Now Reading
Nak ‘Test’ Deruan Adrenalin Di Langkawi? Jom Cuba 7 Aktiviti Ini!

Nak ‘Test’ Deruan Adrenalin Di Langkawi? Jom Cuba 7 Aktiviti Ini!

Langkawi digelar sebagai ‘Permata Kedah’ dan diiiktiraf sebagai Geopark UNESCO kerana kaya dengan flora dan fauna.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Jika anda menyangka Langkawi umpama sebuah oasis yang tenang, serba indah dan damai, anda sebenarnya tidak salah. Namun, ramai tidak mengetahui bahawa di sebalik ketenangan itu tersembunyi pelbagai aktiviti mencabar dan pastinya mampu mengujakan walau peminat sukan lasak.

Pengembaraan ini menanti mereka yang mencari pengalaman mendebarkan, kerana tidak boleh dinafikan bahawa Langkawi sememangnya menawarkan pelbagai aktiviti sedemikian – yang mampu menarik para pencinta alam semula jadi, peminat hidupan liar serta mereka yang dahagakan ‘adrenalin’.

BACA JUGA: Nak Naik Langkawi Sunset Cruise? Ini Panduan Untuk Anda, Siap Harga!

BACA JUGA: Blue Lagoon Langkawi Dianggap ‘Hidden-Gem’ Di Gunung Mat Cincang

(Pic Credit: Fernando Fong)

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut ‘rahsia’ yang tersembunyi di bumi bertuah ini, berikut adalah senarai aktiviti yang boleh anda lakukan sambil menikmati keindahan kawasan perairan dan landskap tropika di sini:

1. Canyoning Air Terjun, Berkayak dan Papan Dayung Berdiri.

Canyoning air terjun adalah aktiviti di mana anda menuruni cenuram air terjun hingga ke lantainya dengan menggunakan tali. Pakai abah-abah dengan kemas, beranikan diri dan biarkan jantung anda berdegup kencang ketika menuruni cenuram Air Terjun Durian Perangin sambil menikmati pemandangan Gunung Raya, gunung tertinggi di Langkawi.

Sementara itu, berkayak telah menjadi salah satu sukan popular dan merupakan cara yang terbaik untuk menerokai kawasan hutan paya bakau di Langkawi. Sesuai untuk mereka yang menggemari aktiviti sukan yang menenangkan, berkayak sememangnya satu pilihan yang tepat.

Kebanyakan pengendali di sini menjalankan aktiviti jelajah pulau menggunakan kayak, dan hentian pertama bagi jelajah kayak ialah Gua Kelawar, diikuti dengan kunjungan ke kawasan penternakan ikan dalam sangkar.

Akhir sekali, para peserta boleh mendayung kayak mereka untuk menerokai hutan paya bakau sambil menyaksikan sendiri pemandangan indah burung-burung dan haiwan seperti helang laut, layang-layang, bangau, raja udang, ketam rebab, ikan belacak, dan biawak.

Sebagai alternatif, anda boleh mencuba papan dayung berdiri bagi menguji keseimbangan dan ketahanan anda. Tiada apa yang dapat menandingi perasaan berada di atas air, menghayati alunan ombak sambil anda berdiri mendayung di atas papan gelembung secara sendirian, dikelilingi oleh menara batu kapur dan hutan paya bakau.

Anda boleh berinteraksi secara terus dengan alam semula jadi kerana papan gelembung ini tidak mempunyai enjin dan mesra alam, suatu perasaan yang tidak mungkin dapat anda rasai jika anda menaiki bot.

2. Aktiviti Lagak Ngeri dan Morac Adventure Park.

Inginkan sesuatu yang boleh meningkatkan adrenalin anda? Kuatkan semangat dan berlagak seperti Tarzan sambil anda meluncur merentasi kanopi hutan hujan yang berusia puluhan juta tahun pada kelajuan yang mengujakan.

Di sini anda boleh melihat beberapa spesies haiwan terancam seperti Lotong Cengkong dan Burung Enggang sambil anda meluncur melalui celah-celah pokok.

Atasi perasaan takut dan gayat anda sambil anda memanjat, merangkak, bergayut dan meluncur di beberapa halangan udara yang tergantung tinggi di atas kanopi hutan hujan, sesuatu yang sangat mengujakan untuk mereka yang bersemangat waja.

Dan jika jantung anda masih belum cukup berdenyut kencang, mari dekati alam semula jadi dengan menyertai ATV Adventure Trail, yang terdiri daripada 9 cabaran dan 4 laluan kembara dalam dua pakej tunggangan selama 1 jam atau 30 minit yang padat dengan aksi.

Jurupandu kami yang berpengalaman akan menunjukkan kepada anda keindahan habitat semula jadi Langkawi, menjadikannya sebagai satu pengembaraan yang tidak dapat dilupakan buat anda dan orang yang tersayang.

Sementara itu, Morac Adventure Park yang mempunyai sejarah selama 20 tahun, adalah salah satu lokasi yang menempatkan litar perlumbaan go kart paling profesional di Malaysia.

Ia sememangnya tempat di mana para peminat sukan bermotor boleh merasai derauan adrenalin dalam erti kata yang sebenar. Litar ini terletak hanya 8 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chenang dan Pantai Chenang, ia pastinya menjadi destinasi pilihan utama di kalangan pengunjung.

Pengalaman menyaksikan perlumbaan go kart sambil melihat matahari terbenam dan kapal terbang mendarat hanya beberapa meter dari litar tersebut memberikan pemandangan yang cantik untuk para penonton.

3. Luncur Udara Tandem.

Luncur udara adalah penerbangan bebas yang dilakukan dengan bantuan sayap ringan yang dikuasakan oleh angin. Sesiapa sahaja yang telah mencuba sendiri pengalaman Luncur Udara Tandem yang menakjubkan ini pastinya akan terpesona dengan pemandangan indah kawasan persisiran pantai dari udara.

Jika anda sukakan pilihan yang sedikit kurang mencabar berbanding terjun udara, usah bimbang, anda hanya perlu duduk di dalam abah-abah yang selesa dan nikmati pemandangan 360 darjah sambil juruterbang berpengalaman mengemudi luncur udara untuk anda.

4. Wakeboarding.

Wakeboarding ialah salah satu sukan air lasak popular di Langkawi. Ia adalah kombinasi sukan ski air, luncur air dan luncur salji, di mana penunggangnya menggunakan papan lebar untuk berdayung dan meluncur di atas air.

Wakeboarding menjadi kegilaan baru di masa kini, dan mujurlah, kawasan perairan di Langkawi sememangnya sesuai untuk mencuba sukan ini. Airnya yang jernih membolehkan anda melihat ikan dan terumbu karang sambil berdayung di atas papan itu dan meluncur dengan selamat.

Sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak, ia sememangnya adalah aktiviti yang menyeronokkan untuk dicuba!

5. Jet Ski & Luncur Air.

Jet ski adalah salah satu daripada sukan air paling sesuai di Langkawi untuk menerokai destinasi menarik di gugusan kepulauan itu sambil anda meluncur laju di atas permukaan laut yang tenang dan mengunjungi pulau-pulau lain ketika dalam perjalanan, seperti:

  • Pulau Tepor.
  • Pulau Singa Besar.
  • Pulau Dayang Bunting.

Anda boleh memilih daripada pelbagai pakej yang disediakan dari satu jam hingga empat jam, dan anda juga boleh berenang di dalam air tawar, mengunjungi pulau pilihan, merakamkan pemandangan pulau-pulau indah dan melihat burung helang dan camar sambil bersantai menunggang jet ski.

Jika anda menginginkan aktiviti yang boleh melonjak adrenalin anda, Pantai Tengah dan Pantai Chenang menawarkan lokasi yang terbaik untuk mereka yang gilakan sukan luncur air. Di situ anda boleh meluncur di atas ombak setinggi 1.5 meter yang dibawa oleh angin kencang.

6. Kembara & Berbasikal.

Untuk penggemar aktiviti kecergasan, Langkawi sememangnya bertuah kerana dikurniakan dengan hutan hujan tropika yang tebal dan subur sesuai untuk aktiviti pengembaraan yang hebat.

Menariknya, anda juga boleh berbasikal untuk menjelajah keseluruhan Pulau Langkawi tanpa perlu mengikuti laluan sama, merangkumi jarak hampir 180 kilometer.

Anda tidak perlu bimbang kerana penunggang basikal amatur juga boleh mengayuh secara bersantai sambil menikmati laluan yang indah berlatarbelakangkan ladang getah, kelapa dan sawah padi, dan anda juga mungkin berpeluang untuk melihat beberapa haiwan liar tempatan ketika dalam perjalanan mengelilingi keseluruhan pulau itu.

Kaya dengan ekologi, hutan tropika, flora dan fauna serta cuaca yang baik, kawasan pergunungan di Langkawi sememangnya amat sesuai untuk para peminat aktiviti berbasikal.

7. Snorkeling & Selam Skuba.

Kawasan untuk menyelam boleh didapati di sekeliling pulau-pulau kecil di kawasan Chenang.

Cara terbaik untuk menerokai kehidupan bawah air Laut Andaman ialah menerusi aktiviti snorkeling dan selam skuba. Kunjungi Pulau Pasir untuk melihat arca-arca menarik yang ditenggelamkan ketika menyelam di perairan itu.

Inisiatif oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Galeri Seni Kebangsaan ini adalah selari dengan hala tuju LADA ke arah menyokong aktiviti pelancongan lebih hijau dan berasaskan komuniti.

Sesuai untuk mereka yang baru berjinak dengan aktiviti menyelam dan berpengalaman, para penyelam berpeluang untuk melihat penyu, terumbu karang, kuda laut dan pelbagai spesies hidupan laut.

Snorkeling juga merupakan aktiviti yang wajib dilakukan apabila anda berkunjung ke Pulau Payar untuk menerokai kehidupan marin. Pakar-pakar akan membimbing anda menerusi keseluruhan proses, memastikan pengalaman serba lancar dan selamat.

Dikelilingi oleh alam semula jadi ditawarkan oleh Langkawi, anda berpeluang untuk menikmati pemandangan pantai indah, air tenang dan ufuk yang cerah.

Jika anda menyukai aktiviti air, maka aktiviti mendebarkan ini pasti menawan hati anda kerana anda berpeluang untuk melakukan aktiviti snorkeling sambil ditemani oleh ikan tropika yang berwarna-warni dan menghargai keindahan tarikan di bawah air secara lebih dekat.

BACA JUGA: Langkawi Rangkul Asia Best Awards 2022, Diiktiraf Salah Satu Pulau Terbaik Di Asia Tenggara


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd