Grow & Glow Mama Lancar Laman Web Rasmi, Perkenal Aplikasi Baharu Pada Januari 2027
Platform kesihatan mental ibu itu turut memperuntukkan RM1 daripada setiap keahlian berbayar untuk membantu golongan ibu yang memerlukan sokongan.
- Grow & Glow Mama melancarkan laman web rasmi dan memperkenalkan aplikasi baharu yang bakal dilancarkan pada Januari 2027.
- Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma, dengan keahlian berbayar RM33 sebulan, dan 500 pendaftar terawal mendapat keahlian percuma setahun.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Grow & Glow Mama, sebuah platform sokongan kesihatan mental ibu yang diasaskan oleh Sofea Mastan, kini melancarkan laman web rasmi Grow & Glow Mama selain memberi gambaran awal mengenai aplikasi yang bakal diperkenalkan pada Januari 2027.

Beri Gambaran Awal Mengenai Platform
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Sofea yang berkongsi kepentingan menyediakan ruang khas buat golongan ibu di Malaysia.


Antara ciri yang bakal ditawarkan menerusi aplikasi itu termasuk:
- My Day: Ruang untuk ibu berkongsi keadaan emosi dan mengenal pasti perasaan mereka tanpa perlu menjelaskan segala-galanya. Ia turut menyediakan kata-kata motivasi harian serta artikel, video dan episod podcast yang disesuaikan mengikut emosi dan fasa keibuan masing-masing.
- My Pause: Menawarkan panduan penjagaan diri ringkas menerusi Glow Rituals, Voice Journal untuk ibu meluahkan perasaan melalui rakaman suara serta Pantang Mode, ruang khas sepanjang tempoh berpantang selepas bersalin.
- Mama Letters: Membolehkan ibu saling menghantar dan menerima surat berisi kata-kata semangat tanpa tekanan untuk sentiasa aktif di media sosial.
- My Companion: Membolehkan pasangan, ahli keluarga atau individu yang dipercayai menghubungkan akaun mereka untuk mendapatkan panduan serta memahami cara terbaik membantu si ibu.
- More Support: Menyediakan cadangan bantuan profesional yang disusun khas, termasuk akses kepada ahli terapi kesihatan mental ibu dan perinatal.
Ibu-ibu yang berminat boleh mendaftar dalam senarai menunggu menerusi www.growandglowmama.com.
Keahlian Yang Turut Membantu Ibu Lain
Keahlian berbayar Grow & Glow Mama ditawarkan pada harga RM33 sebulan, dengan RM1 daripada setiap keahlian akan disalurkan ke tabung khas bagi membantu ibu yang tidak mempunyai akses kepada sokongan atau sumber yang diperlukan.

“Ketika saya melalui kemurungan selepas bersalin, saya bernasib baik kerana berjaya mendapatkan bantuan. Namun, bukan semua ibu mempunyai peluang yang sama.
“Melalui keahlian ini, setiap ibu yang menyertai kami turut membantu membuka peluang kepada ibu lain yang tidak mampu mendapatkan sokongan tersebut sendiri,” kata Sofea Mastan, Pengasas Grow & Glow Mama.
Ibu Juga Perlukan Ruang Untuk Berehat
Acara itu turut menampilkan sesi panel bertajuk Rest Is Not a Reward: Why Mothers Need Permission to Pause yang dikendalikan oleh Sofea.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk:
- Bagaimana rasa bersalah dan jangkaan masyarakat mempengaruhi cara ibu melihat keperluan untuk berehat.
- Cabaran mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu dengan kehidupan profesional dan tuntutan masyarakat.
- Tanda-tanda keletihan yang mungkin menunjukkan masalah lebih serius.
- Langkah praktikal yang boleh diambil pasangan, keluarga dan majikan untuk memberi ruang kepada ibu berehat.
“Seronok dapat bertemu ibu-ibu pada pelbagai fasa kehidupan, daripada mereka yang masih menjaga bayi baru lahir hinggalah yang membesarkan anak-anak lebih besar.
“Setiap ibu memerlukan sokongan orang sekeliling. Saya benar-benar teruja kerana aplikasi ini dapat membantu ibu saling mengenali dan membuatkan mereka berasa kurang keseorangan dalam menghadapi cabaran masing-masing,” kata Sarah Zehan.
“Berehat tidak semestinya bermaksud perlu mendapatkan tidur yang cukup sepanjang malam. Walaupun hanya 10 minit dalam suasana tenang atau melakukan regangan selama 15 minit, ia sudah boleh membantu memulihkan tenaga ibu untuk meneruskan hari,” kata Charis Sow.
“Rehat penting supaya seseorang ibu dapat memberikan sepenuh perhatian kepada anaknya. Ibu yang mendapat rehat secukupnya juga lebih gembira,” kata Ally Mukhriz.
Lebih Daripada Sekadar Majlis Pelancaran
Apa yang bermula sebagai majlis memperkenalkan laman web akhirnya menjadi ruang istimewa buat golongan ibu di Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan saling memahami.

Malah, ada antara mereka yang berani meluahkan perkara yang sebelum ini tidak pernah dikongsikan secara terbuka, selain berpeluang menjalin persahabatan baharu dan menyedari bahawa mereka bukan satu-satunya yang melalui cabaran tersebut.

Ia sekali gus mencerminkan matlamat Grow & Glow Mama untuk membina sebuah komuniti yang memastikan setiap ibu berasa dihargai, didengari dan mendapat sokongan sewajarnya.
Aplikasi Dijadualkan Dilancarkan Pada Januari 2027
Aplikasi Grow & Glow Mama bakal dilancarkan secara rasmi pada Januari 2027 dan boleh dimuat turun secara percuma, dengan pilihan keahlian bulanan berbayar pada harga RM33.
Ibu-ibu boleh mula mendaftar menerusi www.growandglowmama.com.
Seramai 500 pendaftar terawal akan diterima sebagai ahli pengasas (founding members).
Lebih menarik, ahli pengasas turut akan menikmati keahlian percuma selama setahun, dari Januari 2027 hingga Januari 2028, bernilai RM396.
Siapa Sofea Mastan?

Sofea Mastan merupakan penceramah, penggerak program kesejahteraan korporat dan pejuang kesedaran kesihatan mental ibu dari Malaysia.
BACA JUGA: Bekas Wartawan Alami Kemurungan Selepas Bersalin, Kini Bangunkan Aplikasi Sokongan Untuk Ibu
Beliau merupakan bekas wartawan penyiaran dengan pengalaman lebih 15 tahun serta pemegang sijil Certified Mental Health First Aider.
Sofea turut menerima pengiktirafan menerusi Malaysia Top 30 Women of Excellence Awards 2025.
Penglibatan beliau merangkumi bidang kesihatan mental ibu, matrescence (proses perubahan identiti dan emosi wanita sepanjang perjalanan menjadi ibu), beban mental serta kecerdasan emosi di tempat kerja.
Maklumat lanjut mengenai beliau boleh didapati menerusi www.sofeamastan.com.
Mengenai Grow & Glow Mama
Grow & Glow Mama merupakan komuniti sokongan kesihatan mental ibu dari Malaysia yang diasaskan oleh Sofea Mastan pada 2022.
Platform ini bermula daripada pengalaman peribadi Sofea berdepan kemurungan selepas bersalin dan diwujudkan sebagai ruang selamat untuk ibu berkongsi pengalaman secara terbuka mengenai identiti diri, kesejahteraan emosi, beban mental serta realiti kehidupan sebagai seorang ibu.
Aplikasi yang bakal dilancarkan pada Januari 2027 itu akan membawa sokongan berkenaan ke dalam kehidupan seharian, bukan sahaja untuk golongan ibu, malah individu di sekeliling mereka.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.