[Video] Doktor Ini Jelaskan Beberapa Keadaan Yang Membolehkan Kandungan Digugurkan
Antara situasi yang membolehkan kandungan untuk digugurkan adalah masalah kesihatan ibu menjadi lebih teruk ketika hamil.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kehamilan semestinya merupakan suatu berita amat menggembirakan buat pasangan suami isteri yang menanti-nantikan perkara itu.
Namun kadangkala, dalam kegembiraan ada pula kesedihan apabila kandungan tidak dapat diteruskan disebabkan oleh masalah-masalah tertentu.
Kandungan sedemikian akan dicadangkan agar digugurkan oleh pakar kesihatan, lebih-lebih lagi jika ia dapat memudaratkan nyawa ibu.
Pengguguran Bukan Atas Permintaan Ibu, Tetapi Saranan Doktor
Menjawab tentang isu pengguguran, doktor kesihatan Dr Alpha Zaki, menjelaskan bahawa prosedur tersebut ada dijalankan di hospital kerajaan.
Namun ia hanya boleh dilakukan bergantung kepada indikasi tertentu dan berlandaskan Majlis Fatwa Kebangsaan. Tambahnya, prosedur tersebut tidak dilakukan atas dasar permintaan daripada ibu hamil, tetapi mengikut saranan pengamal perubatan.
Menurut Dr Alpha, prosedur pengguguran memerlukan persetujuan (consent) daripada ibu hamil itu sendiri.
Namun bagi pasangan Muslim, persetujuan daripada suami juga diperlukan memandangkan Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan suami mempunyai hak ke atas kandungan sebagai nasabnya.

Keguguran Dicadangkan Bagi Menyelamatkan Nyawa Ibu
Dr Alpha menegaskan bahawa sesetengah kehamilan terpaksa digugurkan demi menyelamatkan nyawa ibu. Ia mungkin disebabkan oleh penyakit atau kesakitan seperti Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau masalah buah pinggang yang menjadi lebih teruk ketika dalam fasa kehamilan.
Di samping itu, prosedur pengguguran juga mungkin dicadangkan sekiranya ibu mengalami eclampsia, iaitu sawan ketika hamil.
Malah, pengguguran mungkin dicadangkan sekiranya terdapat kecacatan pada bayi seperti otak, jantung dan paru-paru yang akan menyebabkannya tidak dapat hidup jika dilahirkan.
Perkara ini dikenal pasti menerusi imbasan di klinik serta kajian genetik menggunakan sampel air ketuban. Apabila diagnosis selesai dilakukan, ibu akan diberi pilihan untuk menggugurkan kandungan tersebut atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Dr Alpha berkata terdapat juga ibu yang memilih untuk meneruskan kehamilannya sehingga bayi dilahirkan. Namun jika ia mendatangkan bahaya pada ibu, doktor akan mencadangkan agar kandungan digugurkan secepat mungkin.
Pengguguran Adalah Kesalahan Jenayah
Dari segi undang-undang pula, pengamal perundangan Tun Laila, menjelaskan pengguguran secara sendiri merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan sehingga tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi janin yang telah cukup sifatnya, dia berkata individu yang melakukan pengguguran tersebut boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Namun begitu, pengamal-pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 boleh menjalankan prosedur tersebut ke atas ibu hamil selagi mengikut undang-undang.
Gugur Kandungan Akibat Zina Diharamkan
Dr Alpha turut berkongsi tangkap layar undang-undang pengguguran bagi kehamilan pasangan luar nikah atau disebabkan oleh rogol.
Memetik risalah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor yang telah disemak oleh Mufti Selangor pada tahun 2010, adalah haram menggugurkan kandungan melebihi 120 hari melainkan ianya memudaratkan ibu.
Bagi kehamilan akibat dirogol, janin harus digugurkan sebelum berusia 120 hari sekiranya cacat dan berpenyakit teruk yang boleh membahayakan ibu.
Namun, terdapat syarat pengguguran janin iaitu wajib mendapatkan perakuan dua orang doktor pakar dan Muslim yang adil selain tiada alternatif lain. Selain itu, ianya juga perlulah mendapat persetujuan suami isteri.
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi Pengalaman Positif GBS Ketika Hamil, Ini Yang Ibu Perlu Tahu
Baca Artikel Berkaitan: Jangkitan Kuman Ketika Hamil Tingkatkan Risiko Anak Hidap Autisme – Pakar
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.