Banjir Kilat Landa Shah Alam, Beberapa Lebuh Raya Utama Ditutup Awal Pagi
Menurut Free Malaysia Today, kawasan paling teruk terjejas ekoran banjir kilat ialah Kampung Melayu Subang apabila air mencecah ketinggian 18.77 meter.
- Banjir kilat melanda Shah Alam pada 4 November, menyebabkan penutupan beberapa lebuh raya utama termasuk NKVE, GCE dan ELITE.
- Kawasan paling teruk terjejas ialah Kampung Melayu Subang, dengan paras air mencecah 18.77 meter dan menjejaskan 92 buah rumah.
- Pertubuhan Peka mendakwa banjir berulang di Shah Alam berpunca daripada penebangan hutan dan pembangunan pesat di kawasan tadahan air.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Hujan lebat melanda Lembah Klang sejak semalam (3 November) mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan.
Shah Alam menjadi antara kawasan paling terjejas apabila air memaksa penutupan beberapa lebuh raya utama awal pagi tadi hari ini (4 November).
Menurut Astro Awani, laluan yang ditutup termasuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Shah Alam (ELITE).
Baca Artikel Berkaitan: Pertama Kali Hadapi Banjir? Ini Tips Yang Anda Perlu Tahu | TRP
Beberapa Laluan Utama Ditutup Akibat Banjir Kilat

Menurut kenyataan PLUS Malaysia Berhad, kawasan terjejas membabitkan KM9.1 NKVE di kedua-dua arah, laluan masuk dan keluar Plaza Tol Shah Alam, serta beberapa laluan di Persimpangan Shah Alam.
Selain itu, laluan dari GCE menuju ke Plaza Tol Shah Alam turut ditutup atas sebab sama.
Setakat jam 6.16 pagi tadi, semua lorong di KM9.1 NKVE masih ditutup kepada lalu lintas.
“Trafik arah utara dari Bukit Raja dilencongkan ke Plaza Tol Setia Alam manakala trafik arah selatan dari Subang dilencongkan ke Lebuhraya ELITE.”
Dalam masa sama, banjir turut menjejaskan laluan ELITE di Persimpangan Shah Alam dari arah Seafield menuju Setia Alam.
Semua lorong di situ ditutup, dengan trafik dilencongkan sementara ke Plaza Tol Shah Alam.
Keadaan banjir mula dilaporkan sekitar jam 2 pagi apabila beberapa lorong di KM9.1 NKVE terhalang.
Paras air meningkat sehingga memaksa penutupan penuh laluan berkenaan sekitar jam 3 pagi.
PLUS Nasihat Pengguna Jalan Guna Laluan Alternatif
PLUS menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan lebih awal.
Selain itu, pengguna berada di kawasan terjejas disaran menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps bagi mencari jalan alternatif.
Kampung Melayu Subang, Kampung Paya Jaras Hilir Alami Banjir Paras Perut

Menerusi platform media sosial Threads, ramai pengguna berkongsi keadaan terkini. Manakala itu, sebahagian lain pula terkesan ekoran banjir kilat yang sudah berlaku sejak semalam.
Pengguna (@zihaasyiqin) berkongsi keluarganya telah dipindahkan pada awal pagi tadi.
“Hujan lebat start 12AM dan kita nak tidur pun takut. Adik ketuk pintu bilik beritahu air dah masuk pukul 2:00AM. Pukul 3AM tengok air makin tinggi dan kami ambil keputusan untuk telefon BOMBA.
Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, alhamdulillah mak selamat dibawa keluar dari rumah. Tiada tanda air akan surut lagi, dan berada di paras perut untuk saya,” tulisnya.
Menurut Free Malaysia Today, kawasan paling teruk dilanda banjir kilat ialah Kampung Melayu Subang, apabila paras air mencecah 18.77 meter melebihi aras laut.
Keadaan itu menyebabkan beberapa buah kereta ditenggelami air, selain menjejaskan 92 buah rumah.
Selain itu, pengguna (@yayatoya_) meluah nasibnya untuk ke pejabat pagi tadi.
“Dah sejam pusing-pusing nak pergi ke pejabat. Semua jalan tutup. Seksyen 13 Shah Alam naik air.”
View on Threads
Pengguna (@fyqabellika) turut berkongsi beberapa laluan yang ditutup menghala ke Bukit Jelutong, Shah Alam dan Klang.
Sementara itu, pengguna (@rajanurzafeerah) muat naik satu video yang menunjukkan paras air meninggi di Tol Bukit Jelutong dan NKVE.
View on Threads
Banjir Kilat Ekoran Isu Penebangan Pokok
Memetik semula Free Malaysia Today, Shah Alam dipercayai menanggung kesan daripada penebangan pokok hutan.
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) berkata penduduk sudah menyuarakan kebimbangan sejak 2020, terutama terhadap pembersihan hutan di Bukit Cerakah yang telah dinyahwarta sebagai hutan simpan.
Presiden Peka, Rajesh Nagarajan berkata hutan komuniti Shah Alam seluas 174 hektar, iaitu antara kawasan hutan hujan tanah rendah yang masih tinggal, berdepan ancaman pembangunan berterusan.
“Hutan merupakan sistem perlindungan banjir semula jadi. Ia menyerap air hujan, mengawal aliran air dan menstabilkan cerun bukit. Apabila kawasan tadahan semula jadi ini digantikan dengan konkrit serta pembangunan pesat, komuniti di kawasan hilir menjadi semakin terdedah kepada banjir kilat dan tanah runtuh.
“Peka telah memberi amaran kepada kerajaan Selangor tentang bahaya ini pada Jun 2025. Namun, 17 bulan kemudian, Shah Alam kembali dilanda banjir. Berapa banyak lagi amaran yang perlu diabaikan?” katanya dalam satu kenyataan.
Seterusnya, Rajesh menggesa pihak kerajaan Selangor mengenakan moratorium segera terhadap pembukaan hutan dan pembangunan cerun di kawasan sensitif alam sekitar.
Dia turut menyeru supaya hutan komuniti Shah Alam dan bahagian penting Bukit Cerakah diwartakan secara kekal sebagai hutan simpan.
“Peka menuntut kerajaan negeri menubuhkan siasatan awam bebas terhadap banjir berulang di Shah Alam termasuk sumbangan pembukaan hutan dan pembangunan.
Selain itu, mendedahkan kelulusan pembangunan dan penilaian alam sekitar di kawasan hutan dan tadahan air berkenaan,” katanya.
“Kerajaan Selangor tidak boleh terus mengorbankan hutan atas nama pembangunan, kemudian melahirkan simpati apabila komuniti ditenggelami air,” tambahnya.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Google Flood Hub Sediakan Ramalan Banjir, 7 Hari Sebelum Bencana Melanda | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Kereta Tenggelam Dalam Banjir? Ini Apa Yang Anda Perlu Lakukan | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.