Now Reading
Diskaun Tol 50% Ditawarkan Selama Dua Hari Sempena Deepavali

Diskaun Tol 50% Ditawarkan Selama Dua Hari Sempena Deepavali

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sebanyak 3.28 juta kereta bakal menggunakan lebuh raya utama sepanjang tempoh musim perayaan Deepavali ini.

In Brief
  • Diskaun tol 50% ditawarkan selama dua hari, bermula tengah malam 6 November hingga 11.59 malam 7 November sempena Deepavali.
  • Tambang feri percuma turut ditawarkan di Pulau Pinang pada 8 November untuk penumpang dari Butterworth dan George Town.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Musim perayaan sentiasa menjadi waktu ramai orang akan pulang ke kampung untuk bertemu keluarga tersayang.

Sempena musim Deepavali ini, pihak kerajaan menghulurkan berita gembira menerusi diskaun tol 50% bagi meringakan kos perjalanan rakyat.

Diskaun ini bakal bermula tengah malam esok (6 November) dan berakhir pada 11.59 malam Sabtu (7 November) ini.

Diskaun 50% Selama Dua Hari Sempena Deepavali

Menurut Sinar Daily, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata diskaun itu bermula tengah malam esok dan berakhir pada 11.59 malam Sabtu.

Inisiatif ini dianggarkan melibatkan bayaran pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya terlibat.

Jumlah itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, tertakluk kepada pengesahan data trafik.

Dalam masa sama, diskaun ini terpakai untuk kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol dan Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang.

Namun, plaza tol di sempadan negara seperti:

  • Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)
  • Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA)

Tidak diberikan diskaun ini.

Keputusan ini membawa makna lebih besar daripada sekadar potongan harga.

“Keputusan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, terutama masyarakat Hindu yang pulang ke kampung halaman atau mengunjungi ahli keluarga bagi menyambut Deepavali,” katanya.

Kementerian Kerja Raya (KKR) Dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Selaras Pelaksanaan Diskaun Untuk Pengguna Jalan Raya

Lebuh raya. (Foto: Malay Mail)

Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan diskaun bersama syarikat konsesi terlibat.

Ia memastikan prosesnya berjalan lancar dan manfaatnya dinikmati pengguna lebuh raya yang layak.

Dalam masa sama, Nanta menasihati pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Antara saranannya, pengguna perlu memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi, mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat dan mendapat rehat secukupnya sebelum memandu.

Selain itu, pengguna jalan raya digalakkan menyemak maklumat trafik semasa dan sebarang insiden di lebuh raya menerusi saluran rasmi LLM.

Kerjasama semua pihak dalam mengamalkan pemanduan berhemah amat penting supaya perjalanan musim perayaan berjalan lancar, selamat dan selesa.

“KKR mengucapkan Selamat Hari Deepavali 2026 kepada masyarakat Hindu. Semoga Pesta Cahaya ini membawa kegembiraan, kemakmuran dan keharmonian kepada semua, sambil terus memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Utamakan keselamatan dan semoga semua pengguna jalan raya tiba di destinasi dengan selamat,” tambahnya.

3.28 Juta Kereta Dijangka Bakal Guna Lebuh Raya

Jumlah kereta bakal meningkat sempena musim perayaan. (Foto: Malay Mail)

Untuk info, kira-kira 3.28 juta kereta dijangka bakal menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara setiap hari sepanjang tempoh musim perayaan Deepavali.

Pengarah Besar LLM, Ir Mohd Hadzmir Yusoff berkata jumlah trafik dijangka meningkat mulai hari ini apabila pemandu menuju ke Pantai Timur serta bahagian utara dan selatan negara.

Berikut ialah unjuran jumlah kenderaan di beberapa lebuh raya utama:

  • Rangkaian PLUS dijangka mencatat jumlah tertinggi, iaitu 2.24 juta kereta.
  • Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE): 288,000 kereta
  • Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK): 190,000 kereta
  • Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE): 168,000 kereta
  • Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR): 135,000 kereta
  • Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS): 135,000 kereta
  • Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1): 83,000 kereta
  • Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2): 44,000 kenderaan.

Tambang Feri Percuma Turut Ditawarkan Di Pulau Pinang

Orang ramai akan ambil peluang untuk balik kampung. (Foto: Malay Mail)

Dalam perkembangan berkaitan, rakyat di Pulau Pinang turut menerima berita baik.

Menurut Malay Mail, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan menawarkan tambang feri percuma kepada rakyat Malaysia pada 8 November sempena Deepavali.

Pengerusi PPC, Datuk Yeoh Soon Hin berkata tawaran itu terpakai untuk penumpang yang berlepas dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), George Town.

“Perkhidmatan feri percuma ini akan beroperasi mengikut jadual terkini. Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan merujuk laman web rasmi serta saluran media sosial PPC dan PPSB untuk jadual terkini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Yeoh, inisiatif ini mencerminkan komitmen PPC dan PPSB dalam memudahkan perjalanan orang ramai, terutama ketika musim perayaan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di Pulau Pinang.

Baca Artikel Berkaitan: Selain Sari, Ini Pakaian Tradisional Lain Yang Popular Ketika Deepavali | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd