan.
  • Wanita yang kedatangan haid awal, menopaus lambat, dan sukar untuk hamil.
  • Wanita yang mengalami masalah endometriosis.
  • Gaya hidup tidak sihat termasuk obesiti, merokok dan tidak cergas.
Kekalkan gaya hidup sihat sebagai usaha kurangkan risiko kanser ovari. (Sumber gambar: Pexels)

Selain itu, terdapat juga kajian dijalankan yang mendapati risiko kanser ovari meningkat dalam kalangan wanita yang gemar makanan berlemak, digoreng, diawet dan disalai.

Malah, beberapa kajian mencadangkan pengambilan kopi dan telur yang lebih banyak mungkin mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko kanser ovari.

Satu kajian lain pula menemui hubung kait antara pengambilan kopi tanpa kafein dengan risiko kanser ovari yang berkurangan.

Segara Dapatkan Pemeriksaan Jika Alami Walau Salah Satu Simptom

Dalam pada itu, Klinik Camelia menggesa wanita yang mengalami mana-mana simptom tersebut agar melakukan pemeriksaan.

Walaupun sembilan daripada 10 pemeriksaan yang dilakukan mendapati simptom itu bukanlah disebabkan oleh kanser ovari, tetapi lebih baik untuk mengetahui dengan awal sekiranya kanser benar-benar wujud.

Sama seperti kanser lain, kanser ovari yang disahkan akan dirawat menerusi beberapa kaedah iaitu:

  • Pembedahan bagi membuang ketumbuhan kanser.
  • Kemoterapi untuk membunuh sel yang membiak dengan cepat.
  • Terapi radiasi bagi membunuh sel menggunakan sinaran berkuasa tinggi.
Sumber gambar: Pexels

Pesakit Kanser Ovari Perlu Elak Makanan Tertentu

Bagi mereka yang mempunyai kanser ovari, laman web Healthline telah menyenaraikan beberapa makanan yang harus dielakkan.

Daging diawet atau diproses seperti sosej sering mengandungi bahan yang dapat dikaitkan dengan risiko tinggi kanser, manakala gula dalam makanan dan minuman manis pula dapat mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi pertumbuhan sel kanser.

Lemak trans dan makanan bergoreng pula boleh menimbulkan keradangan yang menyumbang kepada tekanan oksidatif, seterusnya menyebabkan kerosakan sel.

Ikan dan kerang mentah juga perlu dielakkan ketika menjalani proses terapi kanser memandangkan sistem imun tubuh badan mungkin sedang dalam keadaan terjejas dan lemah.

Baca Artikel Berkaitan: Isteri Hidap Kanser, Lelaki Ini Kongsi Makanan & Diet Terbaik Buat Para Pesakit

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Doktor Kesihatan Dakwa Bahaya Makan Kubis Goreng Hangus, Ada Risiko Dapat Penyakit Kanser

Baca Artikel Berkaitan: Meninggal Dunia Sebab Kanser Dikira Mati Syahid Ke? Ini Penjelasan UAI


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd