Ini 9 Lokasi Menarik Untuk Anda Yang Kali Pertama Ke Hong Kong
Antara tempat yang perlu anda kunjungi ketika menjejakkan kaki di Hong Kong adalah seperti Tai Kwun, Hong Kong Disneyland dan banyak lagi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Melancong ke negara orang sudah tentu impian ramai di luar sana. Tapi yang menjadi satu masalah adalah kita tidak tahu untuk berkunjung ke mana setelah sampai ke negara luar.
Sebab itulah penting untuk melakukan perancangan dan menyediakan itenerari apabila mahu bercuti.
Kalau anda nak tahu, team TRP baru-baru ini baru sahaja mengunjungi Hong Kong bersama Hong Kong Tourism Board (HKTB) untuk ‘SEA Muslim Media Fam Trip’. Dalam lawatan sepanjang 4 hari 3 malam ini, pelbagai lokasi menarik telah kami kunjungi.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Lokasi & Aktiviti Menarik Bila Bercuti Di Singapura
Baca Artikel Berkaitan: Jom Explore 10 Tempat Best Di Pulau Langkawi. #2 Paling Wajib Pergi!
Ini Lokasi Unik Anda Patut Kunjungi Ketika Berada Di Hong Kong
Di sini kami kongsikan beberapa tempat ‘wajib’ anda singgah dan lawati semasa berada di Hong Kong. Antaranya:
#1. Pameran ‘The Twilight of the Warriors: Walled In’, HKIA
Sebaik sahaja anda mendarat di Hong Kong anda boleh meluangkan masa sebentar di ‘The Twilight of the Warriors: Walled In’ di dalam Hong Kong International Airport.
Menerusi pameran tersebut, anda boleh lihat pelbagai replika dan adegan terkenal dari filem berkenaan. Bukan itu sahaja, replika dua tingkat Kowloon Walled City setinggi 6.5 meter, papan tanda neon dan loteng juga ada di sana.
Pameran itu bertujuan untuk menunjukkan sejarah dan budaya Hong Kong selain memperkenalkan para pelawat kepada warisan yang pelbagai di bandar ini.
Untuk info, tiada sebarang yuran kemasukan dikenakan dan pameran ini akan berlangsung di sana sehingga 30 Disember 2024.
- Alamat: 1 Sky Plaza Rd, Chek Lap Kok, Hong Kong
#2. Tai O Fishing Village
Selain berjalan di kawasan bandar, anda juga boleh melawat ke Tai O Fishing Village untuk merasai suasana perkampungan atas air bersifat tradisional di Hong Kong. Kalau anda nak tahu, lokasi ini berada di Pulau Lantau.
Tai O adalah rumah kepada orang Tanka iaitu komuniti nelayan yang telah membina rumah mereka di atas dataran pasang surut Pulau Lantau selama beberapa generasi. Dalam lawatan ini, kami juga berpeluang untuk mencuba sendiri pengalaman mengasinkan telur mata kuning. Senang je rupanya.
Terdapat pelbagai aktivti unik anda boleh cuba di sana, termasuklah menaiki bot bagi menjelajah sekitar Tai O Fishing Village sambil menikmati pemandangan gunung-ganang di pulau tersebut.
Alang-alang sudah sampai ke sana, jangan lupa pula singgah kedai yang menjual ‘street snacks’. Terdapat banyak hidupan laut yang dikeringkan, manisan, barang kemas dan banyak lagi. Nak bawa pulang sebagai cenderamata pun sesuai.
- Alamat: Tai O Fishing Village, Hong Kong
#3. Ngong Ping Village
Seterusnya adalah Ngong Ping Village. Selain mencari makanan lazat, mendapatkan gambar Instagrammable juga adalah penting ketika melancong. Khas buat mereka yang ‘kaki selfie’ dan suka ber-OOTD, lokasi ini adalah sesuai untuk anda.
Di sana, anda boleh menikmati pemandangan perkampungan bertemakan budaya dan unsur seni bina tradisional Cina. Terdapat juga lebih 20 kedai termasuklah restoran yang mana pengunjung boleh membeli cenderamata dan kraftangan Cina.
Bukan itu sahaja, di sana juga anda boleh melihat sebuah patung perunggu besar Buddha Sakyamuni dikenali sebagai ‘The Big Buddha’ atau ‘Buddha Tian Tan’ yang dibangunkan pada 1993.
- Alamat: 111 Ngong Ping Rd, Lantau Island, Hong Kong
#4. Cable Car Ngong Ping 360
Khas buat mereka yang suka menikmati pemandangan alam sekitar, anda tidak boleh terlepas daripada menaiki kereta kabel dikenali sebagai Cable Car Ngong Ping 360.
Kereta kabel pertama yang dibangunkan di Hong Kong ini menghubungkan pusat bandar Tung Chung dan Ngong Ping di Pulau Lantau.
Kami turut berkesempatan untuk merasai pengalaman menaiki cable car di sana. Perjalanan tersebut mengambil masa lebih kurang 25 minit secara keseluruhan.
Bukan sahaja pemandangan gunung-ganang, malah laut dan matahari terbenam juga tidak terkecuali. Kalau anda nak dapatkan ‘shot’ terbaik, bolehlah naik kereta kabel tersebut menjelang waktu petang.
Waktu operasi adalah seperti berikut:
- Isnin-Jumaat: 10 am-6 pm
- Sabtu-Ahad & cuti umum: 9 am-6.30pm
- Alamat: Ngong Ping, Lantau Island, Outlying Islands
#5. Ladies Market
Setiap destinasi pelancongan pasti ada pasar jalanan yang menjual set-set barangan cenderamata dari negara tersebut. Untuk di Hong Kong, Ladies Market lah tempatnya. Pakaian, keychain, snek, beg, semuanya ada!
Buat mereka yang berniat untuk berjalan-jalan di jalan berukuran 1 kilometer itu, jangan lupa sediakan wang tunai yang mencukupi. Di sesetengah kedai, mereka juga menawarkan kaedah pembayaran menggunakan kod QR, Alipay.
Untuk info, Ladies Market ini berhenti operasi pada 10 pm setiap hari. Namun ia juga bergantung kepada cuaca di Hong Kong pada ketika itu.
- Alamat: Tung Choi St, Mong Kok, Hong Kong.
#6. Tai Kwun
Apabila bercuti ke tempat orang, tidak terlepaslah daripada melawat muzium di sana. Di Tai Kwun, anda boleh melawat bekas pejabat ibu polis (PMQ) dan juga penjara Victoria.
Sambil-sambil belajar, menikmati seni bina dan mengenali warisan di sana, anda juga berpeluang untuk mengambil shot gambar terbaik. Pengunjung Tai Kwun juga boleh melihat sekilas kisah warisan dari akhir abad ke-19 di Hong Kong melalui bangunan warisan yang telah dipelihara sejak turun-temurun.
- Alamat: 10 Hollywood Road, Central, Hong Kong
#7. Central Market
Kalau nak dibandingkan dengan Malaysia, Central Market di Hong Kong juga mempunyai sentuhan ala-ala Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Ia tersedia dengan tempat makan, jualan cenderamata, snek, tempat bergambar dan banyak lagi. Sekali masuk mesti para pelancong akan rambang mata.
Kebanyakan kedai di sana juga menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai seperti melalui kad debit, kad credit atau menerusi kod QR Alipay.
Kalau anda pandai ‘menyelam’, dapatlah membeli banyak barangan dengan harga yang murah. Difahamkan, lokasi tersebut turut menjadi tumpuan para pelancong dan golongan Gen Z untuk bersiar-siar.
Central Market ini juga mempunyai sejarahnya tersendiri. Pada awalnya, ia adalah sebuah pasar basah pertama di Hong Kong yang dibangunkan pada tahun 1842.
Dengan perubahan zaman, Central Market itu telah dinaik taraf kepada booth membeli-belah yang mula beroperasi sejak 2003. Central Market ini juga telah diubah suai lagi dengan sentuhan moden menjelang tahun 2021.
- Alamat: 93 Queen’s Road Central, Central, Hong Kong
#8. Block B Hollywood
Jika anda mencari tempat yang tidak sesak untuk dikunjungi, anda boleh melawat ke Block B Hollywood. Di sana, terdapat banyak jenis kedai ‘random’ yang anda boleh singgah.
Sebagai contoh, terdapat kedai pakaian, kedai alat tulis, kedai jualan snek, kedai patung figura anime, cenderamata dan banyak lagi. Buat mereka yang mahu menghilangkan rasa bosan, anda juga boleh meluangkan masa bermain ping pong dalam bilik yang disediakan di sana.
Terdapat juga banyak hiasan mural di sekeliling bangunan dan tangga pada Block B Hollywood tersebut. Nak dapatkan shot estetik, sinilah tempatnya.
- Alamat: Block B Hollywood, PMQ, 35 Aberdeen Street Central
#9. Hong Kong Disneyland
Lokasi terakhir yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh negara adalah Hong Kong Disneyland. Buat mereka yang membesar menonton kartun Disney, sinilah tempatnya untuk anda melepaskan ‘gian’.
Istimewanya ketika team TRP berkunjung ke sana bersama HKTB, Disneyland Hong Kong telah menunjukkan pratonton Disneyland edisi Krimas bertemakan ‘A Disney Christmas’.
A Disney Christmas telah pun bermula sejak 15 November lalu sehinggalah 1 Januari 2025 nanti. Bersempena dengan musim istimewa ini, pengunjung akan ditawarkan ‘Black Friday Hotel Offer’ iaitu diskaun sebanyak 40% bagi tempahan bilik terpilih di Hong Kong Disneyland Resort.
Buat peminat animasi ‘Frozen’, jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman pertama sambutan Krismas di World of Frozen! Watak kegemaran ramai iaitu Olaf juga akan berada di sana. Nak bawa anak kecil, memang sesuai.
Antara aktiviti menarik yang ditawarkan oleh Hong Kong Disneyland sepanjang ‘A Disney Christmas’ ini adalah seperi berikut:
- Persembahan ‘Tree Lighting’
- Pesta tradisi Krismas ‘Mickey and Friends Christmatime Ball’
- Muzikal bertema Krismas iaitu ‘Disney Christmas Live in Concert!’ (pada malam hujung minggu bermula 23 November)
- ‘Duffy and Friends Play House’
- Wonderland tema Europe di ‘Ye Olde Christmas Market’
Untuk maklumat lanjut anda boleh layari [DI SINI] atau muat turun aplikasi Hong Kong Disneyland menerusi peranti iOS atau Android untuk sebarang kemas kini jadual di sana.
- Alamat: Hong Kong Disneyland, Lantau Island, Hong Kong
Baca Artikel Berkaitan: 15 Tempat ‘Wajib’ Pergi Bila Travel Ke Hat Yai, Thailand
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram