Ilustrasi Taiwan Hias Monorel & MRT Sempena Kempen ‘Jom Taiwan: Ride the Adventure’
Pentadbiran Pelancongan Taiwan KL bekerjasama bersama pelukis terkenal Malaysia, Book of Lai bagi menghiasi Monorel KL dan MRT Bukit Bintang bertemakan Taiwan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebagai seorang yang suka melancong, sudah tentu terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan sebelum memilih destinasi percutian. Antara aspek yang sering diutamakan adalah kos penginapan dan akses kepada makanan halal buat individu beragama Islam.
Oleh disebabkan kekurangan info tentang perkara ini, segelintir pelancong bertindak mengelak berkunjung ke negara yang majoritinya bukan penduduk Muslim. Tapi jangan risau, Taiwan adalah antara negara yang menawarkan pengalaman menarik dan juga mesra Muslim.
Kempen ‘Jom Taiwan: Ride the Adventure’ Pamer Daya Tarikan Taiwan
Hari ini (26 September), Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan KL secara rasmi melancarkan kempen 2024, iaitu ‘Jom Taiwan: Ride the Adventure’.
Kempen ini melibatkan kerjasama pelukis terkenal Malaysia, Book of Lai yang membawa sentuhan seninya ke sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur, sekaligus mencipta pengalaman memukau sambil mempamerkan daya tarikan Taiwan!
Pengarah Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan KL Encik Chou Shih-Pi berkata bahawa pihak mereka telah menjemput artis ini dalam usaha menarik pelancong Malaysia untuk memilih Taiwan sebagai destinasi utama mereka menjelang akhir tahun 2024.
Monorel KL & MRT Bukit Bintang Dihiasi Ilustrasi Ala-ala Taiwan
Untuk pengetahuan semua, Book of Lai adalah pelukis yang dikenali dengan warna-warna ceria dan gaya penceritaan fantasi yang unik. Dia juga mendapat ilham daripada budaya rumah bergerak bagi mereka bentuk iklan bertemakan ‘Jom Taiwan: Ride the Adventure’.
Iklan-iklan ini akan dipaparkan pada Monorel Kuala Lumpur dan stesen MRT Bukit Bintang yang menonjolkan empat tema utama iaitu:
- ‘Jom Taiwan Makan-makan’ (makanan)
- ‘Jom Taiwan Lihat-lihat’ (pelancongan)
- ‘Jom Taiwan Main-main’ (aktiviti menarik)
- ‘Jom Taiwan Rasa-rasa’ (budaya)
Iklan-iklan ini mempersembahkan hidangan kulinari Taiwan, pemandangan indah, tarikan menyeronokkan serta pengalaman budaya membolehkan rakyat Malaysia merasai daya tarikan di Taiwan.
“Taiwan sentiasa menjadi salah satu destinasi kegemaran saya untuk melancong. Selain menikmati perjalanan santai, saya gemar melawat taman-taman budaya dan kreatif untuk mencari inspirasi bagi rekaan saya,” ujar Book of Lai sambil bercerita tentang proses melakar imej ala-ala negara tersebut.
Hasil seni Book of Lai turut menampilkan kereta api Breezy Blue yang melalui terowong teh boba, gelongsor mi daging lembu, hutan dengan potongan ayam goreng, dan gunung sup dumpling.
Taiwan Tambah Baik Fasiliti Untuk Dijadikan Lebih Muslim-Friendly
Bagi menarik pengunjung Muslim dari seluruh dunia, Taiwan sentiasa menambah baik kemudahan berciri mesra-muslim.
Hab pengangkutan utama dan kawasan pelancongan negara tersebut kini dilengkapi dengan perkhidmatan mesra-muslim dan lebih 400 restoran serta hotel telah pun menerima sijil halal.
Menurut ‘Crescent Rating – Global Muslim Travel Index (GMTI) Mastercard 2024’, Taiwan telah menduduki tempat ke-3 sebagai destinasi bukan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) terbaik yang memperlihatkan kemudahan dan menunjukkan kesediaan menerima pelancong Muslim.
Pada bulan Mei tahun ini juga, Pentadbiran Pelancongan Taiwan melancarkan kempen penjenamaan versi 3.0 iaitu ‘Taiwan – Waves of Wonder’ bertujuan mempromosikan pelancongan melalui tema ‘Jelajahi Gunung-ganang, Hargai Lautan dan Terokai Pulau’.
Timbalan Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Encik James Bu mendedahkan bahawa lebih 200,000 pelancong Malaysia telahpun melawat Taiwan, dengan peningkatan hampir 20% berbanding tempoh yang sama tahun lepas dari bulan Januari hingga Mei.
Bersempena kempen ini, satu kuiz dikenali sebagai ‘Anda Pengembara Jenis Apa?’ turut diperkenalkan. Kuiz tersebut membolehkan anda mengetahui gaya percutian ideal ketika mahu melancong ke Taiwan.
Sesiapa yang menyertai kuiz berkenaan turut berpeluang memenangi tiket penerbangan pergi-balik dari Kuala Lumpur ke Taiwan.
Pelakon Kongsi Pengalaman Bercuti Di Taiwan
Majlis pada hari ini turut disertai sesi temu bual bersama pelakon terkenal dari filem ‘Abang Adik’, Jack Tan dan pelakon Muslim Malaysia, Soffwany Yusoff.
Mereka telah berkongsi pengalaman dan kisah-kisah menarik dari penggembaraan di Taiwan pada sebelum ini. Dan selepas mendengar kisah aktor dan aktres ini, individu yang tak pernah menjejakkan kaki ke Taiwan juga pasti teringin untuk ke sana!
Oh! Dan di akhir majlis ini, orang ramai turut disajikan dengan beberapa snek terkenal di Taiwan sebagai contoh Milk Tea Boba. Not bad!
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram