Now Reading
Pelakon Legenda Star Trek & X-Men, Sir Patrick Stewart Meninggal Dunia

Pelakon Legenda Star Trek & X-Men, Sir Patrick Stewart Meninggal Dunia

Selain Profesor X & Kapten Jean-Luc Picard, Sir Patrick Stewart turut berlakon sebagai Gurney Halleck (Dune), Leondegrance (Excalibur) dan King Richard 1 (Robin Hood: Men in Tights).

In Brief
  • Sir Patrick Stewart, terkenal menerusi watak Kapten Picard dan Profesor X, meninggal dunia pada usia 86 tahun di Los Angeles.
  • Stewart menghembuskan nafas terakhir selepas berdepan penyakit Alzheimer dan Lewy Body Dementia, dalam jagaan isterinya, Sunny Ozell.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dunia hiburan global hari ini (30 Oktober) kehilangan salah seorang pelakon paling dihormati iaitu Sir Patrick Stewart yang meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Pelakon veteran dari United Kingdom itu terkenal menerusi watak Kapten Jean-Luc Picard (Star Trek: The Next Generation) dan Profesor Charles Xavier (X-Men).

Menurut kenyataan di akaun rasmi X miliknya, Stewart menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Los Angeles dalam jagaan penuh isterinya, Sunny Ozell.

Profesor Charles Xavier Menghembuskan Nafas Terakhir

Sir Patrick Stewart sebagai Charles Xavier. (Foto: LA Times)

Menerusi kenyataan itu, keluarga Sir Patrick Stewart mengumumkan pemergiannya dengan penuh dukacita selepas beliau berdepan penyakit Alzheimer dan Lewy Body Dementia.

“Kami dengan penuh dukacita mengumumkan pemergian Sir Patrick Stewart semalam di kediamannya di Los Angeles, dalam jagaan penuh kasih isterinya, Sunny, selepas melalui perjalanan singkat tetapi bermakna melawan penyakit Alzheimer dan Lewy Body Dementia.”

Untuk info, Stewart telah menerima gelaran kesatria daripada Ratu Elizabeth II pada 2010 atas sumbangannya kepada dunia seni persembahan.

Nama Stewart Terkenal Menerusi Pelbagai Lakonan Watak Ikonik

Stewart dilahirkan pada 13 Julai 1940 di Mirfield, Yorkshire, England, dan memulakan kerjayanya sebagai pelakon seawal usia 18 tahun.

Beliau kemudian meraih pengiktirafan sebagai pelakon pentas menerusi Royal Shakespeare Company sejak era 1960-an.

Namanya mula dikenali di seluruh dunia apabila dipilih membawakan watak Kapten Jean-Luc Picard dalam Star Trek: The Next Generation pada usia 47 tahun.

Star Trek: The Next Generation ditayangkan di antara 1987 hingga 1994 sebagai sambungan kepada siri asal Star Trek yang popular pada era 1960-an.

Sebagai Picard, Stewart dikenali dengan ungkapan ikonik seperti Make it so dan Engage, yang menjadi antara dialog paling dikenang peminat francais fiksyen sains itu.

Menariknya, beliau pada awalnya keberatan menerima tawaran tersebut berikutan nasihat rakannya yang juga pelakon Shakespeare terkenal, Sir Ian McKellen supaya terus kekal di pentas teater.

Namun, keputusannya menyertai Star Trek berjaya mengubah perjalanan kariernya.

Beliau membintangi 176 episod sepanjang tujuh musim, sebelum kembali membawa watak Picard dalam beberapa filem Star Trek lain.

Malah, Stewart turut menghidupkan semula watak Picard dalam siri penstriman Stark Trek: Picard yang mula ditayangkan pada tahun 2020 ketika berusia 79 tahun.

Watak Profesor X Mengukuhkan Statusnya Sebagai Pelakon Berpengaruh

Selain Profesor X, watak Picard pun ikonik. (Foto: Britannica)

Selain kejayaan dalam francais Star Trek, Stewart turut mencipta impak besar menerusi watak Profesor X dalam siri filem X-Men bermula pada tahun 2000.

Pada mulanya, beliau ragu-ragu untuk menerima watak pemimpin mutan berkerusi roda itu kerana merasakan ia masih berada dalam genre fantasi dan fiksyen sains yang pernah diterokainya.

Namun, watak Profesor X akhirnya menjadi satu lagi peranan ikonik yang mengukuhkan statusnya sebagai antara pelakon paling berpengaruh dalam dunia hiburan global.

Di sebalik kejayaan kariernya, Stewart pernah berkongsi secara terbuka bahawa zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan cabaran.

Beliau dibesarkan dalam keluarga daif dan sering menyaksikan ibunya menjadi mangsa penderaan fizikal oleh bapanya yang mengalami tekanan Post-traumatic stress disorder (PTSD) selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.

Stewart juga sering meletakkan dirinya di antara kedua-dua ibu dan bapanya dalam usaha melindungi ibunya daripada keganasan tersebut.

Dunia lakonan dilihat sebagai satu ruang selamat yang membolehkannya melarikan diri daripada realiti hidup yang sukar selepas diperkenalkan kepada karya Shakespeare ketika berusia 12 tahun.

Gelaran Kesatria Pada 2010 Jadi Pencapaian Paling Bermakna

Gelaran Sir yang diterima di tahun 2010. (Foto: NPR)

Stewart menerima gelaran Sir dalam istiadat penganugerahan di Istana Buckingham.

Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian profesional paling bermakna dalam hidupnya.

Sepanjang hayatnya, Stewart berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan dua orang anak.

Beliau kemudian mendirikan rumah tangga bersama Sunny Ozell pada tahun 2013.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd