Now Reading
Apa Beza Stres & Burnout? Ini Fakta Yang Anda Perlu Tahu

Apa Beza Stres & Burnout? Ini Fakta Yang Anda Perlu Tahu

‘Burnout’ lebih berkait rapat dengan konteks pekerjaan manakala stres pula boleh berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap manusia tidak akan lari dengan perasaan stres yang mungkin berpunca dari pelbagai faktor antaranya masalah kewangan, hal rumahtangga, pekerjaan, keluarga dan lain-lain.

Jika stres yang dialami tidak dikawal dengan baik, ia boleh mengganggu fungsi fizikal dan mental seseorang serta meningkatkan risiko untuk sering sakit kepala, keguguran rambut yang teruk dan masalah penghadaman.

Apabila berada dalam situasi tertekan, ada sesetengah individu mengatakan mereka stres dan segelintir pula menganggap diri mereka sedang ‘burnout’.

Sama ke stres dan ‘burnout’?


Perbezaan Antara Stres & ‘Burnout’

Menerusi ciapan dimuat naik di laman X (@MedTweetMYHQ), kumpulan yang terdiri daripada pakar perubatan ini menerangkan tentang perbezaan antara stres dan ‘burnout’ yang mungkin ramai orang di luar sana masih keliru.

Stres adalah tindak balas psikologi dan fizikal terhadap tekanan yang dialami manakala ‘burnout’ pula keletihan fizikal, emosi dan mental yang disebabkan oleh tekanan berterusan khususnya di tempat kerja.

Selain itu, stres bersifat jangka pendek apabila berdepan situasi tertentu. Namun, ia juga boleh bersifat jangka panjang disebabkan oleh faktor tekanan kronik.

Manakala ‘burnout’ pula lebih berkait rapat dengan tekanan yang bersifat profesional dan ia hanya boleh digunakan dalam konteks pekerjaan, berbeza dengan stres yang boleh berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan.

Tanda-tanda Stres Dan ‘Burnout’

Sumber: Pexels

Mungkin tanpa sedar, anda sebenarnya sedang mengalami stres atau ‘burnout’ tetapi tidak perasan bahawa ia sedang berlaku terhadap tubuh badan.

Jom ketahui antara petanda seseorang sedang stres dan ‘burnout’.

Tanda-tanda stres:

  • Jantung berdegup laju
  • Sakit bahagian dada
  • Sakit pada bahagian tulang belakang dan leher
  • Cepat marah
  • Mudah lupa
  • Badan terasa lesu
  • Nafas tercungap-cungap

Tanda-tanda ‘burnout’

  • Kurang bangga dengan kerja yang dilakukan
  • Sukar untuk memberi tumpuan semasa sedang bekerja
  • Tiada matlamat
  • Rasa hilang tenaga dan semangat untuk bekerja
  • Mudah berasa jengkel dengan rakan sekerja

Kesan Stres Dan ‘Burnout’

Bagi individu yang berasa ‘burnout’, mereka bukan sahaja akan letih tetapi ia juga akan melibatkan perasaan seperti terasing, hilang motivasi dan penurunan dalam kepuasan ketika bekerja dan kehidupan peribadi.

Individu yang mengalami burnout mungkin merasa mereka tidak lagi mampu mencapai apa-apa dalam kerjaya mereka meskipun sudah berusaha keras.

Pada masa yang sama, mereka yang kerap berasa stres pula boleh berisiko mengalami masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, gangguan tidur, dan penyakit jantung, serta masalah kesihatan mental seperti keresahan dan kemurungan.


Cara Untuk Tangani Stres Dan ‘Burnout’

Stres dan ‘burnout’ mempunyai cara yang berbeza untuk mengatasinya.

Bagi mengelakkan dari anda berasa kerap stres secara berterusan, antara langkah yang boleh diambil adalah:

  • Kerap bersenam
  • Dapatkan sokongan sosial dari rakan-rakan dan ahli keluarga
  • Melakukan aktiviti ‘me-time’
  • Mendengar lagu
  • Bermain dengan haiwan peliharaan
Sumber: Pexels

Cara Untuk Tangani ‘Burnout’

Kepada anda yang mahu memberikan semula semangat pada diri sendiri selepas apabila badan mula berasa ‘burnout’, berikut adalah beberapa cara yang boleh dilakukan.

Antaranya:

  • Merehatkan diri dan bercuti sekejap daripada kerja
  • Melakukan aktiviti yang relaks untuk beberapa tempoh singkat seperti mendengar lagu, yoga dan meditasi
  • Mengamalkan pemakanan yang seimbang
  • Mendapatkan tidur yang mencukupi
  • Mengenal pasti punca anda berasa burnout
  • Mengurangkan waktu dengan gajet
  • Mengetahui had keupayaan diri
  • Meningkatkan komunikasi antara rakan sekerja dan majikan
  • Mendapatkan khidmat nasihat dari pakar

Lebih Separuh Rakyat Malaysia ‘Burnout’ Di Tempat Kerja

Menerusi laporan 2024 Wellness at Work dari Employment Hero, satu kajian telah dilakukan melibatkan 1,015 pekerja di Malaysia dan data daripada kaji selidik tersebut mendapati bahawa peratusan pekerja yang berasa letih atau ‘burnout’ di pejabat semakin meningkat.

Peningkatan itu telah melonjak naik ke 67% pada tahun ini berbanding 58% pada tahun 2022 yang lalu.

Berdasarkan kajian, terdapat sedikit jurang di antara generasi yang mengalami ‘burnout’. Ia adalah seperti berikut:

  • Generasi Milenial (69%)
  • Gen-Z (64%)
  • Gen X (61%)
  • Boomers (38%)
Sumber: Pexels

Selain itu, hanya 57% rakyat Malaysia yang gembira dengan tahap kesihatan mental mereka dengan dianggarkan 88% masyarakat negara ini mengalami stres sekurang-kurangnya beberapa kali sebulan.

Majoriti rakyat Malaysia juga menyatakan bahawa tekanan kewangan dan kos sara hidup merupakan punca utama mereka berasa stres dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.

Baca Artikel Berkaitan: 67% Pekerja Di Malaysia Rasa ‘Burnout’ Di Pejabat, Alami Stres Lebih Dari Sekali Sebulan

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Duduki Tangga Kedua Di Asia Tenggara Sebagai Negara Paling Ramai Pekerja Tidak Gembira

Baca Artikel Berkaitan: Gaji Kerja Waktu Pejabat Tak Cukup, Rakyat Terpaksa Jana Pendapatan ‘Extra’ Untuk Sara Diri


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd