Matcha Dalam Makanan, Sihat Atau Hanya Mengikut Trend?
Menurut Uji Matcha, Matcha dihidangkan kepada tetamu sebagai simbol hormat dan keprihatinan dalam budaya Jepun.
- Matcha mengandungi antioksidan kuat tetapi penambahan bahan itu ke dalam makanan tidak semestinya menjadikan hidangan lebih sihat.
- Nilai kesihatan sesuatu hidangan perlu dinilai berdasarkan keseluruhan komposisi, bukan hanya kerana mengandungi matcha.
- Haba tinggi semasa memasak boleh mengurangkan kandungan katekin dalam matcha, contohnya sebanyak 19% dalam biskut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Matcha, minuman berwarna hijau yang semakin popular sehingga mendominasi pilihan lain sering dinikmati ketika di kafe, kedai makan dan lain-lain.
Serbuk teh hijau itu turut digunakan bagi menghasilkan pencuci mulut menyelerakan. Tetapi, apabila digunakan dalam makanan berat seperti burger, nasi lemak dan ikan keli.
Adakah ia hanya gimik dan trend untuk menarik perhatian ramai? Atau mempunyai khasiat yang baik untuk tubuh badan.
Matcha Dalam Makanan Pun Ada Peminatnya

Walaupun gabungan kombinasi ini tidak masuk akal bagi segelintir pembaca, ia telah berjaya menarik perhatian beberapa orang yang mempunyai lidah unik.
Malah, segelintir pengguna beranggapan semakin pekat warna hijau dalam makanan itu mencerminkan tahap kesihatannya.
Pensyarah kanan di Jabatan Sains dan Matematik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Adnin Afifi Nawi berpendapat dengan melihat fenomena ini sebagai satu bentuk kreativiti kulinari yang bertujuan menarik pelanggan.
Menurutnya, walaupun matcha mempunyai sifat antioksidan, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum sesuatu hidangan dilabel sebagai pilihan diet sihat.
“Jika sesuatu makanan menjadi tular kerana warnanya yang menarik atau rasanya yang unik, tiada salahnya untuk mencuba. Namun, kita tidak seharusnya terus membuat kesimpulan bahawa ia sihat semata-mata kerana mengandungi matcha.”
Dr Adnin turut merasakan bahawa cita rasa pengguna sudah berubah, dengan golongan muda kini mengutamakan makanan unik dan menarik dipandang untuk dikongsikan ke media sosial.
“Dahulu, kita memilih makanan berdasarkan rasa dan kualiti, tetapi tingkah laku pembelian sudah berubah. Kini, menjadi cukup ‘unik’ dan ‘cantik’ untuk dimuat naik di TikTok atau Instagram menjadi keutamaan. Dalam ekonomi digital, perhatian pengguna ibarat lombong emas.
“Semakin luar biasa sesuatu hidangan, semakin tinggi potensinya untuk dikongsi sehingga menjadi tular.
“Warna hijau matcha yang terang menjadikannya sangat fotogenik. Jika gambar atau video makanan berjaya menarik perhatian pengguna di media sosial dalam tiga saat pertama, hidangan itu berkemungkinan besar menjadi buruan ramai,” ujarnya.
Permintaan Matcha Semakin Meningkat Mengatasi Sumbernya

Dalam masa sama, Dr Adnin berkata media antarabangsa turut melaporkan populariti matcha yang semakin meningkat di peringkat global, sehingga permintaan terhadap bahan itu mengatasi sumber.
Laporan dari South China Morning Post turut mendedahkan bahawa sesetengah pengeluar matcha tradisional di Jepun menghadapi kesusahan untuk memenuhi permintaan global yang meningkat akibat pengaruh media sosial.
Menurut pakar kronofisiologi dan krononutrisi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Norsham Jualian Nordin berkata matcha ialah teh hijau berbentuk serbuk diperolehi daripada pokok Camellia sinensis.
Ia mengandungi katekin, iaitu sejenis antioksidan yang kuat.
Pengambilan makanan yang mengandungi katekin ada khasiatnya. Contohnya seperti berikut:
- Mengurangkan keradangan dalam badan
- Meningkatkan metabolisme
- Menyokong pengurusan berat badan
- Memelihara kesihatan jantung
Selain itu, matcha turut mempunyai sifat antibakteria dan antivirus secara semula jadi.
Tidak Semestinya Ada Matcha, Makanan Terus Jadi Sihat

Namun, Dr Norsham menegaskan bahawa nilai kesihatan hidangan tidak boleh ditentukan hanya menerusi satu bahan yang dianggap berkhasiat.
Sebaliknya, hidangan sihat perlu dinilai berdasarkan komposisi seluruh hidangan secara menyeluruh seperti saiz, kaedah memasak, kekerapan pengambilan dan masa menikmatinya.
“Matcha mempunyai asas pemakanan yang kukuh kerana mengandungi polifenol, terutamanya katekin seperti epigallocatechin gallate (EGCG), L-theanine dan kafein. Justeru, penggunaannya bukan sekadar gimik.
“Namun, apabila matcha ditambah ke dalam nasi lemak, burger, mi, kuih tradisional atau pencuci mulut, kita tidak boleh terus menganggap keseluruhan hidangan itu telah menjadi makanan sihat.
“Nilai makanan itu masih ditentukan oleh hidangan secara menyeluruh. Jika hanya sedikit matcha ditambah walaupun makanan itu tinggi dalam kalori, gula, lemak atau lain-lain. Kesannya tetaplah sama,” katanya.
Matcha Beri Daya Tarikan Bukan Jaminan Kesihatan
Mengulas tentang makanan viral seperti nasi lemak matcha, ikan keli goreng matcha, Dr Norsham berkata bahan itu mempunyai daya tarikan visual kuat.
Warna hijau, rasa umami dan pahit matcha memberikan imej premium dalam sesuatu hidangan.
Walau bagaimanapun, penambahan matcha ke dalam hidangan itu tidak semestinya menjadikannya lebih sihat.
Tambahan pula matcha yang terdedah kepada suhu terlalu tinggi boleh mengurangkan sebahagian khasiatnya.
“Satu kajian ke atas biskut mengandungi matcha mendapati haba mengurangkan jumlah kandungan katekin sebanyak 19%.
“Memasak boleh mengurang atau mengubah sebahagian khasiat matcha tetapi tidak semestinya menghapuskan kesemuanya,” tambah Dr Norsham.
Khasiat Sebalik Matcha

Untuk info, Matcha ialah serbuk teh hijau dari Jepun yang diperoleh daripada pokok Camellia sinenis.
Ia kaya dengan polifenol, katekin, epigallocatechin gallate (EGCG), L-theanine dan kafein.
Selain itu, matcha turut mempunyai sifat antibakteria dan antivirus secara semula jadi.
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Matcha Ada Bahan Yang Boleh Elak Penyerapan Zat Besi? | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Matcha, Beri, Kunyit & 2 Makanan Lain Yang Kaya Antioksida
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.