Badan Kerap Rasa Penat & Lesu Tanda Anda Alami Anemia, Jangan Ambil Mudah!
Anemia adalah keadaan di mana seseorang kekurangan sel darah merah dan mengakibatkan oksigen tidak dapat disalurkan ke seluruh tisu badan manusia.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum sedia maklum, sekiranya seseorang itu melakukan sesuatu tugasan berat sudah tentu anda akan berasa keletihan dan ia adalah satu situasi yang normal.
Pun begitu, ada juga segelintir daripada kita yang terlalu kerap rasa penat walaupun tidak melakukan sebarang kerja dan hanya berehat di rumah. Nak buat apa-apa aktiviti pun tidak larat.
Kalau anda nak tahu, jika keadaan tersebut berterusan ia boleh memberi petanda anda mempunyai masalah kesihatan atau lebih teruk lagi ia adalah tanda anda mempunyai penyakit kronik.
Apa Itu Anemia?
Baru-baru ini, pakar kesihatan, Dr Ahmad Samhan Awang di laman X (Twitter) ada menerangkan tentang satu keadaan yang dikenali sebagai Anemia.
Menurut beliau, Anemia terjadi apabila badan seseorang kekurangan sel darah merah mencukupi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu badan. Oksigen ni penting bagi membekalkan tenaga.
Oleh disebabkan kandungan oksigen yang tidak mencukupi, individu akan cepat rasa lemah, letih serta lesu.
“Doktor, saya rasa tak larat sangat-sangat doktor.”
— Dr Samhan (@DoktorSamhan) September 3, 2024
Setiap hari macam tak ada tenaga, cepat penat, dan kepala asyik pening.”
“Kawan-kawan tegur muka saya nampak pucat. Kenapa ya, doktor?”
Thread Tentang Anemia👇 pic.twitter.com/rHrVmxRqGh
5 Jenis Anemia Yang Anda Perlu Tahu
Anemia ini terbahagi kepada lima jenis dan setiap daripadanya mempunyai punca yang berbeza iaitu:
Anemia kekurangan zat besi (IDA):
- IDA berlaku apabila individu kekurangan zat besi hingga menyebabkan sumsum tulang tidak dapat menghasilkan hemoglobin mencukupi.
Anemia kekurangan vitamin:
- Sel darah yang sihat memerlukan asid folik dan juga vitamin B12.
Anemia aplastik:
- Anemia jenis ini jarang berlaku dan boleh mengancam keselamatan nyawa. Ia berlaku disebabkan terdedah kepada toksik, jangkitan dan ubat-ubatan.
Anemia hemolitik:
- Keadaan ini boleh dialami seseorang sekiranya badan memusnahkan sel darah merah lebih cepat daripada tempoh yang dihasilkannya. Anemia ini berisiko dialami oleh seseorang yang semakin meningkat usianya.
Anemia sel sabit:
- Anemia jenis ini berpunca daripada masalah genetik. Ia adalah keadaan di mana sel darah anda berbentuk sabit hingga menyebabkan ia sukar bergerak di dalam saluran darah. Ia kemudian membawa kepada kesakitan atau kerosakan tisu.
Gejala & Simptom Anemia Yang Boleh Diperhatikan
Buat anda yang tertanya-tanya, keadaan ini boleh dikenal pasti oleh individu dengan memerhatikan beberapa simptom atau gejala Anemia.
Antara tanda-tanda Anemia adalah seperti berikut:
- Cepat letih dan badan rasa lemah
- Kulit pucat
- Jantung tidak normal iaitu berdegup laju
- Sukar bernafas secara normal
- Sakit pada bahagian dada
- Tangan dan kaki berasa sejuk
- Sakit kepala
Memetik Hello Doktor, gejala ini kebiasaannya tidak disedari oleh individu pada permulaannya. Dalam sesetengah kes, ada juga yang tidak mengalami sebarang gejala seperti dinyatakan di atas.
Adakah Anemia Berbahaya?
Selain dari masalah genetik, Anemia juga boleh terbentuk sekiranya anda mengalami masalah kesihatan lain yang lebih serius termasuklah ulser, buasir atau gastritis (keradangan dalam lapisan perut).
Menghidap penyakit kronik juga mengakibatkan tubuh badan anda tidak mempunyai hormon mencukupi bagi menghasilkan sel darah merah.
Antara penyakit kronik yang boleh mengundang Anemia berlaku adalah hipertiroidisme, hipotiroidisme, penyakit buah pinggang kronik, lupus, kanser dan banyak lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Nak Buah Pinggang Yang Sihat? Praktik 6 Amalan Sihat Ini
Risiko menghidap Anemia adalah lebih tinggi jika anda mempunyai ciri-ciri berikut:
- Sedang alami gangguan usus
- Wanita yang sedang dalam tempoh haid
- Wanita hamil
- Pengambilan alkohol berlebihan
- Berumur 65 tahun dan ke atas
Cara Rawat Masalah Anemia
Adakah anda harus merujuk dengan pakar sekiranya mengalami simptom? Ya, betul. Anda harus didiagnos oleh doktor memandangkan ia boleh membawa kepada penyakit kronik yang lain.
Anemia boleh disahkan melalui sejarah kesihatan keluarga atau melalui ujian darah.
Rawatan keadaan ini adalah berbeza bergantung kepada jenis Anemia yang dialami. Sekiranya ia berpunca daripada kekurangan zat besi dan vitamin, maka anda memerlukan makanan sampingan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Bagaimanapun, jika gejala Anemia berlaku disebabkan pendarahan dalaman, pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan bagi menghentikannya.
Tukar Gaya Hidup Adalah Langkah Pencegahan Terbaik
Untuk info, terdapat jenis Anemia yang boleh dicegah dan ada juga yang tidak boleh dielakkan sebagai contoh yang diwarisi daripada keluarga (genetik).
Berikut kami sertakan langkah pencegahan buat mereka yang mengalami Anemia zat besi atau vitamin. Paling penting adalah menukar gaya hidup kepada yang lebih sihat daripada sekarang. Antaranya:
- Zat besi: Daging merah, kekacang, bijirin, sayur berdaun hijau gelap dan buah yang dikeringkan.
- Asid folik: Buah-buahan dan jus, sayur berdaun hijau gelap, kacang pis, kacang tanah, produk bijirin (roti) serta pasta.
- Vitamin B12: Daging, produk tenusu, produk bijirin dan soya
- Vitamin C: Buah-buahan sitrus dan jus, brokoli, tomato, tembikai serta strawberi.
Baca Artikel Berkaitan: “Baru Bangun Tidur Dah Penat” – Doktor Beri Penjelasan Tentang ‘Sleep Debt’
Baca Artikel Berkaitan: ‘Detox’ Media Sosial & 6 Lagi Jenis Rehat Jika Badan Anda Rasa ‘Burnout’
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram