Now Reading
15 Tempat ‘Wajib’ Pergi Bila Travel Ke Hat Yai, Thailand

15 Tempat ‘Wajib’ Pergi Bila Travel Ke Hat Yai, Thailand

Antara destinasi menarik yang menjadi tumpuan orang ramai di Hat Yai,Thailand adalah Greenway Night Market dan Khlong Hae Seafood Halal Buffet.

15 Tempat 'Wajib' Pergi Bila Travel Ke Hat Yai, Thailand

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Hat Yai, Thailand kini menjadi destinasi pilihan rakyat Malaysia untuk bercuti dan ‘ambil angin’ di luar negara.

Jangan risau, tak perlu ada bajet yang banyak pun boleh pergi sana.

Dengarnya di sana kebanyakan harga barangan dan makanan pun agak murah. Siapa yang suka ‘food hunting’, bolehlah cuba pelbagai hidangan menarik di Hat Yai pula.

BACA JUGA: Bercuti Ke Hat Yai Dengan Bajet RM450. Puas Makan & Berjalan!

15 lokasi menarik di Hat Yai, Thailand yang anda wajib pergi

Menerusi hantaran dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter (@myjoe_), lelaki ini berkongsi beberapa lokasi menarik yang anda boleh pergi sekiranya bercuti ke Hat Yai dengan ahli keluarga mahupun rakan-rakan.

Antaranya:

1. Cafe Amazon, Hat Yai

Kalau di Hat Yai, Cafe Amazon ini memang sentiasa ramai orang. Katanya lagi ramai dari Starbucks sebab harganya lebih murah. Minumannya semua bawah RM10!

Lokasi: 1518 Kanjanavanich Rd, Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari pada jam 9:00 AM sehingga 10.30 PM.

2. Songkhla

Kalau dah tak tahu nak pergi mana, boleh berjalan-jalan di Songkhla pula. Dari Hat Yai nak ke sana mengambil masa kira-kira 45 minit. Bandar yang juga dikenali sebagai Singgora ini terletak 30 kilometer dari Hat Yai.

Antara destinasi yang menarik di Songkhla adalah seperti:

  • Laem Samila
    • Nak bersiar-sia ambil angin dan berpiknik pun best. Lokasi ini juga terkenal dengan patung ikan duyung di atas batu. Kalau terjumpa, boleh ‘selfie’ sekali.
  • Tasik Songkhla
    • Tasik ini adalah tasik semula jadi terbesar di Thailand dengan berkeluasan 1,040 kilometer persegi.
  • Terowong Bersejarah Khao Nam Khang
    • Dalam terowong ini, anda boleh belajar beberapa sejarah tentang penentangan kerajaan ketika pemerintahan pada tahun 1970 sehingga 1980an.

3. Pruksa Park, Hat Yai

Kalau anda nak ber-OOTD atau bersantai, boleh datang sini sebab masuk percuma sahaja. Tapi buka sekejap je iaitu dari jam 4:00 petang hingga 9:00 malam.

Memang sesuai jika anda mahu bawa anak-anak juga kerana boleh juga memberi makan kepada haiwan seperti arnab dan biri-biri. Harga sepaket makanan boleh dibeli dengan harga 20 Baht (RM2.45).

Lokasi: 2F5Q+R3Q, Prachayindee Rd, Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari pada jam 4:00 PM hingga 6:00 PM.

4. Phra Maha Chedi Tripob Trimongkol, Hat Yai

Panjang juga nama kuil ini kan? Menarik kuil ini kerana dibuat daripada stainless steel. Memetik dari laman web Trip Advisor, ramai pengunjung yang terpegun dengan keunikan struktur dan kecantikan kuil tersebut terutamanya pada waktu malam.

Lokasi: 108 Poonnakan Rd, Kho Hong, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

5. Lee Garden Plaza Night Market, Hat Yai

Suasana di sini lebih kurang macam pasar malam di Malaysia kerana ada macam-macam jenis makanan yang dijual. Nasi Lemak pun ada ya!

Alang-alang kita pun dah sampai di negara orang, lebih baik cuba makanan mereka kan? Antara menu ‘street food’ mereka yang anda patut cuba di Lee Garden Plaza Night Market adalah pulut mangga, kerabu maggi, tomyam dan Thai Tea.

Lokasi: 2F4C+9HG, Tambon Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

6. Double 3 Craft Cafe, Hat Yai

Kalau tengok dari luar, ingatkan rumah orang . Rupanya ada kafe cantik di dalam. Memang estetik!

Sumber: Facebook/Double 3 Craft Cafe

Siapa yang nak ‘cafe hunting’ pula, boleh cuba Double 3 Craft Cafe. Tempat hipster ini sesuai untuk ambil gambar yang Instagramable. Paling penting makanan murah dan sedap!

Sumber: Facebook/Double 3 Craft Cafe
Sumber: Facebook/Double 3 Craft Cafe

Lokasi: 33 Niphatsongkrao 1, Tambon Hat Yai, Hatyai, Songkhla 90110, Thailand.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari dari jam 9:00AM sehingga 9:00PM

7. Dimsum Chabura, Hat Yai

Siapa yang suka makan dimsum memang akan rasa tempat ini bagaikan ‘syurga’ kerana ada pelbagai jenis dimsum dijual. Confirm rambang mata dan tak boleh berhenti makan.

Tempat ini adalah halal untuk dimakan oleh individu beragama Islam dan sering menjadi tumpuan ramai ketika sarapan pagi. Kalau lambat, memang kena beratur panjang la jawabnya.

Lokasi: Khlong Hae, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari pada jam 6:00AM sehingga 2PM.

8. Kai Tod Decha, Hat Yai

Buat mereka yang tak tahu nak makan tengah hari di mana atau baru sampai dan perut lapar, boleh datang ke Kai Tod Decha.

Di sini, mereka menjual nasi berlauk dan yang paling penting tempat ini halal bagi orang Muslim. Katanya orang Malaysia pun penuh makan di Kai Tod Decha.

Lokasi: 93 Chee Uthit Rd, Tambon Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari pada jam 10:00AM sehingga 9:30PM.

9. Tangkuan Hill Songkhla

Kepada anda yang nak tengok pemandangan cantik, jom ke Tangkuan Hill di Songkhla. Siap ada lift nak sampai ke kemuncak, lebih kurang macam di Bukit Bendera, Pulau Pinang.

10. Wat Hat Yai Nai, Hat Yai

Di Wat Hat Yai Nai, anda boleh tengok patung Buddha baring bersantai di dalam bangunan. Selain patung besar, struktur bangunan yang unik dengan memaparkan ciri-ciri masyarakat Thailand juga dapat dilihat.

Sumber: Mapsus.net

Jangan terkejut sebab tepi bangunan itu ada masjid dan merupakan kawasan orang Islam.

Lokasi: 2 Wathatyainai Rd, ต.หาดใหญ่, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari pada jam 6:00AM sehingga 7:00PM.

11. 7-Eleven, Hat Yai

Walaupun di Malaysia ada kedai serbaneka 7-Eleven, tetapi boleh dikatakan ramai yang lebih menggemari cawangan di Thailand.

Macam-macam jenis makanan ada. Snek yang dijual di sini pun boleh tahan menarik juga.

Sumber: Twitter/hazelnutsedap
Sumber: OpenRice

Nak beli alat kelengkapan diri seperti berus gigi, ubat gigi, sabun mandi, pencuci muka, krim badan, semuanya ada.

Rasa nak beli semua!

12. Greenway Night Market, Hat Yai

Siapa yang nak beli buah tangan untuk ahli keluarga atau rakan-rakan, Greenway Night Market memang ‘port’ yang best untuk shopping. Kalau nak ‘food hunting’ pun okey juga sebab banyak makanan dan minuman dijual.

Peniaga di sini juga menerima bayaran dalam bentuk e-wallet. Jadi kalau tak cukup wang tunai, boleh bayar online.

Lokasi: 1406/4 ถนน กาญจนวณิชย์ Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

Waktu operasi: Tutup pada hari Isnin. Dibuka pada jam 4:00 sehingga 10:00PM.

13. Khlong Hae Seafood Halal Buffet, Hat Yai

Percaya tak dengan harga 300 Baht (RM36.68), anda boleh makan makanan laut (seafood) sepuas-puasnya di Khlong Hae Seafood Halal Buffet.

Cakap je nak makan apa semua ada. Ayam, daging, udang, lala dan banyak lagi. Balik memang ‘food coma’ terus.

Lokasi: 85 11 Lopburi Ramesuan Rd, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari pada jam 1:30PM sehingga 10:30PM.

14. ASEAN Night Market, Hat Yai

Pasar malam di sini lebih kurang seperti di Greenway iaitu menjual pelbagai jenis barangan cenderahati dan hidangan ‘street food’.

Cuma lokasi ini katanya lebih teratur dan bersih. Tempat duduk untuk pengunjung menikmati terus makanan yang dibeli juga disediakan di tingkat atas.

Lokasi: 76 Chotevittayakul 3 Rd, Hat Yai, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

Waktu operasi: Tutup pada hari Isnin. Dibuka pada jam 4:30 sehingga 10:00PM.

15. Kim Yong Market, Hat Yai

Best juga Kim Yong Market ini sebab ada pelbagai barangan yang dijual seperti kacang, buah-buahan, bunga, baju dan banyak lagi. Boleh dikatakan perniagaan di sini lebih kepada barangan kering dan bukannya seperti pasar raya yang menjual barangan basah.

Lokasi: ตลาดกิมหยง Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari pada jam 10:00AM sehingga 6:00PM.


Alang-alang ramai orang Malaysia yang tengah ‘hype’ pergi Hat Yai untuk bercuti, apa kata kita join sekali. Nak pergi balik hari pun boleh je.

BACA JUGA: Pemuda OKU Kongsi Pengalaman Travel ‘Solo’ Ke Thailand Dari Ipoh Naik Tren


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd