Now Reading
“Benjolan Pada Payudara Tak Semestinya Kanser” – Pakar

“Benjolan Pada Payudara Tak Semestinya Kanser” – Pakar

Dr Shazril Imran Shaukat berkata pemeriksaan mendalam (triple assessment) perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada benjolan tersebut kanser ataupun bukan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kesihatan merupakan salah satu nikmat yang tidak seharusnya diambil mudah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah agak berusia.

Salah satu masalah kesihatan yang serius adalah kanser di mana ia boleh membawa maut sekiranya dikesan sudah lewat dan pada tahap tinggi.

Di Malaysia, kanser payudara merupakan kanser yang paling kerap berlaku. Salah satu simpton kanser tersebut adalah rasa benjolan atau ketulan pada bahagian payudara serta ketiak.


Bukan Semua Benjolan Simptom Kanser

Pakar Onkologi dan Radioterapi Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Shazril Imran Shaukat, walau bagaimanapun menerangkan bahawa majoriti benjolan di payudara bukanlah simptom penyakit kanser.

Pemeriksaan mendalam atau disebut ‘triple assessment’ perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada benjolan tersebut kanser ataupun bukan, jelasnya.

Tambahnya, kanser agak sukar dikenalpasti kerana boleh menyerupai penyakit lain yang kurang berbahaya. Oleh itu wajib untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengelakkan sebarang risiko.

Dr Shazril berkata perubahan yang dikesan pada diri seseorang tidak seharusnya diambil mudah. Orang ramai perlulah mendapatkan pemeriksaan kesihatan sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta yang mudah diakses di dalam negara.

Sumber gambar: Unsplash

Majoriti Pesakit Kanser Di Malaysia Dikesan Di Tahap 3

Umum sedia maklum bahawa kebanyakan kanser mempunyai empat tahap berdasarkan kepada tahap keseriusannya.

Namun Pakar Bedah Am (Payudara dan Endokrin) Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Norhashimah Khadir berkata kebanyakan kanser di Malaysia dikesan apabila sudah berada di tahap tiga.

Jika dibandingkan dengan Singapura, kebiasaannya pesakit dengan kanser dikesan pada tahap satu atau dua.

“Tahap kesedaran rakyat kita masih rendah. Kalau tahap satu kadar penyembuhan adalah hingga 90%, tahap dua 70%, tahap tiga 50% dan tahap empat hampir kosong,” katanya dipetik Awani.


Mamogram Sakit Sedikit, Tapi Tidak Sampai Lebam

Tambah Dr Norhashimah, ujian mamogram penting bagi mengesan kanser payudara dengan lebih awal. Namun katanya ramai yang menganggap ia menyakitkan dan teragak-agak untuk melalui prosedur tersebut.

“Mamogram ni bagus kerana walaupun ketulan belum ada, ia sudah boleh kesan ciri-ciri awal kanser. Memang sakit sedikit bila payudara dikepit, tapi tak ada lebam atau perlu makan ubat selepas tu,” katanya.

Dia berkata ujian mamogram amat digalakkan bagi individu yang berusia 40 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai risiko kanser.

Ini bertujuan untuk memulakan proses rawatan segara sekiranya mereka disahkan menghidap kanser payudara.

Sumber gambar: Unsplash

Rawatan Paliatif Tingkatkan Kualiti Hidup Pesakit Kanser

Di samping itu, Pakar Perubatan Paliatif Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Dr Fazlina Ahmad, menjelaskan bahawa terdapat cara untuk ‘mengubah suai’ kekuatan dalaman pesakit kanser agar mereka dapat menjalani hidup dengan lebih bermakna.

Katanya, rawatan paliatif dapat memberi keselesaan dan kualiti kehidupan terbaik yang dapat membantu pesakit kanser untuk hidup seperti biasa.

“Rawatan paliatif sangat penting dan kita akan bantu dari segi pengurusan emosi, kenal pasti gejala kemurungan dan bantu pesakit dari segi sosial serta menangani isu kerohanian.”

“Tujuan rawatan paliatif adalah keluarkan pesakit daripada kepompong agar mereka hidup dengan lebih bermakna walau apa juga tahap kanser dihidapi. Sebut paliatif, ramai takut tapi sebenarnya ada pesakit kita yang bertahan kerana kita bantu mereka untuk kembali berdiri atas kaki mereka sendiri,” katanya.


Teknik Pemeriksaan Payudara

Menurut Hospital Pantai, teknik pemeriksaan sendiri payudara (BSE) boleh dilakukan bagi mengesan simptom kanser payudara termasuk benjolan dan perubahan lain iaitu:

  • Perubahan bentuk atau saiz payudara.
  • Kedudukan puting kelihatan berbeza seperti terbenam.
  • Ruam seperti ekzema, kegatalan, kemerahan atau kulit bersisik pada atau sekitar puting.
  • Sakit atau ketidakselesaan pada satu payudara yang tidak hilang.
  • Perubahan dalam tekstur atau rupa kulit pada payudara.
  • Kemunculan tiba-tiba benjolan, benjolan, bengkak dan penebalan pada salah satu payudara.
  • Lelehan daripada puting.
Sumber gambar: Hospital Pantai

Terdapat tiga teknik yang boleh digunakan untuk melakukan BSE iaitu secara visual, berdiri ataupun baring.

Visual

  1. Berdiri di hadapan cermin dengan tangan di sisi dan tanpa berbaju.
  2. Lihat payudara di cermin dan perhatikan saiz, bentuk, warna dan simetrinya.
  3. Angkat tangan anda di atas kepala anda. 
  4. Cari bengkak, lekuk atau perubahan pada garis luar kulit.
  5. Periksa puting untuk perubahan kedudukan, bentuk atau sebarang lelehan.

Berdiri

  1. Gunakan tangan kanan semasa memeriksa payudara kiri dan sebaliknya (tangan kiri, payudara kanan). Periksa sebelah payudara pada satu masa.
  2. Gunakan tiga jari tengah dan tekan ke bawah pada seluruh payudara anda dengan tekanan ringan, sederhana dan kuat.
  3. Lakukan dalam corak bulat atau segi tiga.
  4. Mulakan di tepi luar, bergerak ke arah puting sehingga meliputi seluruh payudara.
  5. Rasakan sebarang bintik tebal, ketulan atau perubahan luar biasa lain.
  6. Picit perlahan setiap puting untuk memeriksa sebarang lelehan luar biasa.
  7. Rasakan sebarang ketulan pada ketiak anda. 
  8. Ulangi langkah ini untuk payudara sebelah lagi.

Baring

  1. Letakkan bantal di bawah bahu kanan semasa berbaring.
  2. Letakkan lengan kanan anda di belakang kepala.
  3. Tekan ke bawah di seluruh payudara kanan anda menggunakan jari anda (tangan kiri).
  4. Rasakan sebarang perubahan seperti ketulan, benjolan atau bengkak.
  5. Picit perlahan setiap puting untuk memeriksa sebarang lelehan luar biasa.
  6. Rasakan sebarang ketulan pada ketiak anda.
  7. Tukar bantal ke sebelah kiri dan ulangi langkah di atas.

Ingat ya, lelaki juga boleh mengalami kanser payudara tetapi ia adalah amat jarang.

Baca Artikel Berkaitan: Meninggal Dunia Sebab Kanser Dikira Mati Syahid Ke? Ini Penjelasan UAI

Baca Artikel Berkaitan: Isteri Hidap Kanser, Lelaki Ini Kongsi Makanan & Diet Terbaik Buat Para Pesakit

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Ini Diceraikan Suami Kerana Buang Sebelah Payudara Akibat Kanser Tahap 4


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd