[Video] Ini Langkah Yang Perlu Diambil Jika Gigi Tercabut, Jangan Berlengah!
Gigi yang tercabut boleh diimplantasi semula jika pesakit mengikut langkah-langkah yang dijelaskan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kesihatan gigi merupakan salah satu aspek yang penting dalam penjagaan diri. Manakan tidak, jika tidak dijaga dengan betul, gigi boleh memburuk dan rosak seterusnya perlu dibuang.
Namun kadangkala berlakunya perkara di luar jangkaan seperti terjatuh atau kemalangan yang boleh menyebabkan gigi tercabut keluar daripada gusi.
Dalam keadaan sedemikian, kaedah rawatan boleh dijalankan untuk menyambung semula gigi yang tercabut itu, tetapi pesakit perlulah mengambil langkah awal terlebih dahulu.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Doktor Ini Kongsi Kuantiti Ubat Gigi Perlu Diambil Setiap Individu
Baca Artikel Berkaitan: [Tips] Ini 3 Waktu Yang Perlu Anda Elak Untuk Gosok Gigi
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Doktor Ini Perjelas Sebab Gigi Manusia Ada Yang Bergerigi. Take Note!
Doktor Jelaskan Apa Perlu Dilakukan Jika Gigi Tercabut
Perkara ini telah dijelaskan oleh doktor gigi, Dr Habib, menerusi akaun TikTok (@tomato_012) baru-baru ini. Menurutnya, gigi yang tercabut boleh dimasukkan semula ke tempat asalnya dan akan mengelakkan pesakit daripada mengalami kerugian beribu ringgit.
Dia menegaskan dalam keadaan gigi tercabut, seseorang haruslah kekal bertenang dan mencari semula gigi terbabit.
Namun dia mengingatkan orang ramai agar memegang gigi pada bahagian kepalanya (crown) dan bukan akar (root) yang mempunyai sel-sel penting untuk penyembuhan.
Ini kerana tangan manusia kotor dan mempunyai pelbagai bakteria yang tidak dapat dilihat. Jika gigi yang diambil kotor, seperti terjatuh pada tanah dan sebagainya, basuh terlebih dahulu dengan air.

Masukkan Gigi Yang Tercabut Ke Dalam Soket & Segera Ke Klinik Gigi
Kemudian segera masukkan gigi yang bersih ke dalam soket asalnya dan gigit kain bagi mengelakkan gigi tersebut jatuh semula.
Namun bukan setakat itu sahaja ya. Pesakit perlulah bergegas ke klinik gigi bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Antara rawatan yang mungkin dilakukan oleh doktor gigi adalah termasuk memberi bius, menjahit gusi, melakukan imbasan sinar X untuk memastikan kedudukan gigi yang betul serta memberi ubat seperti antibiotik dan tetanus.
Pesakit juga akan diminta hadir ke temu janji susulan untuk melakukan rawatan akar atau sebagainya.
Dr Habib berkata langkah ini dapat mengelakkan mereka yang keguguran gigi menjadi rongak atau perlu mengganti dengan gigi palsu yang memakan kos lebih tinggi.

Masukkan Gigi Ke Dalam Susu Jika Tidak Boleh Dimasukkan Ke Soket
Namun bagaimana pula dalam keadaan gigi terbabit tidak boleh dimasukkan semula kerana pesakit pengsan atau sebagainya? Dr Habib berkata di sinilah orang sekeliling termasuk ibu bapa, ahli keluarga dan rakan-rakan memainkan peranan yang penting.
Jelasnya, gigi yang tercabut tadi perlu diambil dengan cara yang sama di atas. Kemudian masukkan gigi tersebut ke dalam susu segar sejuk, air garam atau air liur sebelum dibawa ke klinik gigi dalam masa satu jam.
Menurut Cleveland Clinic, susu mengandungi bahan yang dapat membantu mengelakkan kerosakan pada ligamen periodontal supaya reimplantasi gigi lebih berjaya.
Selain itu, terdapat juga kit pemuliharaan gigi kecemasan yang boleh dibeli dari farmasi bagi mengekalkan kelembapan gigi sehingga dibawa ke klinik.
Dr Habib turut menjelaskan tempoh masa satu jam itu penting bagi menyelamatkan saraf gigi serta sel yang berada di sekeliling akar gigi.

Katanya gigi yang dibiarkan lebih lama di luar akan menjadi kering sekaligus menyebabkan saraf dan sel mati. Perkara ini boleh memberi kesan kepada rawatan yang dijalankan kemudian.
Namun dia berkata gigi tersebut boleh dibawa sahaja ke klinik gigi walaupun telah melepasi tempoh satu jam berkenaan.
Terdapat Situasi Gigi Yang Tercabut Tidak Boleh Dimasukkan Semula
Bagaimanapun Dr Habib menjelaskan terdapat situasi di mana gigi yang tercabut tidak boleh dimasukkan balik ke dalam soket iaitu:
- Gigi susu tidak boleh dimasukkan balik kerana risau berlakunya jangkitan kuman. Malah ia boleh mengganggu pertumbuhan gigi kekal.
- Gigi yang telah teruk berlubang sehingga hampir hancur.
- Penyakit gusi yang teruk.
- Lain-lain kecederaan yang lebih serius seperti dalam kes kemalangan.
- Mereka yang kurang sihat seperti mempunyai sistem imun yang tidak berfungsi dengan baik atau masalah jantung.
Oleh itu seseorang perlu memastikan mereka tidak mengalami sebarang situasi ini sebelum cuba memasukkan kembali gigi yang tercabut.
@tomato_012 Jgn lupe cube di rumah yee #dentist #dentalstudent #ubatgigi #floss #cavity #whitening
♬ Garam & Madu (Sakit Dadaku) – Tenxi & Jemsii & Naykilla
Tonton video penuh [DI SINI].
Rawatan Gigi Secara Amnya Tidak Membatalkan Puasa
Bersempena dengan bulan Ramadan ini, pasti timbul persoalan dalam kalangan umat Islam sama ada rawatan gigi akan membatalkan puasa.
Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelaskan bahawa rawatan pergigian boleh dilakukan walaupun seseorang itu sedang berpuasa.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menerangkan bahawa kaedah menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi tidak akan membatalkan puasa dengan syarat tiada apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
Antara jenis rawatan gigi yang tidak membatalkan puasa adalah:
- Pemeriksaan gigi
- Pengambilan X-ray gigi
- Tampalan
- Scaling
- Suntikan bius & cabutan
- Membuat gigi palsu
- Whitening (pemutihan) gigi
Baca Artikel Berkaitan: Nak Scaling Gigi Di Bulan Ramadan Tapi Takut Batal Puasa? Ini Penjelasannya
Baca Artikel Berkaitan: Rawatan ‘Scaling’ Gigi Menerusi Janji Temu Di Aplikasi MySejahtera Harga RM3 Je! Biar Betul?
Baca Artikel Berkaitan:Â [Video] Doktor Gigi Pesan Pada Orang Ramai Untuk Jujur Sebelum Mula Prosedur. Ini Sebabnya
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads  dan Instagram.Â