Now Reading
Club Med Lantik Michelle Davies Sebagai Pengurus Besar Singapura, Malaysia & Pasaran Baharu

Club Med Lantik Michelle Davies Sebagai Pengurus Besar Singapura, Malaysia & Pasaran Baharu

Davies bakal menerajui pasaran Club Med di Asia Tenggara, menggantikan Olivier Monceau.

In Brief
  • Club Med melantik Michelle Davies sebagai Pengurus Besar bagi Singapura, Malaysia dan pasaran baharu di Asia Selatan.
  • Davies membawa pengalaman lebih 15 tahun dalam industri hospitaliti, termasuk kejayaan memimpin pasaran Pasifik Club Med.
  • Fokus utama Davies ialah mengukuhkan Club Med sebagai pilihan percutian premium all-inclusive keluarga di rantau Asia Tenggara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Club Med, jenama pelopor percutian premium merangkumi pakej lengkap (all-inclusive) selama lebih 75 tahun, telah melantik Michelle Davies sebagai Pengurus Besar Club Med bagi Singapura dan Malaysia.

Menerusi pelantikan ini, beliau akan mengetuai operasi Club Med di pasaran Asia Tenggara (SEA), merangkumi Singapura, Malaysia serta pasaran baharu di Asia Selatan, menggantikan Olivier Monceau.

BACA JUGA: Selepas 40 Tahun, Club Med Cherating Bakal Berubah Wajah Dengan Renovasi Besar-Besaran

Dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam industri hospitaliti dan pelancongan, Davies sebelum ini menerajui pasaran Pasifik Club Med selama enam tahun.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam memulihkan perniagaan selepas pandemik COVID-19 sehingga berjaya menjadikan pasaran itu antara lima pasaran terbesar Club Med di seluruh dunia.

Di bawah kepimpinannya, pasukan Pasifik turut mencatat prestasi terbaik dalam sejarah, khususnya bagi portfolio resort ski jenama itu.

Kejayaan ini didorong oleh usaha memperkukuh saluran jualan secara langsung serta kerjasama dengan ejen pelancongan.

Pasukan tersebut juga dinobatkan sebagai Kumpulan Penginapan Paling Popular di National Travel Industry Awards selama tiga tahun berturut-turut.

Pada 2025, skop tanggungjawab Davies diperluaskan untuk merangkumi pasaran baharu Club Med di rantau SEAP.

Membina kerjaya di United Kingdom dan Australia, Davies membawa pengalaman antarabangsa serta rekod kepimpinan dalam menguruskan pasukan berbilang budaya ke dua pasaran Club Med yang paling pesat berkembang di Asia.

Fokus utamanya adalah memperkukuh kedudukan Club Med sebagai jenama percutian premium all-inclusive pilihan keluarga dan pasangan di Singapura serta Malaysia.

Beliau juga akan memberi tumpuan kepada perkembangan saluran jualan langsung dan ejen pelancongan, selain membawa amalan terbaik dari pasaran Pasifik dan pasaran baharu ke rantau ini.

Davies akan menyerahkan tanggungjawab menerajui pasaran Pasifik kepada Marc Letourneau, yang bakal menggantikannya sebagai Pengurus Besar Club Med Pacific.

Kedua-duanya akan terus bekerjasama rapat dalam strategi kerjasama dengan pemain industri pelancongan di pasaran masing-masing.

Dalam peranan baharunya, Davies turut akan bekerjasama dengan Rachael Harding, Ketua Pegawai Eksekutif Club Med SEAP, serta Sebastian Favre, Naib Presiden DCP SEAP, bagi memacu pertumbuhan Club Med di rantau ini.

Michelle Davies, Pengurus Besar Club Med Singapura, Malaysia & Pasaran Baharu berkata, “Saya sangat teruja untuk mengambil alih tanggungjawab bagi pasaran Singapura dan Malaysia pada saat yang cukup penting untuk perkembangan Club Med di rantau ini.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Olivier atas asas kukuh yang telah dibinanya, termasuk kejayaan mencatatkan musim terbaik bagi percutian ski di Jepun.

“Saya juga tidak sabar untuk bekerjasama dengan pasukan berbakat kami di Kuala Lumpur dan Singapura bagi membawa perniagaan ini ke fasa seterusnya.

“Keutamaan saya untuk 2027 cukup jelas. Club Med Borneo akan mula menerima tetamu pada bulan ini, menjadikan 2027 sebagai tahun pertama resort baharu ini beroperasi sepenuhnya di Sabah.

“Dalam masa sama, Club Med Cherating yang memulakan kerja-kerja pengubahsuaian pada 11 Oktober lalu sedang melalui transformasi menyeluruh bagi memberikan pengalaman baharu kepada generasi pelancong seterusnya.

“Bagi kedua-dua pasaran ini, kami akan terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju percutian ski di Jepun dan destinasi lain, di samping memperkenalkan konsep gaya hidup baharu untuk resort percutian pantai kami.

“Usaha ini selari dengan matlamat kami untuk menjadikan Club Med pilihan nombor satu bagi percutian keluarga premium di bawah konsep all-inclusive.

“Semua ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan rakan kerjasama dalam industri pelancongan. Saya berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama ini di seluruh rantau.

“Melangkaui 2027, kami mempunyai visi yang lebih besar untuk rantau yang cukup berpotensi ini. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, kami menyasarkan Singapura menjadi antara 10 pasaran terbesar Club Med di seluruh dunia, dengan pertumbuhan dijangka melebihi 80%.

“Malaysia juga bakal memasuki fasa pertumbuhan seterusnya. Kami mempunyai peluang besar untuk mempercepatkan perkembangan pelancongan domestik dan perjalanan jarak dekat serantau menerusi pembukaan Club Med Borneo serta pembaharuan Club Med Cherating.

“Pada masa sama, kami juga mahu memanfaatkan pembangunan resort baharu di Thailand, Jepun dan Indonesia.

“Matlamat kami adalah untuk memperluaskan pangkalan pelanggan dengan mengukuhkan kedudukan Club Med sebagai pakar percutian keluarga terkemuka yang menawarkan pengalaman premium all-inclusive, sama ada percutian ski mahupun pantai.

“Kami mahu menjadikan Club Med sebagai penanda aras bagi pengalaman percutian yang sukar dilupakan di seluruh pasaran Asia Tenggara.”

Olivier Monceau Terajui Operasi Club Med di Singapura & Malaysia Sejak 2022

Sepanjang tempoh kepimpinannya, beliau berjaya memperkukuh strategi perniagaan di kedua-dua pasaran serta mempelbagaikan pilihan resort Club Med di Malaysia.

Usaha tersebut turut membuka jalan kepada pembangunan Club Med Borneo yang telah mencatatkan prestasi komersial memberangsangkan sebelum pembukaannya pada bulan ini.

Beliau juga memulakan proses pembaharuan menyeluruh Club Med Cherating.

Selain itu, Monceau berjaya memperkukuh populariti resort ski Club Med di Jepun dalam kalangan pelancong dari Singapura dan Malaysia, selain menerajui penambahbaikan keseluruhan portfolio resort pantai jenama itu dengan memperkenalkan konsep gaya hidup baharu.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd