Now Reading
Doktor Dedah 6 Sebab Seseorang Sering Digigit Oleh Nyamuk

Doktor Dedah 6 Sebab Seseorang Sering Digigit Oleh Nyamuk

Antara daya tarikan untuk seseorang mudah digigit oleh nyamuk adalah kerana saiz tubuh badan dan jenis darah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Digigit nyamuk adalah salah satu perkara paling ‘annoying’ lebih-lebih lagi ketika sedang tidur dan terdengar bunyi serangga tersebut di luar telinga.

Walaupun bersaiz kecil, tetapi gigitan nyamuk ini boleh membuatkan tubuh badan menjadi gatal-gatal sehingga kemerahan dan tidak selesa.

Lebih teruk lagi, ada juga nyamuk yang boleh membahayakan nyawa seperti nyamuk Aedes.

Kadangkala terfikir juga, adakah nyamuk mempunyai beberapa ciri tertentu sebelum memilih badan manusia yang menjadi ‘mangsa’ mereka?


6 Sebab Kenapa Anda Sering Digigit Oleh Nyamuk

Menerusi bebenang dimuat naik di laman X oleh Doktor Samhan, pakar kesihatan ini menjelaskan terdapat enam faktor yang menyebabkan seseorang sering digigit oleh nyamuk.

Antaranya:

#1. Mempunyai darah jenis ‘O’
Sumber: Pexels

Dalam satu kajian mendapati bahawa setiap jenis darah mempunyai ‘kemanisan’ yang berbeza.

Bagi individu berdarah ‘O’, mereka mempunyai 83% kebarangkalian lebih tinggi untuk digigit oleh nyamuk manakala golongan yang memiliki darah jenis ‘A’ pula adalah sebaliknya.

#2. Individu bertubuh besar
Sumber: Pexels

Mereka yang mempunyai saiz badan agak besar dikaitkan dengan kadar metabolisme serta jumlah karbon dioksida lebih tinggi yang dibebaskan ketika pembakaran tenaga.

Kalau anda nak tahu, nyamuk menggunakan gas karbon dioksida untuk mengesan ‘mangsa’ mereka sejauh 50 meter.

#3. Wanita hamil
Sumber: Pexels

Satu kajian di Afrika membuktikan bahawa wanita hamil berpotensi dua kali ganda untuk digigit nyamuk kerana mereka juga banyak mengeluarkan gas karbon dioksida iaitu dianggarkan sekitar 21% berbanding wanita biasa.

#4. Individu sedang bersenam
Sumber: Pexels

Apabila bersenam, badan manusia kebiasaannya akan mengeluarkan peluh dan peluh tersebut mempunyai asid laktik yang menjadi daya tarikan kepada nyamuk.

Selain itu, senaman yang meningkatkan haba pada tubuh turut menyumbang kepada punca seseorang untuk lebih mudah digigit nyamuk.

#5. Memakai pakaian gelap
Sumber: Pexels

Seorang pakar entomologi dan nyamuk di University of Florida iaitu Dr Jonathan Day menjelaskan bahawa nyamuk sukar untuk terbang dalam angin dan memilih untuk berpusat di dataran.

Jelasnya lagi, persekitaran gelap membuatkan nyamuk lebih selesa. Jadi sebab itulah individu yang memakai pakaian berwarna gelap lebih gemar ‘didekati’ oleh nyamuk.

#6. Individu kuat berpeluh
Sumber: Pexels

Asid tertentu dalam tubuh badan seperti laktik, urik serta kolesterol mempunyai kandungan steroid yang tinggi.

Ia juga menjadi tarikan nyamuk kerana golongan seperti ini mempunyai kadar metabolisme lebih tinggi selain memproses kolesterol lebih cepat berbanding yang lain.


Hati-hati Dengan Demam Denggi

Gigitan nyamuk ini juga boleh menyebabkan seseorang dijangkiti demam denggi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah kes denggi di Malaysia tahun ini meningkat berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata 18,247 kes direkodkan dalam tempoh lima minggu pertama 2024 dan ia telah meningkat 65.6% berbanding 11,127 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dari segi kematian, sembilan dilaporkan tahun ini berbanding enam pada 2023.

Sumber: MalayMail

Umum sedia maklum bahawa demam denggi adalah sejenis jangkitan virus asid ribonikleik (RNA) yang disebarkan kepada manusia menerusi gigitan nyamuk Aedes aegypti betina yang dijangkiti.

Antara simptomnya adalah:

  • Demam tinggi tiba-tiba (40°C/104°F)
  • Sakit kepala yang sangat teruk.
  • Sakit belakang mata.
  • Sakit otot dan sendi.
  • Rasa mual dan muntah.
  • Kelenjar bengkak.
  • Ruam badan.

Simptom demam denggi kebiasaannya berlangsung selama 2-7 hari (fasa demam) dan kebanyakan orang pulih daripada demam denggi selepas seminggu.

Sumber: Pexels

Walau bagaimanapun, dalam kes yang lebih teruk, simptom demam denggi berdarah pula boleh dilihat apabila:

  • Pendarahan dari mulut/gusi/hidung
  • Kulit berpeluh lembap
  • Pendarahan dalaman yang membawa kepada muntah dan najis hitam
  • Sakit abdomen
  • Tompok darah kecil di bawah kulit
  • Nadi lemah

Jika anda mengalami apa-apa simptom demam denggi seperti yang di atas, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor dalam kadar segera. 

Baca Artikel Berkaitan: Kes Denggi Di Malaysia Naik 65%


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd