Mercedes-Benz C 300 4MATIC Electric 2026 Dilancarkan, Harga Dari RM360,888
Model elektrik serba baharu ini menawarkan kuasa 421hp, jarak gerak sehingga 690km dan teknologi pengecasan pantas yang mampu menambah jarak perjalanan sehingga 290km dalam masa 10 minit.
- Mercedes-Benz C 300 4MATIC Electric menghasilkan 421hp dan tork 800Nm, memecut 0-100km/j dalam 4.5 saat.
- Bateri 85kWh menawarkan jarak perjalanan sehingga 690km (WLTP) dengan pengecasan pantas DC sehingga 320kW.
- Model AMG Line Plus kini dibuka untuk pra-tempahan dengan harga anggaran bermula RM360,888 di Malaysia.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Peminat kereta mewah mungkin sudah biasa dengan model Mercedes-Benz C-Class yang terkenal dengan gabungan keselesaan, prestasi dan reka bentuk elegan.
Namun, kali ini Mercedes-Benz membawa model popular tersebut ke satu tahap baharu menerusi pengenalan all-new electric Mercedes-Benz C-Class, iaitu versi pertama C-Class yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Model yang diperkenalkan ialah Mercedes-Benz C 300 4MATIC electric AMG Line Plus, dengan harga anggaran bermula RM360,888 dan kini dibuka untuk pra-tempahan (pre-booking).
1. Kuasa 421hp, Pecutan 0-100km/j Dalam 4.5 Saat

Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 310kW bersamaan 421hp serta tork 800Nm.
Dengan prestasi tersebut, kereta ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 4.5 saat, manakala kelajuan maksimumnya mencapai 210km/j.
Satu lagi ciri menarik ialah penggunaan sistem transmisi dua kelajuan (two-speed transmission) pada gandar belakang.

Sistem pacuan semua roda 4MATIC pula membantu memastikan cengkaman tayar dan kestabilan lebih baik dalam pelbagai keadaan pemanduan.
Menariknya, motor elektrik di bahagian hadapan hanya diaktifkan apabila kuasa atau cengkaman tambahan diperlukan.
Ketika tidak digunakan, sistem ini akan dinyahaktifkan bagi mengurangkan kehilangan tenaga dan membantu meningkatkan jarak perjalanan.
2. Bateri 85kWh, Boleh Bergerak Sehingga 690km

Menurut Mercedes-Benz, C-Class elektrik ini mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 690km berdasarkan ujian WLTP.
Untuk makluman, WLTP (Worldwide Harmonised Light Vehicles Test Procedure) ialah standard ujian antarabangsa yang digunakan untuk mengukur penggunaan tenaga, pelepasan dan jarak perjalanan kenderaan.
Jarak sebenar boleh berubah bergantung pada gaya pemanduan, keadaan jalan raya dan penggunaan sistem pendingin hawa.
Sistem pengecasan 800-volt yang digunakan turut membolehkan kereta ini menerima pengecasan pantas DC sehingga 320kW di stesen pengecas yang serasi.
Lebih menarik, pengecasan selama 10 minit dikatakan mampu menambah jarak perjalanan sehingga 290km.
Kereta ini turut dilengkapi pengecas AC terbina dalam berkapasiti 22kW untuk pilihan pengecasan alternatif.
Selain itu, sistem One-Box Braking membantu memulihkan tenaga ketika membrek menerusi teknologi regenerative braking.
Secara mudah, sistem ini menukar sebahagian tenaga ketika kereta memperlahankan kelajuan kepada tenaga elektrik yang boleh disimpan semula dalam bateri.
3. Reka Bentuk Sporty Dengan Gril Hadapan Bercahaya

Reka bentuk badannya menampilkan bahagian hadapan yang rendah, garisan bumbung melengkung serta bahagian belakang yang mengalir seperti sebuah coupe.
Antara elemen paling menarik ialah gril hadapan ikonik dengan bingkai dark chrome, struktur seperti kaca gelap dan logo bintang Mercedes-Benz yang boleh menyala.
Gril tersebut turut mempunyai animasi pencahayaan ketika kereta dibuka, dikunci atau sedang dicas.
Lampu hadapan DIGITAL LIGHT dengan corak bintang pula melengkapkan penampilan moden model ini.
Untuk varian AMG Line Plus, ia turut dilengkapi:
- Rim AMG multi-spoke bersaiz 20 inci.
- Night Package dengan kemasan hitam berkilat pada beberapa bahagian luaran.
- AMG spoiler lip untuk penampilan lebih sporty.
- Lampu persekitaran dengan unjuran corak Mercedes-Benz.
Bahagian belakang pula menampilkan empat lampu LED berbentuk bintang dalam tona merah gelap yang memberikan identiti tersendiri kepada model elektrik ini.
Dari aspek aerodinamik, C-Class elektrik mempunyai pekali seretan (drag coefficient) bermula serendah 0.22.
Angka ini menunjukkan tahap rintangan udara yang rendah, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan tenaga dan jarak perjalanan.
4. Kabin Lebih Luas Dengan MBUX Hyperscreen 39.1 Inci

Dengan ukuran 99.3cm atau 39.1 inci, skrin ini menjadi paparan terbesar pernah ditawarkan dalam model C-Class.
Ia menggunakan teknologi pencahayaan latar Matrix dengan lebih 1,000 LED individu untuk menghasilkan paparan yang tajam dan jelas.
Penumpang hadapan juga boleh mengawal tahap kecerahan skrin secara berasingan daripada paparan pemandu.
Menariknya, sistem ini turut dilengkapi kamera untuk fungsi pengecaman wajah, pengesahan identiti, persidangan video dan mengambil swafoto.
Konsol tengah pula mempunyai dua pemegang cawan, ruang pengecasan tanpa wayar yang dilengkapi sistem pengudaraan serta panel kawalan fizikal untuk memudahkan penggunaan.
Stereng sport pelbagai fungsi yang dibalut kulit Nappa turut dilengkapi kawalan fizikal seperti suis pelarasan kelantangan dan kawalan DISTRONIC.
Bagi mereka yang mementingkan pengalaman audio, model ini turut dilengkapi sistem bunyi sekeliling Burmester® 3D Surround Sound System.
5. Bumbung Panoramik Dengan 162 Bintang Bercahaya

Bumbung panoramik ini menggunakan kaca yang boleh bertukar daripada lutsinar kepada legap dalam masa beberapa milisaat.
Ia dibahagikan kepada sembilan segmen yang boleh dikawal secara berasingan, membolehkan penumpang menentukan bahagian mana yang mahu menerima cahaya matahari.
Apabila digabungkan dengan sistem ambient lighting, bumbung ini turut menampilkan 162 bintang bercahaya yang boleh menyala mengikut warna pilihan pengguna.
Ciri tersebut memberikan suasana seakan-akan berada di bawah langit berbintang, khususnya ketika memandu pada waktu malam.
6. Ruang Kaki Lebih Selesa Dan But Berkapasiti 470 Liter

C-Class elektrik ini dibina menggunakan platform khas untuk kenderaan elektrik sepenuhnya, sekali gus membolehkan ruang kabin dioptimumkan.
Jarak antara roda hadapan dan belakang (wheelbase) ialah 2,962mm, iaitu 97mm lebih panjang berbanding C-Class konvensional.
Perubahan ini memberikan tambahan ruang kaki sebanyak 12mm untuk penumpang hadapan.
Ruang kepala juga lebih luas dengan tambahan sehingga 22mm di bahagian hadapan dan 11mm di bahagian belakang, dibantu oleh reka bentuk bumbung panoramik.
Untuk penyimpanan barang, ruang but belakang menawarkan kapasiti 470 liter.
Selain itu, terdapat ruang simpanan tambahan di bahagian hadapan yang dikenali sebagai frunk dengan kapasiti 101 liter.
Ruang ini sesuai digunakan untuk menyimpan kabel pengecasan, beg kecil atau barangan lain yang diperlukan ketika perjalanan jauh.
7. Sistem Hiburan Pintar Dan Teknologi Bantuan Pemanduan
C-Class elektrik ini turut menggunakan Mercedes-Benz Operating System (MB.OS), iaitu sistem operasi digital yang menghubungkan fungsi hiburan, navigasi dan kawalan kenderaan.
Menerusi MBUX Virtual Assistant, pemandu boleh berinteraksi dengan sistem kereta menggunakan arahan yang lebih semula jadi.
Sistem navigasi pula dibangunkan dengan integrasi Google Maps dan teknologi Google Cloud bagi memberikan pengalaman perjalanan yang lebih pintar.
Ia turut mempunyai fungsi Mercedes-Benz Navigation with Electric Intelligence yang membantu merancang laluan paling sesuai, termasuk lokasi pengecasan apabila diperlukan.
Bagi memudahkan pemandu ketika melalui kawasan yang kompleks, Mercedes-Benz turut menawarkan teknologi navigasi Augmented Reality (AR).
Teknologi ini memaparkan panduan visual di atas paparan jalan sebenar bagi membantu pemandu memahami arah dan selekoh dengan lebih mudah.
Dari segi keselamatan, model ini dilengkapi sehingga 27 kamera dan sensor untuk menyokong pelbagai sistem bantuan pemanduan.
Antaranya termasuk:
- MB.DRIVE ASSIST: Membantu pemandu mengawal stereng dan menyokong fungsi pemanduan separa automatik.
- MB.DRIVE PARKING ASSIST 360: Memudahkan proses parkir dan pergerakan kereta menerusi paparan 360 darjah di sekeliling kenderaan.
Kereta ini turut dilengkapi sehingga 11 beg udara (airbags), termasuk beg udara tengah hadapan dan beg udara lutut untuk penumpang hadapan.
Sistem PRE-SAFE® juga membantu mengesan situasi berbahaya dan menyediakan perlindungan sebelum kemungkinan berlakunya kemalangan.
8. Kabin Lebih Senyap Dengan Keselesaan Premium
Selain teknologi, keselesaan ketika memandu turut menjadi antara keutamaan Mercedes-Benz.
C-Class elektrik ini dilengkapi tempat duduk sport dengan kemasan kulit hitam, jahitan merah serta tali pinggang keselamatan berwarna merah.
Bahagian papan pemuka dan panel pintu pula menggunakan kemasan ARTICO man-made leather dengan penampilan seperti kulit Nappa.
Untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih senyap, Mercedes-Benz turut menggunakan pelbagai teknologi penebat bunyi dan getaran pada bahagian badan kereta.
Tingkap hadapan menggunakan laminated safety glass yang membantu mengurangkan haba dan bunyi dari luar.
Sistem penyaman udara THERMATIC dengan dua zon kawalan suhu automatik turut disediakan, selain penapis habuk halus dan arang aktif bagi memastikan udara dalam kabin lebih selesa.
Gabungan ciri ini menjadikan C-Class elektrik bukan sekadar sebuah kereta berprestasi tinggi, tetapi juga sesuai untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.
Harga Mercedes-Benz C 300 4MATIC Electric Di Malaysia

Harga anggaran bagi model ini bermula daripada RM360,888.
Untuk maklumat lanjut mengenai model terbaharu ini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Mercedes-Benz Malaysia.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.