Malaysia Berdepan Risiko Serangan Siber Susulan Ketegangan Geopolitik, Kata PM Anwar
Amaran ini timbul berikutan serangan siber secara meluas di negara-negara Barat seperti Denmark, Amerika Syarikat, Jepun & Belgium.
- Malaysia berdepan risiko serangan siber susulan ketegangan geopolitik, amaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada negara.
- Kerajaan memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi keselamatan bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam dan luar negara.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Isu ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di seluruh dunia telah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan siber.
Negara kita juga tidak terkecuali apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran negara ini boleh jadi sasaran ancaman siber dan keselamatan lain.
Anwar berkata demikian susulan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menilai implikasi serangan digital dan ketegangan yang meningkat di Asia Barat.
Pihak Kerajaan Perkukuh Kesiapsiagaan Untuk Persediaan Kecemasan

Menurut Malaysia Kini, Anwar belum menekankan pihak kerajaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan penyelarasan dalam kementerian, agensi keselamatan dan sektor strategik bagi menghadapi sebarang serangan ancaman.
Di Parlimen semalam (3 November), Anwar berkongsi langkah yang ditekankan dalam mesyuarat tersebut.
“Sudah tentu, mesyuarat kita semalam menekankan beberapa langkah. Pertama, memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi.
“Kedua, meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam dan luar negara,” ujarnya.
Dalam masa sama, Anwar berkata kerajaan sedang memperkukuh perlindungan untuk infrastruktur dan sektor strategik negara, termasuk tenaga, pengangkutan, kewangan serta bekalan makanan.
Selain itu, pihaknya turut meningkatkan kesiapsiagaan awam dan keupayaan agensi menerusi teknologi.
Menurutnya, Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun sudah menasihati rakyat masing-masing supaya menyimpan bekalan makanan bagi tempoh antara tiga hingga 10 hari.
Amaran Dikeluarkan Susulan Serangan Siber Di Negara Barat

Amaran ini timbul berikutan serangan siber meluas yang menyasar infrastruktur digital dan sistem pentadbiran kerajaan di negara-negara Barat.
Memetik beberapa contoh, beliau menyebut serangan di Belgium memaksa Kementerian Kewangannya menutup portal cukai kebangsaan.
Malah, penggodam di Denmark turut menceroboh daftar penduduk pusat negara sehingga menjejaskan rekod pengenalan hampir sembilan juta orang.
Di Amerika Syarikat pula, sistem fail komisen pilihan raya persekutuan dilaporkan terganggu selama 41 jam menjelang pilihan raya Senate.
Manakala di Jepun, satu pencerobohan mendedahkan rekod peribadi lebih 100,000 anggota polis sehingga menjejaskan operasi di beberapa daerah.
“Kita tidak boleh berfikir bahawa ancaman ini jauh daripada kita, kerana apa yang berlaku di Eropah, AS dan Jepun membimbangkan negara masing-masing,” tambah Anwar.
Negara seperti Kanada, Jepun, Mexico dan Belanda telah menasihati rakyatnya untuk menyediakan kit kecemasan untuk tempoh 72 jam.
Negara lain pula mencadangkan tempoh lebih lama, dengan Sweden dan Norway menyarankan bekalan untuk selama seminggu.
Jerman pula menasihati bekalan sehingga 10 hari.
Jangan Panic Buying, Bekalan Makanan Negara Mencukup Sekurang-Kurangnya Enam Bulan

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bekalan makanan di Malaysia mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan.
Malaysia tidak memerlukan langkah kecemasan bagi menghadapi kemungkinan gangguan barangan keperluan asas buat masa ini.
“Kita tidak nampak adanya keperluan ke arah itu kerana dari segi keterjaminan makanan dan tahap simpanan, ia mencukupi.
“Kita tahu bahawa sekurang-kurangnya kita mempunyai kapasiti selama enam bulan dari segi jaminan makanan,” ujarnya.
Malaysia Dianggap Sasaran Kerana Dua Sebab Utama
Anwar berkata pihak kerajaan sedang memantau potensi ancaman yang melibatkan operasi perisikan asing di negara jiran.
Beliau turut memerhatikan kehadiran agensi perisikan Israel di rantau ini, sambil menyebut dakwaan kewujudan penempatan di Phuket dan selatan Thailand.
Agensi perisikan Malaysia memandang perkembangan itu sebagai potensi ancaman kepada negara.
“Malaysia sudah tentu dianggap salah satu sasaran. Terdapat dua sebab untuk ini; pertama, kerana keupayaan kita dalam ruang digital dan pusat data adalah antara yang terkuat.
“Dan kedua, kerana pendirian tegas kita mengenai beberapa isu yang dianggap kontroversial oleh sesetengah negara, terutamanya Eropah dan Amerika, seperti isu Palestin,” tambah Anwar.
Seterusnya, Anwar mencadangkan supaya ketua pengarah MKN memberi taklimat kepada semua ahli parlimen dalam sesi tertutup pada satu atau dua hari akan datang, tertakluk kepada persetujuan Parlimen.
Beliau turut menggesa ahli parlimen supaya tidak memandang ringan tentang perkara ini sambil menyatakan pihak kerajaan akan menerima informasi terkini daripada Kementerian Dalam Negeri.
Ini Beberapa Makanan Yang Anda Boleh Simpan Untuk Tempoh Masa Lama

Menurut Mingguan Wanita, berikut ialah senarai makanan yang boleh bertahan antara 10 hingga 30 tahun jika disimpan dengan betul.
- Karbohidrat: Beras, gandum, oat kering, pasta dan kacang kering.
- Protein: Ikan bilis, ikan kering, susu tepung penuh, daging atau ayam freeze-dried, kacang soya.
- Lemak: Minyak kelapa, gula putih dan madu asli.
- Pilihan tambahan: buah kering, coklat, kopi atau teh kering.
Anda juga dinasihatkan untuk menyimpan bekalan makanan tersebut dalam tempat sejuk, gelap dan kering supaya bakteria tidak dapat membiak.
Selain itu, kaedah vaccum-sealed juga boleh dicuba bagi menghalang sebarang pembiakan bakteria.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.